03 Jun 2015 12:43 AM
HO YING (empat dari kiri) dan Lee Rou You bergambar bersama pasangan Thailand yang berkongi pingat gangsa dan dua pasangan Singapura yang memenangi pingat emas dan perak semalam. REUTERS
SINGAPURA – Pasangan Ho Ying dan Lee Rou You menepati jangkaan apabila menghadiahkan pingat pertama untuk kontinjen negara setelah berkongsi tempat ketiga apabila tewas dalam separuh akhir beregu wanita individu acara pingpong Sukan SEA 2015 semalam.
Ho Ying-Rou You ternyata bukan lawan kepada beregu tuan rumah Feng Tianwei-Yu Mengyu apabila tumpas 9-11, 7-11, 8-11, 4-11 kepada pilihan pertama itu.
Pasangan yang kalah dalam dua perlawanan separuh akhir berkongsi pingat gangsa.
Singapura sudah pasti meraih emas dan perak setelah satu lagi pasangannya Lin Ye-Zhou Yihan turut ke perlawanan akhir setelah mengalahkan Nanthana Komwong-Suthasini Sawettabut dari Thailand dalam satu lagi separuh akhir.
Rou You berkata, walaupun gembira kerana menghadiahkan pingat pertama untuk kontinjen negara, namun dia kesal kerana sering melakukan kesilapan sehinggakan gagal memberikan saingan sengit kepada pemenang gangsa Olimpik London tiga tahun lalu itu.
“Antara kesilapan yang dilakukan adalah ketika melakukan servis. Saya sedikit kecewa kerana jika kami bermain dengan baik sudah tentu kami mampu untuk memberikan tentangan sengit kepada mereka.
“Bagi saya semua ini akan menjadi pengalaman paling bermakna buat kami berdua. Dalam masa sama kami gembira kerana dapat menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen negara,” katanya selepas tamat perlawanan.
Ho Ying-Rou You hanya mempamerkan aksi meyakinkan dalam set awal sahaja sebelum pasangan Singapura berasal dari China itu menguasai sepenuhnya pertembungan semalam.
Dalam Sukan SEA kali ini skuad pingpong negara meletakkan sasaran untuk membawa pulang tiga gangsa, menyamai pencapaian dua tahun lalu di Myanmar. – utusan
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/pingat-pertama-negara-1.98534#sthash.7zOZeCdH.dpuf
No comments:
Post a Comment