ZAZALI JAMIAN | 01 Jun 2015 1:15 AM
SINGAPURA – Bagaikan merindui pentas Sukan SEA selepas 14 tahun acara bola jaring tidak dipertandingkan, pasukan negara memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan langkah agresif apabila membelasah Myanmar 84-22 dalam aksi pembukaan di OCBC Arena, semalam.
Pemain Malaysia, Yap Suo Kuen (kiri) mencabar pemain Myanmar
Malaysia yang merupakan juara bola jaring Sukan SEA ketika kali terakhir acara tersebut dipertandingkan dalam temasya Kuala Lumpur 2001 nyata bukan tandingan Myanmar apabila menguasai sebahagian besar permainan.
Kemenangan besar itu nyata melonjakkan semangat pemain negara untuk memburu pingat emas di Singapura, malah mereka sekali lagi dilihat sebagai pilihan untuk mencatat kemenangan kedua apabila berdepan Filipina hari ini.
Kapten skuad kebangsaan, Yap Suo Kuen berkata, pasukannya telah memanfaatkan kelebihan ketinggian pemain untuk mendapatkan jaringan dengan sebaiknya.
“Menggunakan pemain yang tinggi dalam perlawanan ini adalah antara taktikal utama kita ketika menentang Myanmar. Kita akan kekalkan corak permainan sebegini apabila menentang pasukan lain, namun kami tetap mempunyai taktikal lain yang boleh dipelbagaikan.
“Kemenangan ini membuatkan kami lebih bersemangat dan tidak sabar untuk meneruskan aksi seterusnya selepas ini,” kata Suo Kuen.
Sementara itu, Suo Kuen turut menjangkakan pasukan negara berupaya untuk meraih kemenangan besar dalam aksi kedua menentang Filipina hari ini.
“Kami belum pernah menentang Filipina dan saya yakin pemain sudah pasti mahu mengekalkan kemenangan pada aksi kedua nanti.
“Dalam masa sama kami juga tidak mahu terlalu yakin kerana kebanyakan pemain lawan (Filipina) ramai yang tinggi-tinggi,” kata Suo Kuen.
Tuan rumah, Singapura yang dianggap pilihan utama untuk merampas pingat emas daripada Malaysia turut memulakan kempen dengan langkah kanan apabila membelasah Brunei 72-21.
Filipina pula nyata belum mampu menjadi pesaing utama acara bola jaring peringkat Asia Tenggara apabila dibelasah Thailand 22-62.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-jaring-berpesta-benam-myanmar-1.97848#sthash.BN4RHzOu.dpuf
No comments:
Post a Comment