17 Jun 2015 1:14 AM
MOHD. HARRIF SALLEH menyumbangkan dua pingat emas buat skuad berbasikal dalam Sukan SEA 2015 menerusi acara kriterium dan lepas beramai-ramai.
MELAKA – Peluang skuad kebangsaan untuk meraih lebih tujuh pingat emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur tampak cerah selepas Kongres Persatuan Berbasikal Asean (ACA) merayu agar Malaysia menganjurkan semua acara berbasikal seperti lebuh raya, trek, BMX dan berbasikal bukit (MTB) pada temasya dwitahunan itu.
Presiden ACA, Datuk Abu Samah Abd. Wahab berkata, usul tersebut telah dibawa oleh beberapa negara termasuk Thailand, Indonesia serta Vietnam dan ia diluluskan sebulat suara dalam Kongres ACA yang diadakan di Singapura pada minggu lalu.
Tambahnya, Thailand misalnya kecewa dengan tindakan negara penganjur Sukan SEA 2015, Singapura yang hanya menganjurkan acara lebuh raya dan mencicirkan acara tradisi lain seperti trek, BMX serta MTB.
“Thailand telah mendesak Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2017 agar kembali menjadikan lebuh raya, trek, BMX dan MTB sebagai acara wajib pada temasya di Kuala Lumpur. Usul tersebut kemudian dipanjangkan lagi oleh Vietnam dan Indonesia.
“Malah Myanmar juga menjelaskan bahawa, ia turut menjadikan lebuh raya, BMX dan MTB sebagai acara di Nay Pyi Taw pada 2013.
“Kongres kemudian secara sebulat suara meluluskan usul mendesak Malaysia menganjurkan acara lebuh raya, trek, BMX dan MTB pada pengunjuran akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Abu Samah yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan, andai usul tersebut diterima oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017, lebih 18 emas bakal diraih daripada disiplin basikal.
Ujar beliau, sekurang-kurangnya sembilan atau sepuluh emas bakal dipertaruhkan menerusi acara trek, manakala tujuh emas dalam acara lebuh raya di samping tiga masing-masing dalam acara MTB dan BMX.
Beliau menjelaskan, ACA akan menulis kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berhubung usul tersebut seterusnya akan mendesak perkara itu dibentangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Abu Samah yang juga Presiden PKBM percaya, penampilan semua acara trek pada Sukan SEA 2017 hampir pasti membolehkan Malaysia menuai lebih tujuh emas sebagaimana diraih pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.
“Saya juga percaya acara trek Sukan SEA 2017 akan diadakan pada arena baru yang bertaraf Kategori Satu. Saya dimaklumkan Velodrom Nilai akan siap sebelum bermulanya Sukan SEA 2017,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji persembahan pasukan negara yang meraih lima pingat, termasuk dua emas dihadiahkan oleh Mohd. Harrif Salleh dalam Sukan SEA 2015.
Kemenangan tersebut menamatkan kemarau 10 tahun acara lebuh raya sejak kali terakhir Suhardi Hassan menang emas di Manila, Filipina pada 2005.
Raih banyak emas andai Malaysia anjur semua kategori berbasikal pada Sukan SEA 2017
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/berbasikal/aca-mahu-malaysia-anjur-semua-acara-pada-sukan-sea-2017-1.103832#sthash.N3uZzVPv.dpuf
No comments:
Post a Comment