Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 7 October 2011

Perdana Menteri, isteri dibenar ketepi sapina, Hoogland beri keterangan


Oleh AMIRUDDIN HARUN

Anwar Ibrahim dan Wan Azizah hadir pada perbicaraan kes liwat di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/-ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak perlu hadir sebagai saksi pembelaan dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang membenarkan permohonan pasangan tersebut untuk mengetepikan sapina yang dikeluarkan oleh mahkamah atas permohonan Ketua Pembangkang itu.

Dalam keputusan ringkasnya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menyatakan bahawa setelah meneliti afidavit, hujahan dan nas undang-undang, beliau mendapati Anwar gagal membuktikan bahawa Najib dan Rosmah ialah saksi yang relevan dan penting dalam kes tersebut.

Pada 21 September lalu, Perdana Menteri dan isteri memfailkan permohonan untuk mengetepikan sapina berkenaan dengan alasan mereka tidak dapat memberikan sebarang keterangan yang relevan mahupun membantu mahkamah bagi perbicaraan kes itu.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan, pasangan itu menafikan terdapat konspirasi oleh mereka untuk mereka-reka atau mengada-adakan pertuduhan liwat itu bagi menyebabkan sebarang kemudaratan terhadap Anwar pada bila-bila masa.

Najib dan Rosmah juga percaya bahawa pengeluaran sapina atas permohonan Anwar itu tidak dibuat dengan suci hati dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Peguam Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan Anwar kemudian memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pada prosiding hari ini, Najib dan Rosmah diwakili oleh peguam-peguam terdiri daripada Datuk Ghazi Ishak, Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Salehuddin Saidin, M.M. Athimulan dan Afiffudin Mohd. Afifi.

Sebaik sahaja keputusan itu selesai dibacakan, perbicaraan peringkat bela diri diteruskan dengan pasukan peguam Anwar memanggil saksi ketujuh mereka iaitu pakar bedah tulang belakang, Dr. Thomas Hoogland memberi keterangan.

Bagaimanapun prosiding tersebut tidak ubah seperti kelas anatomi apabila Hoogland memberi penerangan mengenai tulang belakang manusia berdasarkan model rangka manusia yang dibawa oleh barisan pembelaan.

Selain itu, mereka yang hadir pada hari ini juga berpeluang melihat 'dalaman' Anwar apabila pakar bedah berkenaan menunjukkan ujian saringan resonan magnetik (MRI) beliau.

Hoogland yang mengetuai pembedahan ke atas Anwar pada 6 September 2004 memberitahu, keadaan kesihatan Ahli Parlimen Permatang Pauh bertambah baik selepas menjalani pembedahan tersebut tetapi kembali mengadu sakit sewaktu pemeriksaan susulan pada 7 Februari 2005.

Hasil pemeriksaan pada 8 September lalu turut menunjukkan bahawa Anwar tidak mampu membongkok ke hadapan lebih 10 darjah dan membongkok ke belakang melebihi 15 darjah tanpa berasa sakit.

"Bagaimanapun, sebarang pergerakan yang berada dalam lingkungan tersebut tidak akan menyebabkan sebarang kesakitan," katanya sewaktu pemeriksaan utama oleh peguam bela, Sankara Nair.

Hoogland turut menyatakan, disebabkan terdapat beberapa faktor tulang belakang Anwar yang didapati secara perlahan-lahan menjadi teruk seperti sakit sendi faset (faucet joint arthritis) dan stenosis leher (neck stenosis) sebarang pergerakan mestilah dilakukan secara perlahan-lahan dan berhati-hati.

Menjawab pertanyaan Nair sama ada keadaan ini akan memberi kesan terutamanya ketika ingin melakukan pergerakan pinggul yang kuat atau berada dalam posisi melutut, Hoogland kembali menyatakan, sebarang pergerakan atau posisi hendaklah dilakukan dengan perlahan.

Sementara itu, kira-kira 20 minit selepas sesi sebelah petang bermula pada pukul 2.50 petang, pihak pembelaan memohon agar prosiding dijalankan secara tertutup.

Ini berikutan saksi berkenaan yang juga pakar bedah ortopedik Jerman berasal dari Belanda akan dirujuk kepada keterangan mangsa berhubung dakwaan perbuatan liwat tersebut.

Sesi tertutup tersebut berjalan selama 10 minit sebelum prosiding ditangguhkan sehingga esok untuk sambung perbicaraan.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-51-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Sementara itu, ketika ditemui selepas tamat prosiding, Nair menyatakan, Hoogland ialah saksi pakar yang terakhir dan pihaknya mungkin memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof sebagai saksi.

KOMEN : APA PASAL MAHU DIJALANKAN PERBICARAAN SECARA TERTUTUP... BUKANNYA KES BAWAH UMUR PUN... ?

No comments: