Orang ramai dari pelbagai pertubuhan NGO Islam yang hadir mengaminkan doa selepas menunaikan solat hajat di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya bagi mendengar permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengenai penerbitan mingguan The Herald dilarang menggunakan kalimah Allah dalam bahasa Melayu, pada 5 Mac lalu. - UTUSAN/RASHID MAHFOF
BULAN Rejab mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding bulan-bulan hijrah lain. Ini kerana berlakunya peristiwa agung yang mencabar minda dan akal fikiran manusia untuk memikirkan kebesaran dan keagungan Allah SWT.
Sirah perjalanan agung Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermula daripada rumahnya di Mekah kemudian singgah di Madinah dan Baitulmaqdis di Palestin sebelum dibawa menaiki Burak membelah tujuh petala langit dan menghadap Allah pada satu malam adalah suatu mukjizat yang kekal dikenang hingga ke hari ini.
Malah ia merupakan kejadian yang bertentangan dengan hukum akal manusia hinggakan terdapat dalam kalangan orang Islam yang lemah iman tidak mempercayainya lalu kembali kepada agama asal mereka.
Allah berfirman yang maksudnya; Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Isra':1)
Peristiwa agung ini jelas menunjukkan betapa kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Malah manusia yang sifatnya lemah, pelupa dan sering kali berbuat kesalahan dan kesilapan harus sentiasa merendah diri dan bertaubat kepada Allah.
Usah mendabik dada dengan kebolehan manusia yang terhad dan kecanggihan teknologi yang memukau pandangan, kerana semua itu hanya sekelumit daripada ilmu Allah yang maha luas lagi tidak bertepi.
Usah terlalu berbangga dengan kejayaan dan pencapaian yang dikecapi kerana ia adalah sekelumit daripada anugerah Allah yang perlu disyukuri.
Sehubungan itu, masyarakat Islam diseru kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah Rasul-Nya apabila menemui jalan buntu untuk menyelesaikan segala permasalahan yang timbul. Keengganan berbuat demikian dikhuatiri akan menyebabkan individu Muslim tersilap langkah dan menyimpang daripada ajaran syariat yang sebenar.
Mukjizat agung Israk Mikraj juga menunjukkan betapa Allah maha berkuasa secara mutlak untuk memberi balasan baik dan buruk kepada hamba-hamba-Nya. Perkara ini dapat diperhatikan kepada gambaran balasan baik dan buruk yang dipertontonkan kepada kekasih-Nya pada malam kemuliaan tersebut.
Antaranya Baginda Nabi SAW diperlihatkan dengan keadaan segolongan manusia yang menanam tanaman kemudian tumbuh subur dan dituai hasilnya pada hari yang sama.
Apabila ditanya kepada Malaikat Jibril yang sentiasa mengiringi Nabi SAW dalam perjalanan tersebut, dijawab ia adalah balasan yang disediakan buat para pejuang fisabilillah yang ikhlas berjuang bermati-matian lalu dilipatgandakan pahala amal mereka oleh Allah.
Mengambil sempena peristiwa yang menakjubkan ini, umat Islam diseru untuk berjuang habis-habisan bagi mempertahankan akidah daripada terlibat berbuat perkara yang boleh menyebabkan seseorang terkeluar daripada landasan agama yang sebenar.
Ini termasuklah golongan yang mempersendakan hukum hakam Allah SWT lagi tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Terdapat pula yang masih mempercayai perkara-perkara khurafat dan tahyul serta mempercayai kuasa tertentu yang boleh memberi kebaikan dan keburukan selain daripada Allah yang maha berkuasa.
Di sudut lain, umat Islam diseru mempertahankan kesucian agama Allah daripada diceroboh oleh pihak-pihak yang berniat serong dan mempertahankan institusi kenabian daripada diperbodoh-bodohkan dengan lawak dan karikatur yang menjengkelkan.
Malah sebilangan umat Islam di luar negara terus ditindas dan dan dinafikan hak untuk bernegara apatah lagi melaksanakan ajaran agama di tanah air mereka sendiri.
Selain itu, penipuan atas nama agama juga semakin berleluasa. Malah yang lebih memalukan apabila ada pihak yang menjaja agama ke sana dan ke mari tak ubah seperti ubat pelaris kepada perniagaan mereka.
Ingatlah, pelbagai bentuk hukuman berat bakal menanti umat Islam yang malas menunaikan solat, enggan membayar zakat, seronok memakan riba dan mengkhianati amanah.
Yang mana jika diperhalusi balasan yang ditunjukkan oleh Allah ini bersifat menyeluruh lagi merangkumi pelanggaran terhadap tanggungjawab manusia kepada Tuhan-Nya, kepada masyarakat dan segala hubungan personal yang bersifat peribadi.
Apa yang lebih penting untuk difahami betapa setiap gerak-geri dan perlakuan manusia tidak pernah sepi daripada pemantauan Allah dan Allah secara mutlak maha berkuasa untuk memberikan balasan yang setimpal terhadap pelakunya.
Apa pun peristiwa Israk Mikraj yang meriah diraikan dengan pelbagai program dan aktiviti seharusnya menjadi wadah terbaik buat para Muslimin untuk kembali berpegang dengan ajaran Allah SWT dan sunah Rasul-Nya.
Dengan sifat akal manusia yang terhad dan hanya bergantung kepada kekuatan pancaindera yang juga terhad mana mungkin manusia mampu untuk memikirkan sesuatu yang di luar daripada batasan yang ditetapkan.
Lebih daripada itu, segala kejadian dan peristiwa yang berlaku mempunyai hikmah dan kebaikan tersendiri sama ada yang tersirat mahupun yang tersurat di depan mata.
Hanya sahaja manusia sebagai hamba Allah harus sentiasa muhasabah diri seraya mempertingkatkan amal bakti demi mendambakan cinta Ilahi.
Malahan masa yang pergi dan berlalu begitu pantas tidak pernah menunggu sesiapa yang terlewat apatah lagi membuang masa kepada perkara perkara yang tidak berfaedah.
Ambillah iktibar daripada setiap kejadian yang berlaku semoga menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik dari pada semalam.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140527/re_02/Merenung-hikmah-Israk-Mikraj#ixzz32yYLOz5g © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment