Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 28 May 2014

Umpama memfitnah Rasulullah

Oleh HASHNAN ABDULLAH


Dr. Mohd Izhar Ariff Kashim
HADIS palsu atau dipanggil sebagai maudhu' sebenarnya telah lama bersarang dalam kalangan umat Islam. Penggunaan hadis itu telah bermula secara aktif selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Ini boleh dilihat jelas bukan hanya pada amalan ibadat seharian umat Islam, tetapi sering kali digunakan bagi menyokong hujah atau pendapat apabila bercakap tentang hukum agama.

Malah, gejala yang sangat dibenci oleh Rasulullah SAW tersebut sering kali dilakukan oleh musuh-musuh Islam seperti Yahudi, Majusi dan Nasrani yang begitu mahu menjatuhkan Islam.

Golongan ini memang sentiasa menyimpan dendam terhadap Islam dan sentiasa menunggu peluang bagi merosak dan menimbulkan keraguan di dalam hati, sama ada sesama Islam atau bukan Islam terhadap agama Islam.

Pada masa sama ada juga dalam kalangan orang Islam yang bersikap fanatik, ada kepentingan peribadi serta jahil tentang kehendak dan keperluan agama Islam itu sendiri turut menggunakan hadis palsu ini.

"Mereka ini ada masalah hati iaitu benci atau tidak suka kepada pengembangan agama Islam. Keadaan itu turut disulitkan lagi dengan sikap segelintir para pendakwah tidak kira yang berstatus ustaz atau ustazah yang tidak amanah dalam menyampaikan kuliah agama mereka kepada orang ramai," kata Pensyarah Kanan Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim ketika ditemui di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

Dalam suasana tersebut, tidak hairanlah ramai yang menyatakan bahawa jumlah hadis palsu lebih banyak berbanding hadis sahih yang diriwayatkan oleh para perawi yang diakui keilmuan dan ketelitiannya.

Beliau menegaskan, penyebaran hadis palsu itu adalah haram kerana boleh membawa kepada gejala fitnah kepada Rasulullah SAW.

Jelas Mohd. Izhar, hadis palsu tersebut juga bukan hanya boleh menimbulkan kekeliruan tetapi juga perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

Penghuni neraka

“Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Sesiapa yang menipu ke atasku dengan sengaja, maka dia akan duduk dalam api neraka (riwayat Bukhari)

“Ketegasan tersebut adalah sejajar dengan makna hadis palsu itu sendiri yang merupakan kenyataan atau perbuatan atau amalan yang disandarkan kepada Nabi SAW sedangkan baginda tidak pernah sama sekali melakukannya," katanya.

Begitu pun, Mohd. Izhar berkata, ada ulama yang berpandangan bahawa hadis palsu itu boleh disampaikan kepada masyarakat umum.

“Tetapi jangan disandarkan kepada Nabi tetapi menyatakan bahawa ia adalah kisah yang disampaikan oleh ulama sebelum ini," katanya.

Antara yang popular dikaitkan dengan hadis palsu adalah peristiwa Israk Mikraj. Kisah perjalanan Rasulullah SAW itu telah menimbulkan banyak perdebatan dalam kalangan para ulama.

Perdebatan tersebut lebih berkisar tentang cerita-cerita apa yang ditemui oleh Rasulullah SAW di sepanjang perjalanan baginda sehingga ke Sidratul Muntaha.

Ada para ulama yang menegaskan bahawa kerana isinya diselitkan cerita-cerita Israiliyat daripada kaum Bani Israel yang sengaja ingin mengagungkan bangsa mereka dan Nabi Musa a.s serta mengecilkan peranan Rasulullah SAW berserta pengikutnya.

“Banyak cerita yang disampaikan yang mana Nabi SAW berjumpa dengan itu, dengan ini adalah antara hadis yang tidak ada asas dan sering kali dipertikaikan oleh ramai ulama.

“Namun ia sering digunakan untuk menyedapkan ceramah atau tulisan bagi menarik minat orang ramai," kata Mohd. Izhar.

Sehubungan itu, Mohd. Izhar menyeru bukan hanya kepada para penceramah agama, tetapi umat Islam agar meneliti terlebih dahulu mana-mana hadis yang mungkin agak mencurigakan.

Malahan tambahnya, pihak berkuasa agama perlu meningkatkan usaha bagi membanteras dan mengadakan kempen kesedaran tentang kesan daripada penyebaran hadis palsu.

“Saya tidak nafikan bahawa masyarakat umum minat dengan hadis palsu kerana dikuasai sifat malas untuk mengimarahkan masjid. Ini kerana masjid adalah tempat yang boleh memberi penjelasan kepada jemaah masjid berkaitan perbezaan antara hadis palsu dengan hadis sahih," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140527/ba_01/Umpama-memfitnah-Rasulullah#ixzz32yQzObwx  © Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments: