Sebahagian peserta perhimpunan berarak dari pusat beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka semasa perhimpunan membantah GST di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
REZEKI ada di mana-mana. Tidak kira bekerja sebagai kakitangan awam mahupun swasta. Begitu juga peniaga yang berniaga hingga ke negara China dan Alaska bagi mendapatkan keuntungan. Pendek kata bekerjalah hingga nafas terhenti tidak kira di siang mahupun malam hari.
Namun semalam seperti ada kepelikan berlaku apabila ada yang rela menjadi penentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan pertengahan tahun depan.
Memang dari segi logiknya manusia akan membantah jika duit mereka dicukai setelah penat berjam-jam membuat kerja-kerja pemasaran tiba-tiba bila dapat hasil dikenakan cukai pendapatan pula.
Namun dalam bab GST tidak perlulah kita mengheret anak kecil dan isteri untuk membantah GST sedangkan pada hakikatnya cukai GST dikenakan kepada kelompok yang sering berbelanja mewah bagi memberi hadiah kepada diri sendiri setelah berjaya mendapatkan keuntungan hasil berniaga di negara yang aman damai ini.
Bukankah sesuatu yang janggal apabila beribu-ribu manusia membantah cukai yang lebih memberi kesan kepada orang kaya berbanding orang miskin di kampung-kampung dan di tengah-tengah bandar.
Orang yang sibuk menjerit mahu GST dihapuskan rasanya terlupa bahawa GST akan memberi manfaat kepada mereka dari segi penambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia sehingga boleh mencecah RM1,000 setahun malahan RM3,000.
Jika dilihat wajah-wajah yang membantah GST bukannya golongan kaya mahupun peniaga berjaya, kebanyakannya anak muda dan rakyat daripada golongan pertengahan yang sudah pasti membeli dari gedung dan toko-toko milik peniaga kaya.
Malahan jika mereka faham akan penerangan mengenai GST ia bukan isu yang terkena ke batang hidung mereka tetapi batang hidung peniaga dan pengusaha yang selama ini sudah memasukkan bayaran GST yang tidak sah dalam harga barang jualannya.
Apa yang dapat dilihat sejak beberapa tahun ini, kita melihat fenomena orang kaya semakin kaya dan pihak yang menghentam kerajaan semakin mewah kehidupan mereka berbanding rakyat yang mengundi mereka dalam pilihan raya.
Dulu sebelum mendapat kuasa hasil undi orang miskin hari ini apabila Kerajaan Pusat mahu melaksanakan dasar percukaian yang menguntungkan orang miskin mengapa ia dihalang. Bukankah percubaan pun belum dan pelaksanaan masih jauh, isu GST ibarat lebih sudu dari kuah dimainkan oleh pembangkang.
Tidakkah pemimpin pembangkang dan penyokong mereka sedar, bahawa semua dasar kerajaan tidak pernah mendapat tempat di fikiran mereka hanya yang ada rasa emosi menebal dalam segala isu hingga GST yang baik untuk orang miskin dianggap sebagai menekan rakyat.
Kalau orang miskin hendak menonton wayang pun tidak mampu dan makan di restoran berhawa dingin jauh sekali, bagaimana GST boleh menyebabkan mereka tertindas? Rakyat nilaikanlah sendiri betapa pemimpin pembangkang begitu taksub membela orang kaya dan peniaga yang mengenakan cukai dua kali kepada pengguna dalam kelekaan kita membeli-belah.
Hari ini kita lihat sendiri betapa peningnya Kerajaan Pusat mengawal ekonomi akibat permainan kartel dan peniaga yang menggunakan pelbagai helah demi memanipulasi harga barangan dan perkhidmatan. Tidakkah pemimpin pembangkang sedar apabila cukai meningkat kerajaan akan mempunyai banyak pendapatan untuk pembangunan bukan sebaliknya.
Justeru sedarlah kepada manusia yang mahu mengganyang kerajaan sampai tumbang bahawa GST dilaksanakan demi memberi keadilan kepada rakyat yang ditekan oleh peniaga dengan cukai dua kali yang tersembunyi.
Beratus negara melaksanakan GST dan negara tersebut mempunyai sumber yang kukuh untuk memberi bantuan wajar kepada rakyat seperti persekolahan, belanja membuat sekolah malahan belanja untuk kelahiran anak anda di hospital kerajaan seperti Hospital Shah Alam yang sudah hampir siap di Seksyen 7.
Kepada rakyat nilaikanlah siapa yang bijak menyalurkan bantuan sistematik kepada rakyat dan siapa yang lebih rela menjadi soldadu pemimpin yang bukan sahaja bijak memainkan isu agama malahan isu air yang merupakan asas kehidupan. Teruskan GST demi orang miskin dan menghapuskan peniaga yang kejam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140502/re_07/Yang-berhimpun-itu-tahukah-apa-sebenarnya-yang-mereka-bantah#ixzz30obu6olF © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment