Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 24 October 2011

HIMPUN - Mufti Perak beri peringatan


Deklarasi 10 perkara Perhimpunan Sejuta Umat

DARI UTUSAN MALAYSIA
23/10/2011




SEBAHAGIAN daripada ribuan peserta menghadiri perhimpunan mempertahan dan menyelamatkan akidah umat dan agama Islam di Stadium Shah Alam, semalam. – Mingguan/Mohd. Shaharani Saibi

SHAH ALAM 22 Okt. – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memberikan ingatan bahawa kelemahan dan perpecahan umat Islam yang berlaku hari ini menyebabkan ada pihak yang berani memesongkan akidah penganutnya, selain menghina agama tersebut sedangkan sebelum ini Islam begitu dihormati.

Beliau yang menjadi tumpuan kira-kira 10,000 peserta Himpunan Sejuta Umat: Selamatkan Akidah (Himpun) sebagai pemidato terakhir mengimbas kembali bagaimana kekuatan orang Melayu yang tetap berpegang teguh dengan agama mereka meskipun ketika dijajah selama 500 tahun.

Malah beliau menyatakan, orang Melayu juga diberikan keistimewaan oleh Allah sebagai bangsa yang mempunyai kefasihan apabila dapat menguasai bacaan ayat suci al-Quran meskipun kitab suci itu diturunkan dalam bahasa Arab.

“Dalam semangat yang masih ada hari ini kita perlu pertahankan Islam. Bangsa Melayu adalah bangsa yang istimewa kerana Melayu dikaitkan dengan Islam sehingga ia membawa kepada pengertian dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kedatangan pendakwah ke Tanah Melayu menyebabkan orang Melayu menjadi Islam dan kedatangan Islam membolehkan orang Melayu membina empayar berasaskan kepada undang-undang Islam di Perak, Pahang dan Terengganu,” katanya pada perhimpunan tersebut di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Menurut beliau, sejak zaman penjajahan lagi, kuasa kuffar tidak henti-henti berusaha untuk memesongkan akidah umat Islam di Tanah Melayu termasuk dengan mengadakan pelbagai muslihat.

“Hari ini usaha tersebut dilakukan secara terang-terangan kerana kedudukan orang Melayu semakin lemah. Kerana kelemahan itu, Islam yang satu ketika dahulu dihormati, (telah diganggu-gugat oleh) mereka (yang) berusaha memesongkan dan menghina kita,” katanya.

10 PERKARA

KIRA-KIRA 10,000 umat Islam membanjiri Stadium Shah Alam di sini bagi menghadiri Perhimpunan Sejuta Umat: Selamatkan Akidah (Himpun) yang julung kali diadakan dengan masing-masing bertekad mempertahankan umat Islam daripada dipengaruhi oleh mana-mana kegiatan memurtadkan mereka.

Para peserta Himpun yang terdiri daripada lebih 1,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengenal fahaman politik atau aliran pemikiran menyimpul kukuh tekad tersebut dalam deklarasi yang mengandungi tuntutan 10 perkara.

Deklarasi yang dibacakan oleh Pengerusi Bersama Himpun, Mohd. Azmi Abdul Hamid di penghujung perhimpunan tersebut menyebut:

* "Bahawasanya, Islam adalah Risalah Ilahi yang dengan RahmatNya telah mengangkat bangsa Melayu dan semua bangsa yang lain dengan mesej 'rahmatan lil 'alamin'. Lantaran itu hanya dengan menghayati dan mengamalkan Islam sepenuhnya sahaja merupakan satu-satunya jalan untuk menjamin kemuliaan, keselamatan, kejayaan dan kehormatan bangsa Melayu mahupun mana-mana bangsa yang lain di negara ini.

* "Menginsafi bahawa asas pegangan umat Islam adalah akidah tauhid yang menjadi tunjang kepada seluruh pegangan hidup umat Islam dan prinsip ini tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak.

* "Bahawa kedudukan istimewa dan status khas agama Islam sebagai agama Persekutuan telah ditetapkan sejak dari kemerdekaan negara ini dan ia wajib dipertahankan oleh setiap warga Muslim dan dihormati oleh semua warga Malaysia.

* "Bahawa penyebaran agama lain daripada Islam kepada orang Islam dengan tujuan memurtadkan orang Islam adalah dilarang sama sekali berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Islam berpendirian tegas terhadap gejala murtad dan pemurtadan dianggap jenayah berat yang perlu diperangi habis-habisan.

* "Pelanggaran terhadap peruntukan ini boleh mengundang kepada tergugatnya keselamatan nasional dan mengundang ketegangan agama di negara ini.

* "Bahawa kami, pada hari ini, 24 Zulkaedah 1432H bersamaan 22 Oktober 2011 di Stadium Shah Alam di dalam Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (Himpun), bersepakat mengambil ketetapan untuk;

Pertama: Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-Raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.

Kedua: Kerajaan yang memerintah baik di peringkat Pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi dalam Islam dan Perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi dalam negara ini dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan mencabar kedudukan Islam hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

Ketiga: Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hendaklah memastikan supaya undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam Perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.

Keempat: Menuntut supaya kerajaan mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kelima: Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan akidah. Kami mengesa Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada akidah tauhid dan penerapan akidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

Keenam: Meminta kerajaan supaya mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

Ketujuh: Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk menganggu-gugat kesucian Islam.

Kelapan: Menyeru semua institusi dalam masyarakat terutamanya ibu bapa mengambil tanggungjawab yang tegas dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman Islam yang syumul agar dapat membentengi anak dan waris terdekat daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan akidah.

Kesembilan: Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media sama ada cetak, elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut undang-undang yang ada.

Kesepuluh: Menyeru umat Islam yang hadir dalam perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbezaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama bersatu menyonsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan akidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Dalam pada itu, Azmi yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menepis tohmahan segelintir pihak yang awal-awal lagi memberikan gambaran buruk dan menanamkan kebencian terhadap usaha menganjurkan Himpun.

"Apa salahnya umat Islam berhimpun untuk membincangkan tentang agama Islam dan selamatkan akidah. Ketika mereka berhimpun mereka kata itu hak demokrasi tetapi bila kita berhimpun itu kata hendak bermusuh dengan mereka," katanya.

Tegas beliau, perhimpunan tersebut adalah untuk memastikan martabat Islam tidak diganggu-gugat dan ia bukan suatu perkara yang boleh dikompromi.

No comments: