DARI UTUSAN MALAYSIA
11/10/2011
Tanyalah kepada kebanyakan kaum hawa, yang muda dan berusia, mengenai pemerhatian mereka terhadap kaum lelaki dan mereka pasti mengeluh yang lelaki gentleman sudah hampir tiada di sekeliling mereka.
Apabila ada lelaki yang memberi tempat duduknya kepada wanita, membuka pintu untuk wanita atau memberi laluan kepada wanita masuk ke dalam lif atau koc terlebih dahulu, ia kini dianggap sebagai sesuatu yang mengejutkan dan bukan lagi norma sosial atau amalan biasa kini.
Tingkah laku baik dan sopan terhadap wanita ini jelas semakin berkurangan di dalam masyarakat, sehinggakan pengendali khidmat kereta api KTM Berhad mendapati wajar untuk memperkenal koc khas untuk wanita bagi memastikan wanita selamat daripada sikap kurang budiman kaum lelaki.
Apabila ditanya sebilangan gadis dan wanita baru-baru ini tentang ciri lelaki budiman pada pandangan mereka, ramai yang tertawa.
"Masih adakah gentleman di Malaysia ini?" tanya siswazah Siti Fadila Abbas Raja berseloroh.
Tetapi adakah memiliki budi pekerti baik memadai untuk menyifatkan seorang lelaki itu budiman? Atau adakah lelaki sopan ini tidak lebih daripada impian keterlaluan wanita untuk mencari ciri lelaki ideal yang dianggap gentleman?
Dalam gambaran yang lebih menyeluruh, perilaku tidak sopan kaum lelaki mencerminkan kemelut sosial dalam masyarakat tidak kira jantina. Bagaimanapun, dalam masyarakat yang didominasi lelaki, lelaki baik dan sopan masih menjadi perhatian.
Oleh itu bagi Siti Fadila dari Universiti Malaya, perkataan gentleman membawa maksud sesiapa yang tahu bagaimana untuk menghormati wanita, rendah diri terhadap semua ciptaan Tuhan dan tahu had dalam perbualan dan batasan tingkah laku semasa berdampingan dengan wanita.
"Dan yang lebih penting, seorang lelaki budiman akan memastikan wanita berasa selesa dan selamat dengan kehadirannya. Seorang gentleman juga harus tahu berinteraksi dengan baik," kata Fadila kepada Bernama mengenai ciri yang beliau harapkan daripada seorang lelaki budiman atau gentleman yang ideal.
Rakan kursusnya, Azhif Ezzudin, bagaimanapun berpendapat ada lelaki yang hanya menjadi gentleman bila dirasakan perlu.
"Jika ia semata-mata bertujuan membuktikan anda seorang yang macho, apa gunanya?" tanya Azhif.
Bagi Siti Fadila dan Azhif, gentleman merupakan seorang lelaki yang bermaruah dan dihormati.
"Beliau adalah mukminin, itu yang saya nampak," seorang remaja dari UiTM, Muhammad Zulhaiqal menyatakan pendapatnya.
"Ada lelaki yang hilang sopannya atau tidak gentleman di tempat kerja atau di luar rumah," kata Nik Noor Ainoon Nik Osman dari Kelantan.
"Ini yang saya perhatikan terutama semasa menunggu lif selepas waktu pejabat.
"Mereka tidak mempunyai belas kasihan terhadap orang lain, tidak kira bagaimana keadaan seseorang itu, sama ada anda wanita, tua atau mengandung.
"Mereka akan menyerbu dan menolak untuk masuk terlebih dahulu," kata Nik Nor Ainoon yang bekerja di Taipan Business Centre di Subang Jaya.
Rakan sekerja di Bernama, Ali Imran Nordin berkata: "Seorang gentleman akan melindungi wanita daripada bahaya, dia bagaikan perisai bagi kaum hawa."
"Bila berjalan dengan wanita, seorang gentleman akan berjalan di sebelah luar, dan beberapa langkah di hadapan."
Semasa berkunjung ke sebuah pusat membeli belah baru-baru ini, penulis mendapati ada suami yang tidak menunjukkan sifat gentlemen", duduk di sudut tertentu membaca akhbar sedangkan isteri membeli belah bersendirian atau ada yang sanggup membiarkan isteri menjinjing beg-beg barang belian.
Berbeza dengan Shamsudin Abdul Rashid dari Klang, yang sanggup meluangkan masa menemani isterinya membeli baju baharu.
"Saya tidak berbelanja apa-apa untuk diri saya hari ini. Saya hanya mahu membantu isteri saya menjinjing beg dan mengangkat barang yang dia beli untuk keluarga," kata Shamsudin.
KOMEN : ADA PRO DAN KONTRANYA... BILA LIHAT SEKELILING KITA SEMUA PERKARA BERLAKU TANPA DIDUGA..... BUKAN TAK ADA LANGSUNG LELAKI BUDIMANKAN...?
No comments:
Post a Comment