DARI UTUSAN MALAYSIA 3/10/2011
Gol menerusi Anderson dan Danny Welbeck memastikan Red Devils terus menerajui Liga Perdana Inggeris, mengatasi Manchester City dengan perbezaan satu gol. Perlawanan kemudian akan berehat dua minggu untuk memberi laluan kepada jadual antarabangsa.
United tidak berada dalam prestasi terbaik kelmarin, malah terselamat daripada dikejutkan oleh pendatang baru liga, Norwich yang kurang bernasib baik kerana gagal memanfaatkan beberapa peluang terbuka.
Sambil mengakui permainan hambar dipersembahkan pasukannya, Ferguson bagaimanapun tetap memuji mereka atas kejayaan mencipta rekod baru. "Rekod kemenangan di tempat sendiri adalah menakjubkan, ia rekod membanggakan.
"Semua pemain layak menerima pujian untuk itu. Mereka mempamer kualiti dan kesungguhan untuk memastikan rekod tanpa kalah di tempat sendiri tidak tercalar selama tempoh ini. Kami tidak akan berputus asa dan itulah kualiti hebat yang pasukan ini miliki," kata Ferguson.
United boleh menarik nafas lega sebelum memulakan persiapan untuk bertandang ke Anfield pada 15 Oktober ini, berdepan musuh tradisi, Liverpool.
Ferguson sedar United perlu memperbaiki prestasi secara menyeluruh jika mahu melakar kemenangan di Anfield, namun dia berpendapat persembahan anak buahnya ketika menentang Norwich jelas menunjukkan kualiti sebenar untuk bergelar juara.
"Anda tidak boleh mengatakan ia satu persembahan bagus. Mereka mengambil masa untuk melakukan apa yang dirancang dan mendapati pertahanan lawan sukar dirobek. Ia selalunya susah apabila lawan bermain secara bertahan dengan semua pemain dikerah mengunci gawang. Kami sering menghadapinya.
"Lawan juga meletakkan kita dalam keadaan tertekan, namun kita berjaya mengatasinya. Ia selalunya bagus untuk kita memenangi perlawanan seperti ini iaitu apabila kita menang tatkala tidak bermain dengan baik," katanya.
Ferguson juga menjelaskan kenapa dia tidak menurunkan bintang sayap England, Ashley Young dan membuat keputusan mengejut menggantikan penjaga gol No.1, David de Gea dengan Anders Lindegaard.
"Ashley Young keletihan. Tidak berbaloi untuk mengambil risiko dengan perlawanan Liverpool dan jadual antarabangsa menyusuli. Anders diturunkan kerana kerana ini adalah masa terbaik. Dia akan mewakili Denmark minggu ini, namun mungkin tidak diturunkan, sementara David berkemungkinan besar beraksi dua kali untuk pasukan Bawah-21 Sepanyol," jelasnya. - AFP
No comments:
Post a Comment