Oleh HASHNAN ABDULLAH
BULAN Rejab adalah antara empat bulan suci yang telah Allah SWT tetapkan sejak diciptakan-Nya langit dan bumi. Selain itu, kedatangan bulan Rejab juga menandakan bulan Ramadan hampir tiba.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 36 yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)....
Justeru, Allah SWT telah mengurniakan kepada manusia empat bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yang disepakati semua ulama, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang dalam bulan-bulan tersebut, kecualilah jika mereka diugut.
Walaupun tidak ada ibadat khusus yang disyariatkan pada bulan Rejab tetapi ia tetap dianggap istimewa kerana di dalamnya berlaku syariat dan beberapa peristiwa penting. Antara yang paling diingati dan diraikan oleh umat Islam, acap kali tibanya Rejab ialah peristiwa Israk dan Mikraj.
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim Hanafi menjelaskan, peristiwa itu penting kerana umat Islam mula diwajibkan melaksanakan solat lima waktu.
Ibadat solat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima dan merupakan amalan terpenting dan ia adalah soalan pertama yang akan ditanya kepada setiap umat manusia apabila mati kelak," katanya ketika ditemui di USIM, baru-baru ini.
Bagaimanapun, terdapat beberapa lagi peristiwa penting dalam bulan Rejab yang bukan hanya dikhususkan untuk amal ibadat tetapi juga falsafah di sebalik peristiwa tersebut.
Selain Israk dan Mikraj, bulan Rejab turut menyaksikan berlakunya hijrah pertama dalam Islam, Perang Tabuk, pembebasan Baitul Maqdis oleh Shalahuddin Al-Ayubi dan lahirnya Imam Syafie.
1. Hijrah pertama dalam Islam
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) itu berlaku pada tahun kelima kenabian atau 615 Masihi ke Habsyah dan ia berlaku berikutan peningkatan tekanan dan ancaman kepada baginda Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Allah SWT.
Menurut Lukmanul Hakim, walaupun hijrah itu hanya membabitkan 14 orang tetapi ia sebagai satu usaha terpenting baginda untuk menyelamatkan iman umat Islam daripada terjejas berikutan peningkatan ancaman dan penderitaan saban hari.
Selain itu, tambahnya, hijrah itu juga sebagai satu usaha untuk merancang penyebaran agama Islam di Mekah dan tempat lain.
Rasulullah sedar bahawa agama Islam baharu sahaja hendak berputik di Mekah tetapi hampir setiap hari baginda SAW mengetahui pengikutnya didera atau menerima ancaman yang menakutkan.
Jadi, Rasulullah SAW bimbang ancaman sedemikian akan menyebabkan pengikutnya kembali kepada agama asal, jika tidak ada usaha membawa mereka keluar dari kota Mekah," katanya.
2. Israk dan Mikraj
Peristiwa perjalanan Rasulullah SAW itu sudah menjadi begitu sebati dengan jiwa setiap umat Islam. Kisah itu sering menjadi topik utama kuliah, ceramah atau tulisan keagamaan setiap kali menjelang 27 Rejab.
Bagi Lukmanul Hakim, walaupun wujud perdebatan berhubung peristiwa terpenting itu tetapi umat Islam sepatutnya melihat falsafah terjadinya perjalanan Rasulullah SAW itu.
Biarlah perdebatan itu berlaku dalam kalangan para ulama tetapi sebagai umat Islam, kita perlu memahami bahawa peristiwa itu bukan hanya sebagai bermulanya perintah solat fardu lima kali sehari semalam.
Tetapi melalui peristiwa itu, kita ditunjukkan balasan ke atas setiap perbuatan kita semasa masih hidup, sejauh manakah kesetiaan kita kepada agama Islam, bahawa dunia hampir kiamat dan apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadi penghuni syurga," katanya.
3. Peperangan Tabuk
Peperangan yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah itu bukan sekadar melambangkan penguasaan Islam sepenuhnya ke atas Semenanjung Tanah Arab kerana Tabuk terletak di kawasan paling utara semenanjung itu.
Tetapi peperangan yang dimenangi oleh Islam tanpa pertumpahan darah itu memberi gambaran tentang kekuatan iman dan semangat umat Islam dalam mempertahankan maruah agama yang dihina oleh musuh Islam.
Bangsa Rom memandang rendah dan begitu sombong untuk menewaskan tentera Islam di Tabuk kerana mereka menganggap dalam keadaan pelbagai rintangan.
Di antaranya cuaca yang sangat panas, perjalanan beratus-ratus kilometer, bekalan air dan makanan yang terbatas, di samping kepenatan dan keletihan perjalanan yang jauh itu.
Tetapi mereka tidak menyangka, kedatangan tentera Islam yang begitu ramai dan bersemangat tinggi, di samping diketuai sendiri oleh Rasulullah SAW," katanya.
4. Pembebasan dan kejatuhan Baitul Maqdis
Baitul Maqdis yang mula dibuka pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar bin Al Khattab r.a dan berjaya mempertahankan kota suci ketiga itu selama 500 tahun itu adalah sebagai permulaan kejatuhan Islam.
Selepas itu, kota suci tersebut ditawan kembali oleh musuh Islam dan mereka mempertahankannya selama 50 tahun, sebelum Salahuddin Al-Ayubi merampas semula kota itu pada 27 Rejab 583 Hijrah.
Namun, selepas 760 tahun peristiwa pembebasan itu iaitu pada 28 Rejab 1342 Hijrah atau 1924 Masihi, sistem Khalifah Islamiah dihapuskan secara rasmi oleh Mustafa Kamal Pasha Antartuk di Turki.
Penghapusan tersebut menyebabkan konsep ukhuwah dalam kalangan umat Islam yang dibentuk oleh Rasulullah SAW telah hilang dan kesannya, pada tahun 1967 Masihi (1387 Hijrah), Baitul Maqdis jatuh semula kepada musuh Islam sehingga kini.
5. Lahirnya Imam Syafie
Menurut Lukmanul Hakim, kelahiran imam Syafie pada 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi di Gaza, Palestin itu sebagai permata yang berharga kepada umat Islam pada hari ini.
Apa tidaknya, Imam Syafie merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab Syafie.
Kehebatan beliau dalam dunia ilmu dikagumi oleh semua orang termasuk guru-gurunya sendiri. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata: Imam Syafie itu ibarat matahari bagi dunia."
Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga hari ini ialah Kitab Al Umm," katanya.
No comments:
Post a Comment