Malaysia raih 7 emas menerusi terjun, wusyu, renang, snuker, petanque
09 Jun 2015 1:13 AM
Chuan Leong Thor
Phee Jing En
Wendy Ng (kiri) dan Nur Dhabitah Sabri.
Loh Jack Chang
Ooi Tze Liang
Muhd. Hafizuddin Mat Daud
TRIO wusyu negara, Chan Audrey Yee Jo, Chan Lu Yi dan Cheah Aggie Ruey Shin menghadiahkan emas dalam acara duilian barehand berpasukan wanita. - See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/hari-paling-cemerlang-1.100705#sthash.A4AEEhQ1.dpuf
SINGAPURA - Wusyu akhirnya menggegarkan Singapura, manakala terjun terus menjadi lubuk emas Malaysia pada hari ketiga Sukan SEA 2015 yang menyaksikan kontinjen negara melakar keputusan paling cemerlang dengan merangkul tujuh emas keseluruhan.
Petanque, renang dan snuker turut menjadi penyumbang emas Malaysia semalam, sekali gus menyaksikan kontinjen negara memperbaiki kedudukan pingat keseluruhan daripada tangga kelima ke tangga keempat dengan mengumpul 15 emas, 19 perak dan 23 gangsa.
Selepas berdepan risiko pulang tangan kosong, skuad wusyu akhirnya menutup kempen dengan merangkul dua emas menerusi Loh Jack Chang dalam acara wajib taijiquan lelaki serta trio Chan Audrey Yee Jo, Chan Lu Yi dan Cheah Aggie Ruey Shin dalam duilian barehand berpasukan wanita.
Wusyu sememangnya sering menjadi sandaran emas Malaysia, malah mereka melakar pencapaian yang lebih baik di Myanmar, dua tahun lalu apabila meraih tiga emas, lima perak dan enam gangsa.
Sementara itu, terjun terus menjadi lubuk emas Malaysia dengan meraih enam daripada lapan emas yang ditawarkan di Singapura.
Dua lagi emas berjaya ditokok semalam menerusi juara Sukan Komanwel, Ooi Tze Liang dalam 10 meter platform lelaki dan gandingan 3m papan anjal seirama wanita, Wendy Ng-Nur Dhabitah Sabri.
Di Arena OCBC, Thor Chuan Leong terpaksa bertarung hampir tiga jam sebelum menghadiahkan emas dalam snuker individu lelaki dengan menewaskan jaguh Myanmar, Htet Ko 4-2.
Memulakan saingan pada pukul 7 malam, Chuan Leong bagaimanapun menamatkan permainan ketika jam dinding menunjukkan 15 minit lagi hendak memasuki pukul 10 malam.
“Saya tidak sangka akan menerima tekanan seperti ini, saya perlu bermain dengan perlahan untuk menyekat tempo permainan lawan,” kata Chuan Leong.
Selain menjadi lubuk emas Malaysia dalam acara terjun, Pusat Akuatik OCBC turut membawa tuah kepada perenang remaja berusia 17 tahun, Phee Jing En apabila meraih emas pertamanya dalam Sukan SEA menerusi 100 meter kuak dada wanita.
Jing En turut mencatat masa peribadi terbaik, 1 minit 10.47 saat untuk mengejutkan rakan senegara yang juga juara bertahan, Christina Loh. Christina beraksi buruk apabila menduduki tempat kelima.
“Sasaran saya hari ini hanya cuba melakukan yang terbaik. Sebaik saja melihat papan markah memang rasa terkejut.
“Saya sebenarnya bersemangat hendak mengekalkan gelaran ini kerana kita adalah penyandang juara(Christina),” katanya.
Gelanggang petanque turut memahat sejarah apabila Muhd. Hafizuddin Mat Daud muncul atlet Malaysia pertama meraih emas acara tersebut selepas menjuarai saingan perseorangan lelaki.
Hari ini, buruan emas Malaysia akan diteruskan dengan terjun menawarkan dua emas terakhir dalam 3m papan anjal lelaki dan 10m platform individu wanita, yang menampilkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Pandelela Rinong.
Turut menjadi tumpuan pastinya olahraga, di mana Malaysia memasang misi merampas kembali gelaran Raja Pecut dalam 100m lelaki.
Boling, gimnastik artistik, pelayaran dan menembak turut menawarkan emas yang mampu diraih atlet negara.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/hari-paling-cemerlang-1.100705#sthash.A4AEEhQ1.dpuf
No comments:
Post a Comment