01 Jun 2015 1:15 AM
KAJANG – Berpeluang membawa kuda sendiri, Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berharap skuad equestrian negara dapat memanfaatkan kelebihan itu, sekali gus menjelmakan pingat emas di Sukan SEA Singapura kali ini.
Jelasnya, ini kerana pada temasya di Myanmar dua tahun lalu, skuad negara berdepan masalah kerana terpaksa meminjam kuda yang disediakan tuan rumah bagi acara berpasukan.
“Saya harap mereka mampu manfaatkan peluang ini kerana kuda merupakan faktor penting dalam acara ekuestrian. Kuda-kuda ini telah diperiksa oleh doktor dan melalui proses kuarantin. Saya harap kuda-kuda ini tidak mengalami sebarang masalah dalam perjalanan ke sana (Singapura).
“Bila kuda dalam keadaan baik, penunggang juga dapat beraksi dengan baik. Semuanya tentang kombinasi dan keserasian antara kuda dan penunggang. InsyaAllah mereka mampu melakukan yang terbaik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan ekuestrian ke Sukan SEA 2015 Singapura di Kelab Ekuestrian Universiti Tenaga Nasional (Uniten), di sini, semalam.
Skuad ekuestrian negara pernah meraih tiga pingat emas dalam acara endurance individu, berpasukan dan dressage pada Sukan SEA 2013 Myanmar.
Bagaimanapun pada temasya kali ini, mereka hanya mensasarkan dua emas memandangkan acara endurance tidak dipertandingkan.
Sementara itu, peserta acara dressage, Muhammad Shaiful Azwan Mohamad Din berkata, pasukannya tampak lebih yakin untuk menggalas cabaran negara ke temasya kali ini memandangkan segala persiapan telah berjalan dengan lancar.
“Dari segi kuda kita terapkan pemakanan dan latihan, saya harap keadaan fizikal dan mental kuda berada dalam keadaan baik.
“Kuda kita juga antara yang terbaik kali ini berikutan kita telah menerapkan latihan secara konsisten, malah jurulatih turut memberi maklum balas yang baik. Saya harap perkara ini akan kekal di sana nanti,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/kuda-sendiri-cerahkan-peluang-raih-emas-1.97851#sthash.sAr2face.dpuf
No comments:
Post a Comment