Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 14 October 2011

UiTM, Utusan Melayu meterai MoU


Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin bertukar dokumen dengan Dr. Sahol Hamid Abu Bakar sambil disaksikan Abdul Aziz Ishak dan Dr. Za'faran Hassan di bangunan Canselori UiTM, Shah Alam, semalam. – UTUSAN/SHAHARANI SAIBI

SHAH ALAM 13 Okt. – Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Utusan Melayu (M) Bhd. hari ini menjalin kerjasama bagi menjayakan program memartabatkan kedudukan pendidikan orang Melayu, penyelidikan dan perkembangan bahasa Melayu.

Kerjasama itu dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi tersebut untuk memartabatkan kedudukan bangsa Melayu dan bumiputera di negara ini, termasuk meningkatkan kedudukan bahasa Melayu serta tulisan jawi.

Ini termasuk sokongan Utusan Melayu terhadap program Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti anjuran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti Pendidikan UiTM pada 24 November hingga 2 Disember ini di sini.

Menurut Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Utusan Melayu secara konsisten telah banyak membantu memberikan publisiti meluas mengenai UiTM seperti berita mengenai kejayaan pelajar dan para pensyarahnya dalam aspek penyelidikan, pengajaran, pembelajaran dan aktiviti masyarakat.

“Kami di UiTM sentiasa memandang tinggi kepada Utusan kerana pada dasarnya Utusan dan UiTM berkongsi satu wawasan,” katanya pada majlis menandatangani MoU tersebut dan pelancaran program debat berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd . Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan timbalannya, Datuk Othman Mohamad.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Debat 211 Jam Tanpa Henti dan Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM, Prof. Madya Dr. Za‘faran Hassan.

Sahol berkata, memorandum yang ditandatangani tersebut merupakan satu ikatan formal daripada hubungan yang telah terbina sekian lama dan berharap kedua-dua pihak dapat menubuhkan jawatankuasa bersama bagi merangka pelan tindakan bagi memartabatkan bangsa.

Dalam pada itu Mohamed Hashim berkata, pihaknya berasa bangga kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan UiTM yang selama ini telah berjaya memberikan pendidikan tinggi kepada anak-anak bangsa di samping melahirkan ramai tokoh Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang.

No comments: