11 Jun 2015 12:56 AM
SINGAPURA - Malaysia terus menghampiri sasaran menang 56 peratus pingat Sukan SEA 2015 tanpa mengira warna apabila mengutip enam lagi pingat emas semalam dengan skuasy didominasi oleh pemain-pemain negara.
Meskipun terjun menjadi pasukan paling cemerlang setakat ini, namun pujian wajar diberikan kepada barisan atlet gimnastik artistik, snuker, boling, ekuestrian dan skuasy kerana turut menampilkan aksi cemerlang semalam.
Pasukan gimnastik artistik negara menutup kempen kali ini dengan meraih pingat emas dalam disiplin senam lantai wanita menerusi Farah Ann Abdul Hadi sekali gus berjaya melepasi sasaran dua pingat emas yang ditetapkan.
Skuad snuker negara turut merangkul pingat emas kedua menerusi Thor Chuan Leong-Moh Keen Hoo yang memenangi acara beregu setelah Chuan Leong muncul juara individu Isnin lalu.
Penampilan kali ini adalah jauh lebih baik berbanding dua tahun lalu yang menyaksikan pasukan snuker negara sekadar membawa pulang satu pingat emas, juga menerusi Chuan Leong dalam acara 6 red snooker.
Ekuestrian turut mencapai sasaran satu pingat emas menerusi R. Sharmini dalam acara jumping sambil mencipta kejutan ke atas wakil tuan rumah Catherine Chee.
Jaguh boling wanita Sin Li Jane pula menamatkan penantiannya selama empat tahun untuk mengutip pingat emas Sukan SEA apabila menjadi tunjang kepada kejayaan dalam acara beregu bersama Esther Cheah, sekali gus menghadiahkan kontinjen negara emas kedua setakat ini.
Pingat gangsa turut menjadi milik Malaysia menerusi gandingan Shalin Zulkifli-Syaidatul Afifah.
Keunggulan pasukan skuasy negara nyata tidak mampu ditandingi walaupun menghantar skuad muda apabila mengutip dua pingat emas dalam acara perseorangan lelaki dan wanita, malah aksi akhir mempertemukan atlet negara dalam kedua-dua kategori.
Dalam perseorangan wanita, Rachel Arnold menewaskan Vanessa Raj 11-13, 11-9, 11-3, 11-5 dalam tempoh 30 minit untuk meriah pingat emas pertama sebelum Sanjay Singh Chal melengkapkan hari penuh bergaya untuk kem skuasy negara selepas mudah menumpaskan Muhd. Addeen Idrakie Bahtiar 11-7, 11-3, 12-10.
Namun, harapan skuad olahraga negara untuk menambah emas tidak kesampaian setelah Mohd. Izzuddin Yahya dan G. Aravinn Thevarr sekadar meraih tempat keempat dan kelima dalam acara 200 meter manakala atlet lontar peluru Adi Aliffudin Hussin sekadar menyumbang gangsa di Stadium Nasional Singapura.
Aksi di kolam renang pula menyaksikan hanya dua perak dan dua gangsa dikaut oleh pasukan negara di Pusat Akuatik OCBC.
Phee Jinq En (32.46 saat) dan Erika Kong (32.58s) masing-masing menang perak dan gangsa acara 50m kuak dada, tunduk kepada perenang tuan rumah Roanne Ho yang memecahkan rekod kejohanan 32.00s milik sendiri apabila merakamkan 31.45s.
Dalam acara 1,500 m gaya bebas lelaki, Kevin Yeap sekadar meraih gangsa sekali gus gagal mengulangi pencapaian perak di Myanmar dua tahun lalu. Dia melakukan catatan 15 minit 55.69 dan emas dimenangi perenang Vietnam manakala perak milik Indonesia.
Harapan yang diletakkan dalam acara 400m gaya bebas wanita melalui Khoo Chai Lin juga berkubur apabila perenang senior itu hanya mampu meraih perak di belakang jaguh Vietnam, Nguyen Thi Anh Vien.
Acara 4x100 m rampaian wanita yang diwakili barisan perenang Yap Sew Hui, Caroline Chui Lai Kwan dan Phee Jinq En gagal meraih sebarang pingat apabila acara tersebut mudah dikuasai Singapura manakala Thailand dan Filipina meraih perak dan gangsa.
Malaysia turut meraih satu gangsa menembak menerusi Mohd. Hadafi Jaafar dalam acara 50m rifle prone lelaki individu di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Singapura.
Misi menambah pingat emas akan diteruskan hari ini menerusi skuad badminton lelaki dan wanita yang melangkah ke separuh akhir dan bakal berdepan cabaran Indonesia di Stadium Tertutup Singapura.
Malaysia dijangka mampu meneruskan aksi cemerlang hari ini menerusi beberapa acara termasuk memanah, renang, badminton, olahraga, boling, berbasikal, silat, petanque, pelayaran serta menembak.
Lapangan olahraga dilihat mampu menyumbang satu pingat emas hari ini menerusi Muhammad Irfan Shamsuddin dalam acara lempar cakera namun dia berdepan dua pencabar utama dari Thailand, Narong Benjaroon dan Kwanchai Numsonboon.
Nauraj Singh Randhawa juga bakal berdepan pencabar dari Thailand, Pramote Prumurai dalam acara lompat tinggi.
Wong Fu Kang diharap mampu melakarkan kejutan dengan menyumbang satu lagi pingat emas menerusi acara 50m kuak lentang selepas menang 100m kuak dada Ahad lalu selain Daniel Beego juga akan bersaing dalam acara 400m gaya bebas. – UTUSAN
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/enam-lagi-emas-dituai-1.101403#sthash.zj83lm99.dpuf
No comments:
Post a Comment