Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 18 October 2011

SIAPA PARA CALON BN? BELUM LAGI BACALAH DULU..

Mencari calon boleh menang
Oleh AZNAN BAKAR
aznan.bakar@utusan.com.my


KETIKA Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin hampir, tumpuan tentunya turut terarah kepada siapa yang akan jadi calon untuk bertanding.

Ia tidak terhad kepada Barisan Nasional (BN) sahaja, tetapi semua parti yang bakal bertanding.

Tetapi tumpuan lebih tentunya diberikan kepada BN kerana ia bukan sahaja akan bertanding di semua kawasan, tetapi sebagai parti pemerintah, ia akan turun untuk mempertahankan kerajaan.

Tokoh-tokoh dalam BN pula adalah nama-nama besar yang ada antaranya berkhidmat sejak dari zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun, disebabkan zaman telah berubah dan tuntutan politik yang lebih dinamik, pasti ada yang terpaksa digugurkan. Dalam menentukan siapa yang bakal menggalas tanggungjawab untuk menjadi calon BN beberapa kriteria digariskan.

Salah satunya adalah untuk meletakkan calon yang boleh menang atau winnable.

Tetapi siapa yang dikategorikan sebagai calon boleh menang? Siapa yang akan tentukan? Tentunya bukan oleh individu sendiri.

Bak kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa jika kriteria calon boleh menang itu adalah 'saya' maka parti akan porak peranda dan boleh kalah pada pilihan raya.

Tentunya kriteria boleh menang itu terletak pada penilaian pucuk pimpinan dan pengundi itu sendiri.

Jika berdasarkan kepada reaksi dan keluhan akar umbi kriteria calon yang menjadi pilihan mereka bukannya rumit sangat.

Yang pertama kata mereka mestilah mempunyai latar belakang pendidikan yang munasabah. Dalam zaman yang serba globalisasi ini, biarlah sekurangnya ada ijazah sarjana muda.

"Busuk-busuk pun biarlah ada ijazah. Tidak ada sebab pada zaman sekarang untuk kita pilih calon yang tidak ada ijazah," demikian luahan seorang pengundi akar umbi.

Para pengundi juga secara jelas menolak mana-mana calon yang ada kaitan dengan tuduhan jenayah.

Ini bukan soal seseorang itu disabitkan dengan kesalahan dan dijatuhkan hukuman. Tetapi dikaitkan dengan jenayah. Soal didapati bersalah oleh mahkamah itu perkara kedua.

Ini kerana, sebaik sahaja mereka dikaitkan dengan sesuatu perbuatan jenayah sama ada kecil atau besar, ia telah memalitkan imej negatif kepada parti.

Individu yang terlibat dengan isu-isu yang menimbulkan ketidakselesaan di kalangan masyarakat seperti itu bukan sahaja akan membebankan parti, tetapi tentu akan ditolak mentah-mentah oleh pengundi.

Dalam menentukan sama ada seseorang calon itu boleh menang atau tidak, soal-soal yang membabitkan keperibadian, isu moral dan akhlak amat memainkan peranan.

Dalam era siber, di mana pemimpin tidak lagi mempunyai rahsia untuk disimpan, setiap perlakuan mereka akan diketahui ramai.

Pemimpin dengan masalah moral yang menjadi bahan bualan orang ramai tentunya tidak termasuk dalam senarai calon boleh menang.

Bagi yang beragama Islam, individu itu mestilah tidak pernah terbabit dengan apa juga pertikaian syariah. Jika itu berlaku, ia pasti akan mempengaruhi pola pemilihan pengundi.

Pertikaian syariah tidak semestinya hanya membabitkan mereka yang didapati bersalah dan dihukum oleh mahkamah syariah.

Tetapi cukup dengan perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan seperti berpoligami secara rahsia dan sebagainya.

Kerana sebagai pemimpin mereka bukan sahaja kena bersih tetapi perlu dilihat dan kelihatan bersih. Mereka adalah contoh kepada masyarakat. Sedikit arang terpalit, maka kesannya kepada parti bukan sedikit.

Selain itu berdasarkan maklum balas orang ramai, mereka mahu calon yang bebas daripada masalah kewangan.

Analogi yang digunakan cukup mudah. Pada mereka, calon yang berhadapan dengan masalah kewangan mudah dipengaruhi dan mudah dibeli.

Calon seperti itu juga pada pandangan rakyat ada kecenderungan untuk terlibat dengan gejala tidak elok seperti rasuah dalam usaha mengatasi masalahnya.

Ini adalah persepsi rakyat yang perlu diberi perhatian. Persepsi yang timbul berdasarkan pengalaman yang dialami sendiri oleh para pengundi selama ini.

Sebab itu, calon-calon yang merasakan diri mereka layak tetapi tidak terpilih perlu menerima hakikat. Mereka bukannya ditolak oleh parti. Tetapi kehadiran mereka boleh menjejaskan peluang kemenangan parti.

Tidak ada gunanya jika sekadar menang sorak tetapi kampung tergadai. Elok ukur baju di badan sendiri. Nilai apa kekuatan dan kelemahan diri sendiri.

Jika cita-cita untuk jadi calon atau cita-cita untuk menjadi Yang Berhormat sepenggal lagi tidak kesampaian mesti ada sebab tertentu.

Ia tentunya ada kena mengena dengan prestasi dan ketidakpuasan rakyat dengan khidmat mereka.

Ketidakpuasan itu timbul mungkin disebabkan khidmat mereka tidak seberapa atau disebabkan faktor yang menimbulkan keresahan rakyat. Seperti dikaitkan dengan jenayah, terbabit dalam pertikaian syariah dan sebagainya.

Pada masa sama, mereka yang bakal dipilih sebagai calon mesti mempunyai pemikiran dan perjuangan yang selari dengan aspirasi pucuk pimpinan parti.

Calon-calon mesti fasih dan faham dengan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kepimpinan sekarang seperti 1Malaysia dan program-program transformasi yang diperkenalkan.

Mereka yang gagal menguasai aspirasi yang dibawa oleh pemimpin hanya akan mencetuskan kekeliruan di kalangan rakyat.

Suara-suara akar umbi juga turut berharap agar mereka yang tersenarai dalam kategori calon boleh menang itu mewakili peringkat umur yang sesuai.

Kata mereka, biarlah ada golongan yang mewakili peringkat umur 30 hingga 40 tahun, 40 hingga 50 tahun dan 50 tahun ke atas.

Faktor kesihatan juga mungkin boleh dipertimbangkan sebagai salah satu syarat untuk mencari calon boleh menang terutama bagi yang melebihi 50 tahun.

Tidak ada gunanya jika mereka menang tetapi tidak dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat akibat masalah kesihatan.

Untuk pemimpin yang telah melampaui zaman, yang eranya dianggap telah berlalu, kehadiran mereka boleh dikekalkan jika mempunyai faktor 'wow' yang menjadikan aset kepada parti.

Semua ini bukan kriteria yang ditetapkan oleh mana-mana pihak atau kumpulan. Ini adalah cakap-cakap, pandangan dan reaksi rakyat hasil pengalaman dan pergaulan harian dengan pemimpin mereka.

Mereka ini mungkin hanya insan-insan kerdil yang tidak mempunyai apa pengaruh. Tetapi golongan akar umbi inilah yang bakal menentukan siapa yang akan menerajui pemerintahan negara selepas PRU13.

KOMEN : KRITERIA SEBAGAI CALON BN SUDAH DIPERJELASKAN, JADI YANG TERASA DIRI MEREKA TIDAK LAYAK DICALONKAN SEMULA, SEDAR-SEDARLAH DIRI TU DAH BOLEHLAH BERUNDUR SECARA TERHORMAT... DAN KEPADA SESIAPA YANG RASA DIRI MEREKA ADALAH ORANG PALING LAYAK UNTUK DICALONKAN, JANGANLAH MELETAKAN HARAPAN YANG TERLALU TINGGI TAKUT KECUNDANG SEBELUM BERTANDING... BUKAN SENANG NAK MENJADI PEMIMPIN YANG BAIK DAN BERKARISMA. TEPUK DADA TANYA IMAN...

2 comments:

Onna said...

ramai yang mengharap walaupun tau diri tu tak layak...

AJAI62 said...

Assalam Syg Mum

Tahu tak pe.... ramai yg tak mahu turun... yang dah ditendang pun masih nak menempel...