khairul.nuar@utusan.com.my
Muhyiddin Yassin bersama Mah Siew Keong (empat dari kiri) tiba di pusat penamaan calon di Teluk Intan, semalam. Turut kelihatan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan. - BERNAMA
TELUK INTAN 19 Mei - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dengan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd. Daud yang bertanding atas tiket DAP.
Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Ibrahim Ahmad selepas proses penamaan calon diadakan di Dewan Semarak Kasih, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak, dekat sini.
Siew Keong yang juga Presiden Gerakan akan bertanding menentang Dyana Sofya, seorang peguam yang menyertai DAP pada Disember 2011.
Siew Keong yang diiringi kira-kira 50 penyokongnya tiba di pusat penamaan calon untuk menghantar borang pencalonan pada pukul 9.03 pagi diikuti Dyana Sofya, dua minit kemudian.
Pencalonan Siew Keong dicadang oleh Bendahari MCA Perak, Datuk Seri Kuan Peng Soon dan disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin.
Sementara itu, Dyana Sofya yang berbaju kurung tiba bersama-sama ibunya, Yammy Samat dan bapanya, Mohd. Daud Ismail, dicalonkan oleh ahli bahagian DAP Teluk Intan, Chang Kok Lim serta disokong ahli parti, Pooi Weng Keong.
PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, 58, daripada DAP, pada 1 Mei lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Leong Peng mengalahkan Siew Keong dan calon Bebas K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.
Sejumlah 60,349 pemilih berdaftar terdiri daripada 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi luar negara layak mengundi pada PRK kali ini dengan pengundian awal pada 27 Mei sementara hari pengundian ditetapkan pada 31 Mei ini.
Sementara itu, Siew Keong berkata, beliau menerima kepercayaan BN untuk bertanding dalam PRK Parlimen Teluk Intan selepas bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, selain menerima banyak desakan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk tempatan biarpun terdapat cadangan untuk meletakkan muka baharu, juga daripada Gerakan.
Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab. Oleh itu, saya telah buat keputusan untuk bertanding walaupun pada mulanya hasrat saya hendak meletakkan orang baharu. Bukan senang untuk bertanding di sini, namun saya harap perjalanan pilihan raya kali ini dapat berjalan dengan licin dan bersih," katanya.
Dyana Sofya ketika ditemui pula berkata, beliau amat berterima kasih dengan kepercayaan yang diberikan oleh warga DAP dan berjanji akan meneruskan legasi perjuangan mendiang Leong Peng di Teluk Intan.
Beliau mengakui, melawan seorang yang berpengalaman dan sangat dihormati seperti Siew Keong bukan mudah, justeru, perkara itu merupakan satu cabaran yang perlu diharunginya dalam PRK Parlimen Teluk Intan kali ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140520/po_01/Satu-lawan-satu-di-Teluk-Intan#ixzz32DDAY67k © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment