Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 18 June 2015

Bola sepak perlu pandang ke timur

MUHAMMAD AFIFI 
ABDUL RAZAK | 18 Jun 2015 1:32 AM


PENYERANG Harimau Malaya, Mohd. Amri Yahya memohon maaf kepada penyokong pasukan negara selepas tewas kepada Palestin 0-6 pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Bukit Jalil, kelmarin. BERNAMA

SENARIO bola sepak Malaysia sekali lagi mempamerkan cerita duka. Selepas pasukan Harimau Muda gagal di Sukan SEA, Singapura, ‘abangnya’, Harimau Malaya pula ‘terkial-kial’ mencari rentak bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

Selepas dua perlawanan awal, Harimau Malaya bukan sahaja gagal ‘membaham’ pasukan yang dianggap lemah apabila seri 1-1 dengan Timor Leste bahkan tewas 0-6 kepada Palestin.

Hanya berita perkembangan terkini pasukan remaja Malaysia di bawah kendalian Lim Teong Kim di Eropah menjadi penawar dan harapan kepada masa depan bola sepak Malaysia. Apa yang pasti, pasukan negara, khasnya Harimau Muda, perlu satu perubahan besar bagi memastikan survival, sekurang-kurangnya di peringkat Asia.

Malaysia bukannya ‘pendatang baru’ dalam dunia bola sepak Asia. Sejarah bola sepak negara bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi. Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, sukan bola sepak negara berkembang selaras dengan kemajuan negara.

Bekas Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, yang pernah menerajui AFC, memperkenalkan kejohanan Pesta Bola Merdeka - antara kejohanan bola sepak tertua di Asia. Pasukan Malaysia juga pernah layak dua kali ke Sukan Olimpik iaitu di Munich, Jerman, pada 1972, dan di Moscow, Russia, pada 1980.

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia pernah menjadi ‘kuasa’ bola sepak yang digeruni. Malah, di rantau Asia, Malaysia pernah sebaris dengan pasukan tersohor Asia seperti Jepun dan Korea Selatan. Beberapa pemain kebangsaan juga pernah membarisi pasukan Asian All Stars. Entah bagaimana, tiba-tiba, prestasi pasukan bola sepak Malaysia semakin malap dan merudum.

Pengenalan Liga Semi Profesio­nal pada akhir 1980-an jelas tidak banyak membantu meningkatkan prestasi pasukan bola sepak Malaysia. Sebaliknya, sukan nombor satu itu terpalit dengan beberapa insiden rasuah yang menyaksikan beberapa pemain tempatan dan kebangsaan ditahan dan ‘dibersarakan’ terus.

Beberapa perkembangan terkini dikatakan telah dan sedang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pun begitu, prestasi pasukan bola sepak Malaysia yang tidak menentu mengundang pelbagai persoalan. Sejauhmanakah keberkesanan program pembangunan sukan bola sepak di Malaysia? Apakah fungsi dan peranan FAM dan Kementerian Belia dan Sukan dalam merencana pembangunan sukan bola sepak dan pasukan bola sepak Malaysia?

Antara faktor yang mendorong kemerosotan prestasi pasukan bola sepak Malaysia, khasnya Harimau Malaya dan Harimau Muda, secara tidak langsung, ialah, pertama, tiada atau kurangnya elemen pemantauan dalam pengurusan kedua-dua pasukan ini.

Kedua, jadual pertandingan liga tempatan yang ketat menyebabkan prestasi pemain kebangsaan merosot. Ketiga, kegagalan pasukan kebangsaan untuk menghasilkan beberapa ‘key player’ untuk menerajui barisan pertahanan, tengah dan serangan.

Pasukan Malaysia juga tidak mampu melahirkan walau seorang pun penyerang ‘deadly striker’ yang bukan sahaja lincah menggelecek, malah mampu menjaringkan gol dalam apa jua keadaan.

Keempat, hampir tiada langsung elemen dan sumbangan ‘sains sukan’ dalam pembangunan pemain dan pasukan bola sepak Malaysia; dan kelima, kebanyakan pemain bola sepak kebangsaan bermain ‘ala kadar’, tidak sebagaimana yang dipamerkan ketika mewakili pasukan kelab ataupun negeri yang telah membayar mereka dengan imbuhan dan gaji berpuluh ribu ringgit.

Justeru pasukan bola sepak Malaysia disaran ‘memandang ke timur’ bagi mencari ubat terhadap kemerosotan prestasi pasukan bola sepak Malaysia.

‘Dasar pandang ke timur’ ini jelas sekali bukan sahaja baik untuk aspek pembangunan ekonomi di Malaysia, malah mampu membantu menghidupkan kembali ‘roh’ dan ‘semangat’ pasukan bola sepak Malaysia yang semakin hari semakin hilang.

Ini bermakna pasukan bola sepak Malaysia boleh mengambil contoh dan model beberapa pasukan dari Asia Timur yang sedang meningkat maju seperti Jepun, Korea Selatan dan China. Ketiga-tiga pasukan ini bukan sahaja pernah layak ke Piala Asia, tetapi juga pernah beberapa kali layak ke Piala Dunia dan Piala Konfederasi.

Jepun mempunyai Visi 100 Tahun yang menjadi panduan utama dalam program pembangunan bola sepak negara itu. Liga J yang dibentuk pada akhir 1980-an telah mengangkat prestasi pasukan Jepun sehingga layak ke Piala Dunia bahkan muncul antara 16 pasukan terbaik dalam Piala Dunia 2002.

‘Visi 100 Tahun’ bola sepak Jepun ini sebenarnya dibentuk berdasarkan kepada model sukan bola sepak dalam komuniti di Eropah dengan mengambil Jerman sebagai negara contoh. Kelab-kelab bola sepak profesional di Jerman ialah sebuah entiti yang bersifat komprehensif iaitu seluruh keluarga, bermula dari usia kanak-kanak sehingga dewasa, boleh menikmati kemudahan bermain bola sepak di kelab-kelab tersebut. Malah, kemudahan sukan bola sepak disediakan oleh kerajaan di hampir semua kawasan kediaman termasuk latihan profesional kepada mereka yang berminat.

Walaupun bola sepak Jepun pernah melalui ‘zaman gelap’ apabila disisihkan selama beberapa tahun daripada dunia bola sepak berikutan Perang Dunia Kedua, perancangan teratur dan wawasan tinggi akhirnya meletakkan pasukan negara matahari terbit ini di tempat selayaknya.

Di bawah jurulatih Jerman, Dettmar Cramer, pasukan bola sepak Jepun mara ke peringkat suku akhir Sukan Olimpik di Tokyo pada 1964 dan memenangi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik di Mexico City empat tahun kemudian. Jepun juga layak buat pertama kalinya menyertai kejohanan Piala Dunia di Perancis pada 1998.

Pada 2002, Jepun dan Korea Selatan melakar sejarah apabila dipilih sebagai penganjur bersama Piala Dunia.

Sejak itu, pasukan bola sepak Jepun tidak menoleh ke belakang lagi apabila berjaya melayakkan diri beberapa kali ke kejohanan Piala Dunia di Jerman (2006), Afrika Selatan (2010) dan Brazil (2014).

Pasukan bola sepak Jepun juga telah menghasilkan banyak pemain berkaliber seperti Kunishige Kamamoto (penjaring terbanyak Sukan Olimpik 1968), Yasuhiko Okudera (pemain Jepun pertama bermain dalam Busdesliga di Jerman), Kazuyoshi Miura (pemain kelahiran Brazil-Jepun yang diiktiraf sebagai Pemain Terbaik Asia 1993), Hidetoshi Nakata (pemain terbaik Asia 1997 dan 1998), Shunsuke Nakamura (pemain terbaik dalam Liga Scotland 2007), serta Shinji Ono (pemain terbaik Asia 2002).

Demikianlah kisahnya bagaimana Jepun mencatatkan kejayaan membangunkan pasukan bola sepaknya hingga berjaya mencapai satu tahap yang sangat membanggakan pada hari ini.

Malaysia juga tidak mustahil untuk mencapai kejayaan sebagaimana Jepun. Malah, Malaysia juga boleh berjaya seperti pasukan Asia lain, Korea Selatan dan China. Prasyarat bagi kejayaan ini ialah mesti ada perubahan besar kepada pasukan bola sepak Malaysia.

Beberapa cadangan boleh dipertimbangkan. Pertama, Malaysia mesti melantik jurulatih asing yang berkaliber dari negara yang mempunyai ‘budaya tinggi’ dalam sukan bola sepak, dan kedua, cadangan untuk mengambil pemain bukan kelahiran Malaysia secara proses naturalisasi mesti dipertimbangkan.

Ketiga, aspek sains sukan khasnya dalam membentuk sahsiah, jasmani, mental serta kualiti pemain mesti digabungkan dalam program pembangunan bola sepak Malaysia.

Keempat, kejohanan liga tempatan mesti diurus secara teratur dan lebih profesional dan tidak membebankan pemain-pemain dalam pasukan kebangsaan. Kelima, pasukan bola sepak kebangsaan mesti didedahkan dengan perlawanan bertaraf ‘A’ untuk menimba pengalaman dengan sebanyak mungkin. Dan akhir sekali ‘memasarkan’ pemain-pemain muda negara untuk bermain dengan kelab-kelab di luar negara khasnya di Asia.

Apa yang paling penting ialah bagaimana menjadikan sukan bola sepak sebagai satu ‘budaya’ di Malaysia sebagaimana yang wujud di Jepun dan kebanyakan negara di Eropah.

Program pembangunan bola sepak di Malaysia yang ada pada hari ini dilihat kurang membantu dalam meningkatkan prestasi sukan bola sepak dan pasukan bola sepak Malaysia. Jika kita masih ingin menunggu hasilnya, berdasarkan kepada perkembangan terkini, adalah agak sukar dan mungkin akan menjadi satu usaha yang sia-sia sahaja.

Satu proses transformasi pasukan bola sepak Malaysia secara besar-besaran mengambil model negara-negara di Asia Timur sebagai contoh mesti dilakukan di samping usaha membudayakan sukan bola sepak dalam kalangan rakyat.

Semoga pasukan Harimau Malaya dan Harimau Muda dapat bangkit dan kembali mengaum di dalam gelanggang sukan bola sepak Asia serta mampu bersaing sebaris dengan pasukan bola sepak tersohor dunia. Ayuh! Bangkitlah Harimau Malaya!

PENULIS ialah pensyarah bidang 
sains politik di Pusat Pengajian 
Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah Darulaman.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/bola-sepak-perlu-pandang-ke-timur-1.104226#sthash.lq3fphqo.dpuf

No comments: