Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 14 February 2014

Terus beri kerjasama - Muhyiddin


Oleh ANGELINA SINYANG
utusansarawak@utusan.com.my





Muhyiddin Yassin diiringi Alfred Jabu Numpang setelah menerima anugerah Darjah Utama Yang Amat Mulia 'Bintang Kenyalang' (D.P) daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Kuching, semalam. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA


KUCHING 13 Feb. - Kerajaan Pusat berjanji akan memberi kerjasama kepada Tan Sri Adenan Satem selepas dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kelima bagi memastikan kemajuan di negeri ini dapat diteruskan seperti semasa pemerintahan Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak kerajaan Pusat menyokong sepenuhnya keputusan Abdul Taib melepaskan jawatan dan melantik Adenan sebagai pengganti.

"Kami pimpinan kerajaan Pusat seperti yang pernah disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menyokong penuh apa yang telah diputuskan (peralihan kuasa di Sarawak) dan akan terus memberikan kerjasama kepada beliau (Adenan) untuk memajukan Sarawak seperti semasa Abdul Taib memimpin sebagai Ketua Menteri.

"Saya yakin beliau (Adenan) juga mempunyai visi sama (dengan Abdul Taib) iaitu mahu melihat Sarawak maju dalam Malaysia, mencipta lebih banyak lagi kemajuan dan mencontohi kerjasama antara kaum yang begitu baik seperti mana diwujudkan oleh Abdul Taib," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Persatuan Penjaja dan Persatuan Pembekal Sarawak di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hassan Malek serta Menteri Muda Pembangunan Usahawan Bumiputera negeri, Datuk Mohd. Naroden Majais.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada Abdul Taib atas jasa dan perkhidmatan cemerlangnya untuk Sarawak dan Malaysia.

"Tempoh 33 tahun perkhidmatan Abdul Taib adalah cukup panjang dan beliau telah menyempurnakan tanggungjawab dengan cemerlang sekali, malah menjadi satu legasi amat bernilai, khususnya di Sarawak.

"Ada beberapa perkara utama yang telah beliau laksanakan, pertama, bukan sahaja tempoh perkhidmatannya cemerlang tetapi beliau berjaya mewujudkan kerjasama, persefahaman dan perpaduan di antara semua rakyat yang ada di Sarawak kerana negeri ini cukup unik dengan latar belakang etnik pelbagai agama dan budaya," ujarnya.

Selain itu beliau berkata, Abdul Taib juga cemerlang dari segi pembangunan dan boleh dilihat melalui perubahan wajah Sarawak sejak kebelakangan ini, contohnya penubuhan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan kedatangan pelabur yang mencurah-curah ke negeri ini.

Katanya, semasa pemerintahan Abdul Taib, jalinan kerjasama antara kerajaan Pusat dan negeri menjadi semakin kukuh kerana hubungan peribadinya dengan Perdana Menteri terdahulu.

"Sebab itu, kita percaya pelantikan Adenan sebagai penggantinya adalah satu pilihan beliau dan atas pertimbangan bijaksana. Ini kerana saya kenali secara peribadi Adenan sewaktu beliau menganggotai Kabinet 
Persekutuan, apa lagi pengalamannya di peringkat negeri yang saya kira agak cemerlang.

"Latar belakangnya begitu baik dan beliau memahami dasar sedia ada. Saya yakin beliau (Adenan) dapat meneruskan dasar yang telah dipelopori oleh Abdul Taib tetapi diperkukuhkan lagi dengan inisiatif baharu," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, Pilihan Raya Negeri Sarawak akan diadakan selewat-lewatnya pada Jun 2016 dan strategi awal sudah dibincangkan untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya tersebut.

"Saya yakin berdasarkan kepada kepimpinan Abdul Taib yang lalu dan diteruskan oleh pimpinan baharu, sokongan rakyat akan terus diperkukuhkan. Langkah dan strategik seterusnya tidak perlu saya sebut di sini tetapi yang penting Sarawak akan terus menjadi satu daripada benteng kuat BN," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140214/dn_03/Terus-beri-kerjasama---Muhyiddin#ixzz2tG4QIAJj  © Utusan Melayu (M) Bhd




 


No comments: