Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 7 October 2011

4 pelajar UiTM maut kemalangan - AL FATIHAH


Oleh YATIMIN ABDULLAH

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan salah seorang mangsa yang tersepit dalam kemalangan maut di Kilometer 4.2, Jalan Machang Pasir Puteh, semalam.

MACHANG 6 Okt. - Empat daripada lima sahabat yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang, maut apabila kereta yang mereka naiki merempuh sebuah treler di Kilometer 4.2, Jalan Machang Pasir Puteh, dekat sini awal pagi ini.

Pemandu kereta Perodua Kenari, Mohd. Syamil Malik berasal dari Kampung Parit Jorak, Batu Pahat dan Mohd. Rizal Mohd. Zain, dari Kluang, Johor, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa iaitu Mohd. Sazwan Rosli, berasal dari Pekan, Pahang dan Mohd. Faizuddin Jamil dari Seksyen 24, Shah Alam, Selangor meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Seorang lagi yang cedera ringan, Mohd. Haziq Zailani diberi rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Machang.

Difahamkan, kemalangan berlaku pukul 5.30 pagi ketika lima sahabat berusia 19 tahun yang juga penuntut tahun dua dan tiga jurusan seni reka, dalam perjalanan pulang ke kampus mereka dari pusat bandar Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Che Malek Bedot berkata, setibanya di lokasi kejadian, kereta itu melanggar bahagian tengah sebuah treler yang datang dari arah bertentangan lalu terperosok di bawah kenderaan tersebut.

Difahamkan treler berkenaan cuba membuat pusingan U di kawasan itu yang tidak berlampu.

"Treler tersebut datang dari arah Pasir Puteh ke Machang, manakala kereta itu dari arah bertentangan.

"Pemandu dan kelindan treler itu tidak mengalami kecederaan dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini, hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan tampil membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Che Fauzi Che Omar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pada pukul 5.49 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

"Seramai lapan anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat. Sejurus tiba di tempat kejadian, kami mendapati empat mangsa tersepit manakala seorang lagi dibawa keluar oleh penduduk kampung.

"Selepas berusaha hampir 20 minit, pihak kami mengeluarkan pemandu yang tersepit di tempat duduknya. Keseluruhan operasi tamat pada pukul 7.15 pagi," ujarnya.

“Saya terjaga selepas bunyi dentuman”

MACHANG 6 Okt. – “Semasa kejadian berlaku, saya tidur di belakang. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat. Sebaik sahaja sedar saya lihat rakan-rakan sudah berlumuran darah.”

Demikian cerita Mohd. Haziq Zailani, 19, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang yang terselamat dalam nahas ngeri di Kilometer 4.2 Jalan Pasir Puteh-Machang dekat sini awal pagi tadi.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan empat rakannya dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke UiTM selepas keluar makan di Wakaf Che Yeh serta bersiar-siar di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu malam tadi.

Tinjauan Utusan Malaysia di Hospital Machang di sini hari ini mendapati suasana pilu menyelubungi pekarangan hospital itu apabila rakan-rakan, ahli keluarga serta kakitangan UiTM Machang hadir sejurus menerima berita itu.

Mohd. Haziq yang cedera ringan dalam nahas tersebut, dilihat masih dalam keadaan trauma selepas terbabit dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawa empat rakannya.

Bapa Mohd. Rizal, Mohd. Zain Yaacob, 50, berkata, kali terakhir dia bertemu anak sulungnya itu adalah dua hari lalu ketika mengambil barangan milik arwah di UiTM Machang.

“Kelmarin, saya datang ke UiTM untuk mengambil barangan milik arwah. Semasa datang ke sini saya tidak nampak sebarang perubahan pada dirinya, kecuali barang yang diberikan untuk dibawa pulang kali ini lebih banyak sedikit daripada sebelumnya.

“Setiap kali cuti, saya akan datang mengambil barang miliknya untuk dibawa pulang kerana sukar untuknya membawa naik dalam kereta api,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Machang di sini hari ini.

Mangsa SMS ibu lapan jam sebelum kemalangan

BATU PAHAT 6 Okt. – “Sayang mama, Ang akan balik ke kampung malam esok”.

Itu kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir daripada seorang anak, Mohd. Syamil Malek, 19, atau nama timangannya Ang, kepada ibunya, sebelum arwah maut dalam kemalangan berdekatan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), Machang, Kelantan, pagi tadi.

SMS itu dikirim kurang lapan jam sebelum kemalangan meragut nyawa mangsa yang juga penuntut Diploma Seni Lukis dan Seni Reka universiti itu.

Menurut ibu Mohd. Syamil, Aisah Yusoff, 47, yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Batu Pahat, anaknya itu menghantar SMS tersebut pukul 10 malam tadi dan memaklumkan telah membeli tiket kereta api yang dijadualkan bertolak ke Kluang malam ini.

Katanya, seperti kebiasaan, bapa arwah, Malek Mahmod, 56, seorang pesara tentera laut akan menjemputnya di stesen kereta api Kluang.

Aisah turut memberitahu, arwah kebiasaannya pulang ke rumah mereka di Kampung Parit Jorak Elahi di sini, dengan menaiki kereta api ekoran banyak kemalangan membabitkan bas sebelum ini.

“Selepas SMS, saya telefon dia, suruh berhati-hati kalau keluar berjalan-jalan di sana (Kelantan) dan dia cakap ada banyak perkara hendak diceritakan sekembalinya ke kampung tetapi malangnya tidak berkesempatan,” katanya.

KOMEN : SALAM TAKZIAH UNTUK KELUARGA PELAJAR YANG TERLIBAT... AL FATIHAH...

1 comment:

Anonymous said...

Terima Kasih.. Saya sbg wakil keluarga arwah ingin mengucapkan terima kasih diatas doa dan keprihatinan rakyat Malaysi.