19 Jun 2015 12:41 AM
Fatin Nurfatehah Mat Salleh (kanan) meraikan kejayaan bersama jurulatihnya selepas berjaya memenangi pingat emas dalam acara compound individu wanita Sukan SEA 2015 di Singapura baru-baru ini. UTUSAN
SINGAPURA – Pasukan memanah compound yang diketuai Fatin Nurfatehah Mat Salleh wajar menerima pujian tinggi selepas mereka melakar sejarah dengan memenangi empat pingat emas Sukan SEA 2015.
Empat Sukan SEA yang lalu mereka tidak pernah menyumbangkan pingat emas namun dalam temasya di Singapura, mereka mempamerkan peningkatan prestasi mendadak di bawah kendalian jurulatih tempatan Adnan Ahmad. Malah, mereka hampir menyapu bersih semua pingat emas namun Zulfadhli Ruslan tewas dengan perbezaan satu mata dalam perlawanan akhir individu lelaki.
Kejayaan ini juga pasti sesuatu yang manis kepada pasukan compound kerana akhirnya mereka dapat membuka mata pihak berwajib seperti Majlis Sukan Negara (MSN) agar memberikan layanan sama rata seperti mana yang dinikmati oleh skuad recurve.
Difahamkan, sebelum pasukan compound tiba ke Singapura, mereka hanya diberi penajaan anak panah dan selebihnya atas perbelanjaan sendiri, mungkin kerana kurang yakin skuad itu mampu menyerlah dalam Sukan SEA kali ini.
Layanan itu sememangnya sesuatu yang pelik memandangkan trio berpasukan wanita compound yang terdiri daripada Fatin, Saritha Cam Nong dan Nor Rizah Ishak baharu sahaja melakar kejayaan terbesar pada 9 Mei lalu iaitu memenangi Piala Dunia di Shanghai, China dengan mengalahkan Amerika Syarikat.
Bagi pasukan recurve, prestasi pasukan lelaki boleh dikatakan agak sederhana sementara skuad wanita, yang terdiri daripada ramai muka baharu, masih dalam proses mencari pengalaman dan pendedahan bertanding di kejohanan peringkat tinggi.
Maruah skuad recurve diselamatkan oleh trio Khairul Anuar Mohamad, Mohd. Iqram Joni dan Haziq Kamaruddin yang mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua temasya lalu untuk mengubati kekecewaan Haziq yang tewas kepada pemanah Thailand, Witthaya Thamwong dalam acara individu.
Skuad recurve wanita yang terdiri daripada Farah Amalina Azhar (20 tahun), Loke Shin Hui (18 tahun) dan Nur Afisa Abdul Halil (17 tahun) pula membawa pulang pingat gangsa wanita berpasukan selepas menewaskan Singapura, dan itu sekurang-kurangnya membuktikan mereka ada potensi menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017.
Fatin, yang merangkul tiga pingat emas, mengakui mereka terpaksa berlatih secara berasingan untuk menghadapi Sukan SEA namun itu tidak menghalang mereka melakar kejayaan yang pasti akan dikenang dalam tempoh yang lama.
“Disebabkan masing-masing tinggal di tempat berasingan, kami terpaksa berlatih sendirian dan semuanya atas tanggungjawab masing-masing tetapi atas semangat dahagakan kejayaan, kami berjaya melakukan apa yang orang lain fikir mustahil.
“Tiada sebarang rahsia tertentu di atas apa yang kami semua lakukan, hanya kerja keras dalam latihan dan disiplin, alhamdulilah apa yang kami buat di sini sesuatu yang sangat manis dan harap mampu dikekalkan selepas ini,” katanya. – UTUSAN
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/skuad-compound-cipta-sejarah-1.104479#sthash.HjwEPHWB.dpuf
No comments:
Post a Comment