Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 5 February 2014

Terlepas perangkap resolusi APPF


Oleh Dr. Firdaus Abdullah





SUATU waktu dulu mereka dipanggil ‘pendatang haram’ jika memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah. Manakala yang datang secara ‘halal’ untuk bekerja, bila mula merasa ‘kuat’ sebahagiannya menuntut gaji lebih tinggi dan kemudahan bekerja yang lebih selesa. Selain itu ada juga yang datang secara ‘halal’ untuk melancong, kemudian menukar peranan menjadi pelacur atau ‘bapa ayam’.

Sekarang ungkapan ‘pendatang haram’ telah ditukar menjadi ‘pendatang asing tanpa izin’ yang disingkatkan menjadi PATI. Manakala yang datang secara ‘halal’, sebahagiannya mulai terlibat dalam kegiatan ‘haram’ seperti pelacuran, penyeludupan dan pengedaran dadah, perkelahian sesama sendiri, pecah rumah, penculikan dan jenayah lain termasuk menembak mati seorang pegawai bank yang tidak berdosa.

Demikianlah, negara Malaysia yang makmur dan pemerintahnya yang baik hati (compassionate) sedikit demi sedikit terjerumus masuk ‘perangkap’ fenomena pendatang asing dan menghadapi dilema yang semakin rumit untuk diselesaikan serta menanggung beban kewangan yang semakin bertambah setiap tahun.

Semuanya itu mengingatkan saya betapa Malaysia hampir terperangkap sekali lagi bersabit fenomena pendatang asing ini apabila Forum Parlimen Asia Pasifik (APPF) bersidang di Puerto Vellarta, Mexico, minggu kedua Januari lalu.

Sewaktu ratusan ribu PATI sedang memeras dan membazirkan pelbagai sumber negara apabila gabungan tenaga imigresen, polis dan Rela bersiap-sedia melakukan operasi pemburuan dan penangkapan besar-besaran, sidang APPF di Mexico itu cuba hendak meluluskan satu resolusi yang bertajuk Migration Flows in Asia-Pacific (Aliran Migrasi di Asia Pasifik).

Inti daripada resolusi itu ialah supaya pendatang asing (migran) yang mengerumuni sesebuah negara diberi perlindungan dan hak-hak kemanusiaan (terutama peluang pekerjaan untuk memenuhi keperluan asas ditambah dengan kemudahan sosial yang lain) yang tidak mereka peroleh di negara asal mereka.

Resolusi itu juga mengusulkan supaya pendatang asing diberi kemudahan keluar masuk ke negara yang mereka datangi. Dan perlindungan serta semua kemudahan itu perlu diberikan bukan sahaja kepada kepala keluarga yang bertugas mencari nafkah (bread earner for the family), malah seluruh anggota keluarganya.

Sekilas imbas resolusi tersebut membayangkan semangat atau rasa perikemanusiaan sejagat. Satu bayangan tentang hasrat membela golongan yang tidak bernasib baik. Tetapi yang tidak dibayangkan adalah beban berat dan pelbagai masalah yang terpaksa ditanggung oleh negara yang menjadi tumpuan pendatang tersebut.

Resolusi itu seakan-akan tidak menyedari bahawa negara tumpuan (countries of destination) terpaksa menanggung beban yang amat berat, baik dari segi sosial begitu juga keselamatan dan biaya lain yang berkaitan. Sedangkan tanggungjawab negara asal mereka (countries of origin) tidak disebut sama sekali. Malah negara asal pendatang berkenaan seakan-akan dibiarkan lepas tangan.

Kerana itulah maka di bahagian awal artikel ini saya mencatatkan bahawa Malaysia akan ‘terperangkap’ jika resolusi itu diluluskan. Atau lebih tepat jika dikatakan bahawa ‘beban berat’ dan pelbagai masalah yang memang sudah ditanggung Malaysia menampung pendatang tersebut sekarang akan menjadi bertambah berat.

Satu perkara yang secara lebih spesifik dianjurkan oleh resolusi itu adalah supaya negara anggota APPF menandatangani International Convention on the Protection of the Rights of all Migrant Workers and Their Families yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 1990.

Ini bermakna negara tumpuan pekerja-pekerja migran bertanggungjawab melindungi pelbagai hak pendatang tersebut, sama ada mereka datang secara halal atau secara haram. Dalam konteks Malaysia, PATI tidak boleh diburu atau dihantar kembali ke negara asal mereka, sebaliknya mestilah ‘dilindungi’.

