Oleh SHARILFUDDIN SHA'ARI
pengarang@utusan.com.my
GAMBA R salah seorang militan warga Malaysia yang digelar ustaz (kiri) kini didakwa berada di Syria untuk berjihad seperti yang dilaporkan dalam laman kezoom.blogspot.com.
KUALA LUMPUR 5 Mei - Kumpulan militan tempatan yang dibongkar pihak berkuasa baru-baru ini dikesan menjalin hubungan dengan puak penentang kerajaan Syria dikenali sebagai kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.
Menurut sumber keselamatan, di Syria, kumpulan tersebut dilatih menjadi pakar dalam penggunaan senjata api berat dan menggunakan bom, malahan menghasilkan bom buatan sendiri.
Katanya, perkara itulah yang menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa negara ini sekiranya ahli kumpulan tempatan tersebut pulang ke tanah air selepas peperangan di Syria.
"Dengan kepakaran membuat bom, apa yang akan mereka lakukan di negara kita? Tidak mustahil kumpulan ini yang membawa ideologi pengganas boleh memberi ancaman serius kepada negara sekiranya tidak dibendung.
"Apa yang berlaku (ancaman pengganas) di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand perlu disekat agar tidak terjadi di negara kita," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, polis menahan seramai 11 anggota kumpulan militan yang berselindung di sebalik misi kemanusiaan termasuk ketuanya dalam beberapa serbuan di Selangor, Kedah dan ibu negara.
Utusan Malaysia kemudian mendedahkan, puluhan rakyat Malaysia ke Syria sejak dua tahun lalu atas nama perjuangan jihad termasuklah seorang lelaki yang digelar ustaz dan seorang bekas pemuzik sebuah kumpulan terkenal era 1990-an.
Selain daripada itu, siasatan pihak berkuasa turut mendapati kumpulan terbabit berhubung dengan puak pemisah di selatan Filipina untuk menjalani latihan ketenteraan.
Menurut sumber itu lagi, berdasarkan bukti yang ada, pihak Peguam Negara (AG) yakin pertuduhan terhadap kesemua ahli kumpulan militan terbabit akan dapat disebut di mahkamah dalam minggu ini.
"Di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), pihak berkuasa mempunyai tempoh 28 hari untuk siasatan dan kita yakin mereka (ahli kumpulan militan) akan dapat dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat," ujarnya.
Sumber itu turut menjelaskan, apa yang berlaku di Syria adalah agenda negara-negara barat untuk memecahbelahkan negara Arab, apatah lagi Syria merupakan sekutu kuat Iran.
"Dakwaan bahawa Presiden Syria menggunakan bom kimia untuk menyerang puak penentangnya belum terbukti benar dan tidak mustahil ia hanyalah propaganda Barat," katanya.
No comments:
Post a Comment