Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, susulan inisiatif-inisiatif itu kerajaan akan mengekalkan momentum ke arah menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi.
''Melalui bajet itu kerajaan juga komited untuk mengurangkan defisit fiskal negara dan kita akan menerangkannya secara terperinci. (Apa yang penting) Apa-apa program yang akan kita laksanakan adalah di bawah lingkungan kemampuan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, prestasi ekonomi negara terus berkembang walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran negara-negara luar antaranya kelembapan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) serta krisis hutang kerajaan negara Eropah.
''Sebagai negara perdagangan, persekitaran tidak menentu ini sudah tentu memberi kesan kepada ekonomi negara melalui hubungan kewangan dan pasaran kewangan.
''Namun keadaan ini dijangka hanya memberi kesan yang minimum memandangkan negara mempunyai kekuatan daya tahan, asas ekonomi yang mapan serta perancangan ekonomi yang kukuh," katanya lagi.
Mengenai prestasi ekonomi semasa beliau berkata, dalam tempoh separuh pertama 2011 ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus dan angka itu dicatatkan dalam persekitaran yang mencabar terutama selepas berlakunya gempa bumi di Jepun.
''Namun begitu kerajaan jangka pertumbuhan ekonomi dalam separuh kedua adalah lebih baik melalui perbelanjaan dan permintaan domestik serta kecergasan aktiviti pelaburan. Kita jangka perbelanjaan pengguna terus mencatat pertumbuhan ekoran harga komoditi yang kekal tinggi dan prospek pekerjaan yang stabil," katanya.
No comments:
Post a Comment