Sebelum berangkat ke Mexico, delegasi Malaysia ke persidangan APPF itu telah menghadiri sesi taklimat dengan pegawai beberapa kementerian, termasuk Kementerian Dalam Negeri yang diadakan di pejabat Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Dalam taklimat tersebut, seorang wakil sebuah kementerian menyatakan bahawa selama ini Malaysia memberi perlindungan kepada pendatang asing termasuk pelarian yang tergolong dalam UNHR (United Nation Human Refugees) atas pertimbangan belas kasihan. Dengan demikian, tanpa disedari kita telah menonjolkan diri sebagai satu negara yang ‘pengasih’ dan bertimbang rasa.

Barangkali dalam konteks itu jugalah kita telah menukar ungkapan ‘pendatang haram’ kepada ‘pendatang asing tanpa izin’. Mungkin penggunaan ungkapan yang lebih halus itu meningkatkan imej kita sebagai sebuah negara yang lebih compassionate dan bertimbang rasa.

Tetapi ternyata ‘imej’ sedemikian, ditambah dengan kelonggaran dan ‘kelalaian’ penguatkuasaan peraturan bersabit pendatang asing itu telah menyebabkan negara kita dibanjiri oleh mereka yang merempuh datang tanpa izin atau yang datang dengan izin tetapi membawa bermacam-macam kerenah - menjadi pelacur atau penjenayah.

Sehubungan itu, saya menyarankan dalam taklimat tersebut bahawa yang lebih penting ditonjolkan kepada masyarakat antarabangsa sekarang adalah ‘penderitaan’ (pelbagai masalah yang kita hadapi) sebagai negara yang menjadi ‘mangsa’ rempuhan dan kebanjiran orang (pendatang) asing tersebut. Untuk sementara, imej sebagai negara yang compassionate terhadap pendatang asing yang membawa pelbagai masalah itu, tak perlulah diberi keutamaan.

Pandangan atau saranan saya diterima oleh Abu Zahar selaku Ketua Delegasi Malaysia ke persidangan APPF di Mexico itu. Sehubungan itu, sewaktu turut berbahas membincangkan resolusi berkenaan, beliau menyebut tentang ratusan ribu ringgit yang ditanggung oleh kerajaan Malaysia setiap hari untuk membiayai PATI. Selain itu, untuk sekian lama Malaysia juga menghabiskan jutaan ringgit bagi menanggung biaya pelarian di bawah kategori UNHR.

Saya sendiri turut membangkitkan kepincangan lain berkaitan resolusi tersebut. Kepincangan yang paling ketara adalah ‘kebisuan’ resolusi tersebut mengenai tanggungjawab negara asal (countries of origin). Semuanya hendak dibebankan kepada negara tumpuan (countries of destination).

Resolusi tersebut juga ternyata jahil mengenai banyak perkara tentang pekerja atau pendatang asing tersebut. Pembawa (penggubal) resolusi, iaitu perwakilan dari Chile, seakan-akan menganggap pekerja asing (migrant workers) itu terdiri daripada satu kumpulan yang seragam (homogeneous group) sedangkan hakikatnya mereka terdiri daripada pelbagai ragam manusia (heterogeneous).

Ada yang datang diurus oleh bakal majikan mereka mengikut peraturan dan undang-undang sah, ada juga dibawa oleh sindiket haram. Ada yang datang menyeludup secara sendirian atau bersama kumpulan. Ada yang datang sebagai pelancong atau pelajar yang kemudian bertukar peranan atau tinggal melampaui tempoh izin tinggal (visa).

Resolusi tersebut memang sangat jahil mengenai ‘pengalaman pahit getir’ negara tumpuan yang dibanjiri oleh pendatang asing (yang haram atau yang mengikut peraturan) seperti Malaysia.

Atas alasan dan hujah tersebut, bagi pihak perwakilan Malaysia, saya mengusulkan supaya resolusi tentang migrant workers itu ditolak.

Untuk memperlihatkan sikap dan pandangan yang lebih wajar dan seimbang , saya cadangkan supaya pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh pekerja asing itu digarap secara holistik, mengambil kira segala aspek dan akibatnya.

Alhamdulillah, cadangan saya diterima. Resolusi tersebut ditolak dan pada hemat saya, Malaysia telah dapat mengelakkan diri daripada terperangkap oleh resolusi itu.

PENULIS ialah anggota delegasi Malaysia ke persidangan Forum Parlimen Asia Pasifik (APPF) di Puerto Vallarta, Mexico, Januari 2014.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140205/re_01/Terlepas-perangkap-resolusi-APPF#ixzz2sPO1K6PI  © Utusan Melayu (M) Bhd 



KOMEN : INI KALAU KONSETAN NAJIB YANG BUAT KERJA CONFIRM RESOLUSI TU MALAYSIA TANDATANGAN...

No comments: