Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 10 October 2011

FI - 2011 - Vettel juara berganda termuda


DARI UTUSAN MALAYSIA
10/10/2011




Sebastian Vettel meraikan kejayaan muncul juara F1 2011 di atas podium setelah menduduki tempat ketiga pada GP Jepun di Suzuka, semalam. - REUTERS

SUZUKA, Jepun - Pelumba Red Bull, Sebastian Vettel mengesahkan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini selepas menduduki tempat ketiga pada GP Jepun semalam.

Ini bermakna pelumba Jerman itu cemerlang dengan status juara berganda termuda dalam F1.

Pelumba McLaren, Jenson Button yang bermula pada kelompok depan bersama Vettel (petak pertama), memenangi perlumbaan di Litar Suzuka, iaitu kemenangan ketiganya musim ini dengan hanya 1.160s di depan pelumba Ferrari, Fernando Alonso.

Vettel hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kejuaraan musim ini atau Button gagal memenangi perlumbaan.

Begitupun 15 mata yang diperoleh setelah menduduki tempat ketiga semalam lebih daripada mencukupi untuk pelumba berusia 24 tahun itu menjadi pelumba termuda yang memenangi kejuaraan dunia berganda.

"Kami melalui musim yang panjang. Perlumbaan hari ini tidak sepantas yang kami harapkan kerana kami menggunakan tayar lembut.

"Dengan keputusan yang memuaskan ini, ia membantu saya memenangi kejuaraan. Terima kasih kepada pasukan," kata Vettel.

Vettel merupakan pelumba termuda yang menyertai F1 iaitu pada usia 19 tahun 53 hari bersama pasukan Sauber di Turki pada 2006.

Dia merupakan pelumba termuda yang memulakan perlumbaan pada 2007 di Amerika Syarikat dan pada perlumbaan yang sama, dia muncul pelumba termuda meraih mata.

Pada 2007 di Jepun, dia merupakan pelumba termuda yang mendahului perlumbaan dan pada 2008 di Itali, dia menjadi pelumba termuda yang meraih petak pertama, juga pelumba termuda yang memenangi perlumbaan.

Keputusan bersama pasukan Toro Rosso itu mendorong perpindahan ke pasukan Red Bull pada 2009 dan hampir merangkul kejuaraan dunia, namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua di belakang Button.

Vettel menyertai senarai pelumba terhebat sebagai juara dunia berganda termasuk Michael Schumacher, Juan Manuel Fangio, Jack Brabham, Jackie Stewart, Ayrton Senna dan Alain Prost.

Kini Vettel berpeluang memburu rekod 13 kemenangan semusim milik Schumacher dan rekod 14 petak pertama semusim milik Nigel Mansell. - Agensi

No comments: