02 Jun 2015 12:44 AM
LEE ROU YOU (kiri) dan Ho Ying membalas pukulan pasangan Indonesia, Dwijayanti Gustin-Hawwa Kharisma Nur pada suku akhir ping pong beregu wanita di Stadium Tertutup Singapura, semalam.
SINGAPURA – Pingat pertama Malaysia pada Sukan SEA 2015 kini sudah dalam genggaman apabila gandingan Ho Ying-Lee Rou You melangkah ke separuh akhir acara ping pong beregu wanita di Stadium Tertutup Singapura, semalam.
Ho Ying-Rou You melepasi saingan suku akhir menerusi kemenangan selesa 11-6, 11-8, 11-6 ke atas pasangan Indonesia, Dwijayanti Gustin-Hawwa Kharisma Nur.
Kejayaan melangkah ke separuh akhir bermakna, pasangan negara itu sudah mengesahkan sekurang-kurangnya gangsa, sekali pun tersingkir dalam saingan hari ini.
Ho Ying-Rou You kini bakal berdepan beregu pilihan tuan rumah yang juga pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia, Feng Tianwei-Yu Mengyu.
Feng Tianwei-Yu Mengyu mara ke separuh akhir selepas mengalahkan pasangan Thailand, Paranang Orawan-Khetkhuan Tamolwan 11-8, 13-11, 11-6.
Menurut Ying Ho, dia tidak menyangka mampu menewaskan gandingan Indonesia untuk melangkah ke separuh akhir kerana sandaran utama Malaysia sebelum ini diletakkan kepada beregu utamanya, Ng Sock Khim-Angeline Tang An Qi
“Kami beruntung kerana tidak bertemu lawan yang sukar pada aksi awal dan dalam masa sama kami juga tidak menjangka akan memperoleh pingat pertama buat beregu wanita.
“Untuk perlawanan selepas ini kami akan cuba melakukan yang terbaik biarpun sedar peluang untuk menang dalam saingan separuh akhir nampak tipis,” katanya selepas tamat aksi suku akhir di Stadium Tertutup Singapura, sini, semalam.
Ho Ying-Rou You bukan saja mendapat undian mudah pada awal saingan beregu wanita, malah menerima bye di pusingan pertama, sekali gus membolehkan mereka memulakan aksi dari saingan suku akhir.
Sementara itu, hajat Sock Khim-Angeline untuk menghadiahkan pingat buat negara tidak kesampaian selepas tewas mudah 7-11, 5-11, 4-11 kepada pasangan Singapura, Lin Ye-Zhou Yihan.
Sasaran pingat yang diletakkan kepada beregu lelaki, Muhd. Shakirin Ibrahim-Muhammad Ashraf Haiqal Muhammad Rizal juga tidak kesampaian apabila pasangan itu tersingkir awal.
Tiada keserasian dalam permainan menyebabkan Shakirin- Ashraf tewas mengejut kepada pasangan Vietnam, Nguyen Anh Tu-Tran Tuan Quynh 10-12, 8-11, 6-11, 4-11.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/pingat-pertama-dalam-genggaman-1.98153#sthash.GgXbIFQS.dpuf
No comments:
Post a Comment