16 Jun 2015 1:10 AM
PEMAIN boling negara merangkul kejuaraan berganda dalam acara berpasukan apabila meraih emas lelaki dan wanita untuk menutup kempen Sukan SEA 2015 dengan lima pingat emas keseluruhan.
SINGAPURA – Menamatkan kempen Sukan SEA 2015 dengan meraih lima pingat emas, satu perak dan empat gangsa adalah pencapaian menakjubkan buat skuad boling negara.
Malah, pencapaian tersebut juga menjadi salah satu penyumbang utama pingat buat kontinjen Malaysia pada Sukan SEA edisi Ke-28 di Singapura.
Pemain muda, Muhd. Rafiq Ismail, 18 tahun merupakan atlet paling menonjol sepanjang saingan di Orchid Country Club kerana berjaya menghadiahkan tiga emas daripada lima yang diraih skuad boling negara menerusi acara individu, trio dan lima berpasukan lelaki.
Dua lagi pingat emas diraih menerusi beregu wanita dan lima berpasukan wanita.
Sementara, satu perak menerusi acara Masters lelaki dan empat pingat gangsa melalui beregu lelaki, lelaki Masters, beregu wanita dan individu wanita.
Ketua Jurulatih skuad boling kebangsaan, Holloway Cheah berkata, semua pemain telah melaksanakan tugas dengan baik terutama Rafiq.
Kata Holloway, pemain muda itu mempunyai masa depan yang cerah dan mampu meraih lebih banyak kejayaan buat negara.
“Dia telah melaksanakan tugas dengan baik pada Sukan SEA kali ini iaitu pada penyertaan pertamanya.
“Bagi saya dia masih muda dan perlu lebih banyak pengalaman untuk membantunya cemerlang dalam sukan boling,” kata Holloway.
Pada Sukan SEA 2013, acara boling tidak dipertandingkan manakala pada 2011, skuad negara meraih lima pingat emas, tiga perak dan enam gangsa.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/pencapaian-boling-menakjubkan-1.103464#sthash.rz0RqGsv.dpuf
No comments:
Post a Comment