Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 19 October 2011

Hormati Perlembagaan negara


Oleh SAODAH ABD. RAHMAN
PROF. MADYA DR. SAODAH ABD RAHMAN, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


SETIAP negara di dunia ini mempunyai perlembagaan dan sistem perundangan yang sesuai dengan konteks kemasyarakatan dan kenegaraan masing-masing. Oleh itu terdapat perbezaan sistem dan perundangan sesebuah negara dengan negara yang lain.

Berdasarkan kepada perbezaan budaya, adat istiadat dan perlembagaan maka pepatah Melayu mengatakan "Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung". Peribahasa ini sepatutnya difahami oleh keseluruhan masyarakat dalam negara ini sama ada beragama Islam atau bukan Islam.

Konteks dan suasana kemasyarakatan dan kenegaraan Malaysia tidak boleh disamakan dengan perlembagaan dan perundangan di negara Barat apabila masyarakat diberi kebebasan sepenuhnya untuk bersuara dan bertindak.

Kebebasan tanpa batasan boleh mengundang pelbagai reaksi negatif dalam negara yang dihuni oleh penduduk pelbagai bangsa dan agama. Berdasarkan kepada konteks masyarakat berbilang agama dan bangsa maka pakar undang-undang dalam negara ini menggariskan perlembagaan yang khusus berkaitan dengan sensitiviti keagamaan terutama berkaitan dengan agama Islam.

Masyarakat Islam dalam negara ini memberi kuasa kepada Sultan dalam hal ehwal keagamaan kerana Sultan dianggap sebagai simbol kepada kekuatan Islam.

Persepsi begini adalah berhubung kait dengan fakta sejarah yang menjelaskan bahawa penyebaran agama Islam di Nusantara terutamanya di Melaka adalah bermula dari istana.

Pada dalam tahun 1409 Parameswara, Raja Melaka memeluk agama Islam apabila baginda berkahwin dengan puteri raja dari Pasai. Nama baginda ditukar kepada Sultan Iskandar Shah. Pengislaman baginda diikuti oleh para pembesar, ahli-ahli keluarga dan rakyat jelata.

Apabila raja dan para pembesar memeluk agama Islam maka sistem kasta dihapuskan dan hubungan rakyat dengan istana adalah akrab kerana Islam menganjurkan konsep persaudaraan sesama Islam dan manusia mempunyai sama taraf kedudukan di sisi Allah.

Balai atau dewan istana dijadikan tempat untuk mengajar ilmu Islam dan al-Quran. Berdasarkan kepada fakta sejarah begini, maka masyarakat Islam di negara ini beranggapan bahawa Sultan mempunyai kuasa dan mandat dalam membicarakan hak dan kekuatan Islam. Perkara ini juga diperuntukkan dalam Perlembagaan negara.

Berdasarkan kepada sejarah dan peranan raja-raja Melayu yang begitu prihatin terhadap hal ehwal keagamaan dan adat istiadat, maka ketika negara ini dijajah oleh kuasa Barat, raja diberi kuasa atau mandat dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat.

Kuasa Barat memahami sensitiviti masyarakat Islam berkaitan dengan keagamaan. Walaupun berada dalam penguasaan Barat, masyarakat Islam masih bertolak ansur dengan kuasa penjajah kerana perkara berkaitan dengan hal ehwal agama dan adat istiadat Melayu masih lagi diiktiraf oleh penjajah Barat.

Masyarakat Islam dan bukan Islam dalam negara ini masa kini sepatutnya memahami Perlembagaan Malaysia dan memahami sejarah pembentukan negara ini daripada sebuah kerajaan Melayu bertukar menjadi negara Malaysia yang dikongsi oleh pelbagai kaum dan agama, bukan menafikan hak-hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan kepada bangsa tertentu.

Kejahilan terhadap sejarah dan kedegilan untuk menerima Perlembagaan negara merupakan faktor utama menyebabkan golongan tertentu bertindak di luar batas Perlembagaan yang mana boleh menimbulkan perasaan prejudis kaum dan agama.

Kegiatan begini sepatutnya tidak berlaku dalam negara yang masih mengekalkan sistem Raja Berperlembagaan di mana raja diberi kuasa untuk mengukuhkan kekuatan akidah Islam.

Konteks dan suasana dalam negara ini tidak boleh disamakan dengan negara luar kerana budaya dan adat istiadat kaum pribumi Islam dalam negara ini masih lagi terikat dengan budaya Islam yang berorientasikan ajaran sufi atau tasawuf Islam yang mana setiap aspek berkaitan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam dianggap sebagai suci dan tidak boleh dicerobohi.

Individu-individu yang diberi mandat dan kuasa dalam hal ehwal agama Islam sepatutnya bermuhasabah sejauh manakah sifat, keperibadian dan tingkah laku mereka bertepatan dengan bidang kuasa yang diberikan kepada mereka agar penampilan diri mereka boleh memberi keyakinan kepada umat Islam bahawa mereka adalah simbol kepada kekuatan Islam. masyarakat Islam di negara ini masa kini.

Bagi memperkukuhkan akidah dan Perlembagaan negara berkaitan dengan bidang kuasa dalam hal ehwal agama Islam, setiap individu Islam sama ada rakyat atau pemerintah perlu meletakkan keutamaan agama melebihi kepentingan politik.

Realiti yang wujud masa kini ialah perjuangan politik melebihi kepentingan agama sehingga sanggup mempertikaikan hak dan kepentingan agama demi kepentingan politik. Perjuangan politik yang tidak berlandaskan kepada prinsip dan objektif yang mantap sering berubah prinsip dan falsafah perjuangan.

Jika perkara begini berlaku di kalangan umat Islam maka kehancuran agama dan penghakisan akidah amat ketara dapat dipertontonkan kepada dunia.

Oleh itu umat Islam sepatutnya menggunakan akal yang rasional dan pengamatan yang luas supaya negara ini kekal sebagai negara Islam yang dihuni oleh pelbagai kaum dan agama agar makmur dan adil.

KOMEN : BILA LAGI NAK JADI WARGANEGARA YANG MENJUNJUNG PERLEMBAGAAN...

No comments: