Jon Faaland (dua dari kanan) diraikan oleh Dr. Rais Saniman bersama-sama Datuk Ramli Mohd. Noor (dua dari kiri),Prof. Datuk Seri Dr. Abu Hassan Asaari Abdullah dan Datuk Zaini Hassan (kanan) di sebuah restoran di Kuala Lumpur, kelmarin.
Antara Teluk Intan dan Teluk Kaca...
SEMASA Cuit ini ditulis, saya berada di PRK Parlimen Teluk Intan.
Sebagai wartawan saya harus pergi dan meninjau. Itu wajib. Itulah yang saya lakukan sejak memegang profesion ini kira-kira 25 tahun lalu.
Saya tertarik berada di situ, kerana ia membabitkan pertandingan antara calon tua dan muda, selebriti dan orang biasa, mentah dan masak serta intan dan kaca.
Dalam perbezaan itu saya melihat BN adalah underdog dan DAP cukup yakin untuk menang. Cina nampaknya tidak berganjak daripada DAP. Gerakan yang cukup lama di Teluk Intan perlu bekerja keras lagi.
Calon BN, Datuk Mah Siew Keong sepatutnya boleh menang mudah kerana secara tradisi, dia ialah orang Teluk Intan, dari keluarga taukeh ternama, berjaya dan terkemuka di situ.
Sebaliknya Dyana Sofya tiada apa-apa, kecuali window dressing DAP yang 'menggunakannya' untuk faedah parti itu. Poster gambar Dyana diletakkan dalam pelbagai gaya. Ada yang berbaju kurung bertudung, tanpa tudung, baju moden, gaya itu dan gaya ini. Banyak dicakapkan orang mengenai poster kreatif itu.
DAP yang cukup cauvinis secara tradisi nampaknya cuba lari daripada imej perkauman, walaupun falsafah perjuangannya tidak akan berubah. Atas faktor itu Dyana dimekap tebal-tebal untuk menjadi calonnya.
Bosnya Lim Kit Siang akan sentiasa (berdamping) dengan Dyana dan jika soalan-soalan sensitif diaju wartawan, mikrofon akan ditarik dari mulut gadis itu.
Mungkin benarlah seperti kata Tun Dr. Mahathir, Dyana hanyalah umpan DAP untuk menang semata-mata.
Semasa Cuit ini ditulis, ibunya Yammy Samat, seorang ahli Perkasa meletak jawatan atas alasan "Perkasa sudah menyimpang" - satu alasan yang terlalu lazim.
Mengenai pengundi. Pengundi Melayu perlu dipadukan. Mereka harus disatuhatikan di bawah UMNO. Perbezaan pendapat antara ketua-ketua cawangan mesti diselesaikan.
Masyarakat India hasil pemerhatian saya sejak malam tadi memihak dengan BN. Namun mereka boleh swing pada saat-saat terakhir, jika tidak dijaga betul-betul.Riuh-rendah mereka membawa bendera biru ke sana-sini dengan motosikal.
"Apa DAP buat selama ini di Teluk Intan," jerit Ahmad Maslan, berceramah di PDM Nova Scotia malam tadi.
Jawapan Tamil yang diberi "elek...!" Bererti tiada apa-apa.
Seperti yang saya tulis di atas, pertembungan ini cukup unik sekali. Ia akan reflek cara berpolitik antara kedua-dua parti itu untuk masa-masa akan datang.
Adakah psikologi politik DAP akan berjaya sekali lagi, atau pendekatan matang BN akan berhasil?
Strategi saat-saat terakhir menjelang pilihan raya cukup penting sekali. Siapa hebat, dia menang. Tunggu 31 Mei ini.
Wujudkan Kerusi Just Faaland: Otak DEB Malaysia
BEBERAPA hari lalu saya hadir makan malam dijemput oleh seorang tokoh ekonomi negara. Tokoh itu ialah Dr. Rais Saniman yang bersama-sama merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau New Economic Policy (NEP).
DEB digubal oleh seorang pakar ekonomi dari Norway bernama Just Faaland, kini Tan Sri.
Beliau datang ke Malaysia sebelum rusuhan kaum 13 Mei 1969, untuk mengetuai pasukan pakar antarabangsa sebagai Pengarah Kumpulan Penasihat Universiti Harvard di Malaysia. Kumpulan itu diletakkan dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi menasihat negara berkaitan hal ehwal ekonomi.
Majlis makan malam itu diadakan bagi meraikan anak Tan Sri Faaland, Jon Faaland yang tiba di Kuala Lumpur untuk urusan rasmi.
Tujuan DEB ialah untuk menghapuskan kemiskinan dan melonjakkan perpaduan nasional dengan membolehkan kumpulan-kumpulan etnik Malaysia terlibat dalam ekonomi yang saksama, tanpa menekan hak-hak sosial dan ekonomi kumpulan etnik.
Selepas tragedi 13 Mei, Tan Sri Faaland membantu Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan bekerja rapat dengan EPU, bagi meningkatkan taraf kehidupan orang miskin dan yang tersisih.
"Apa sedikit yang saya tahu berkaitan dengan Malaya berbanding dengan negara ini keseluruhannya. Saya sedar mengenai fasa-fasa yang berlaku semasa perang dan kepentingan utama eksport timah dan getah Tanah Melayu untuk ekonominya. Saya juga mempunyai sedikit pengetahuan mengenai penghijrahan besar-besaran kaum buruh pendatang Cina dari Asia Selatan.
"Setibanya di KL pada Julai 1968, saya memerlukan masa untuk belajar mengenai negara ini. Saya sangat beruntung diletakkan di EPU yang mana hampir semua rakan dari Kumpulan Penasihat Harvard turut berada," kata Faaland dalam portal Merdeka Award http://www.merdekaaward.my
Iklim sosioekonomi Malaysia pada 1969 dan 1970 amat memerlukan penyertaan semua rakyat untuk pengagihan sosial yang lebih baik demi kemajuan negara.
"Ia dikenali sebagai pendekatan baru. Rintangan, malah jurang yang semakin meningkat antara kaya dan miskin, telah memberi kesan politik untuk mendesak para intelektual dan ahli politik bagi mencari jalan penyelesaian. Memang diakui ia amat diperlukan," katanya.
DEB atau NEP bukan dipersetujui secara sebulat suara semasa ia mula dicadangkan kepada kumpulan penasihat itu. Namun Tan Sri Faaland berjaya mempengaruhi mereka mengatakan ia adalah dasar terbaik untuk negara ini bergerak ke hadapan.
"Dua bentuk pemikiran timbul bagaimana untuk melihat permasalahan politik dan sosial ini. Satu penekanan ialah pertumbuhan ekonomi mengatasi keutamaan-keutamaan lain. Pencadang DEB mentakrif cabaran-cabaran pembangunan secara berbeza."
Kepada mereka adalah bukti jelas berlaku kecacatan struktur di negara ini yang perlu diperbaiki segera.
Kejayaan DEB bagi mencapai objektifnya telah menjadi tajuk perbahasan sejak diwujudkan, namun Tan Sri Faaland kagum dengan kemajuan negara ini keseluruhannya sejak dasar itu dilaksanakan.
Tan Sri Faaland dilahirkan di Oslo, Norway pada 25 Januari 1922. Beliau kini berusia 92 tahun. Beliau menerima pendidikan di Universiti Oslo dan Universiti Oxford dalam bidang Matematik dan Ekonomi.
Faaland diasuh oleh Prof. Ragnar Frisch, pemenang bersama Hadiah Nobel dalam Ekonomi pada 1969 dengan Jan Tinbergen.
Buat masa ini walaupun sudah berusia, beliau masih berkhidmat sebagai Perunding Kanan di Institut Chr. Michelsen (CMI) Norway, sebuah pusat bebas untuk penyelidikan polisi dan pembangunan antarabangsa.
Dr. Rais semasa makan malam itu mencadangkan sebuah kerusi diwujudkan di universiti, khususnya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) atau universiti lain, untuk mengkaji secara saintifik dan empirikal mengenai masa depan Melayu dan soal kesaksamaan agihan ekonomi dan sosial di negara ini.
Jon, anak Faaland berkata: "Malaysia kini sudah cukup maju secara fizikal, maka pusat atau kerusi yang dicadangkan itu boleh mengkaji ke arah meningkatkan pendapatan di kalangan rakyat."
"Tan Sri Faaland masih berharap Malaysia terus melaksanakan DEB. Ia masih releven untuk menghapuskan ketidaksamaan antara kaum yang masih berlaku.
"Amat rugi jika ia ditinggalkan...," kata Dr. Rais memetik kata-kata mentornya, Faaland.
Deklarasi Shah Alam: Sumpah Anak Pribumi
PADA 22 Mei 2014 menjadi sejarah kepada UiTM, selaku benteng terakhir institusi pendidikan paling berjaya Melayu bumiputera, apabila alumninya mengeluarkan satu deklarasi.
Deklarasi itu bertajuk Deklarasi Shah Alam Sumpah Anak Pribumi "Mempertegaskan UiTM Sebagai Wadah Bumiputera" yang dikeluarkan bagi mempertahankan kedaulatan institusi itu.
Sejak 2008 ia telah dicabar secara terbuka. Semasa pakatan pembangkang, diketuai DAP mengambil alih Selangor, satu kenyataan yang dibuat meminta institusi itu dibuka 10 peratus telah menyebabkan beribu-ribu pelajarnya naik marah dan berarak ke bangunan SUK Selangor dari pintu universiti itu.
Isu itu kemudian senyap. Kini sekali lagi ia berbunyi. Calon DAP di Teluk Intan sengaja mencari pasal bercakap dalam nada yang sama. Ada yang mengatakan calon itu mengajuk apa yang diminta oleh bosnya DAP.
Setelah dihentam kuat dengan cadangan membuka UiTM kepada kaum lain, dia menuduh pula kualiti pelajarnya tidak bermutu.Dia membuat psywar, sedangkan keluaran UiTM paling laris dalam pasaran.
Sehubungan itu, Persatuan Alumni UiTM Malaysia mengeluarkan deklarasi itu sebagai mengutuk keras perbuatan mana-mana pihak yang cuba mempertikai dan menggugat kedudukan dan kedaulatan UiTM, "sebagai institusi pendidikan anak bangsa dan bumiputera Sabah dan Sarawak yang sah berdiri di bawah Perlembagaan Persekutuan di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong."
Penubuhan UiTM adalah selaras dengan DEB yang berhasrat untuk mengimbangi dari segi ekuiti, profesional dan juga sumber manusia dalam bidang industri dan swasta antara kaum-kaum utama di Malaysia.
Apa motif sebenar kenyataan menyentuh UiTM sedangkan ia telah wujud sejak 1956 lagi? Apakah ada unsur: Jika sudah berjaya ia harus dikongsi? Jika ia sebuah institusi yang gagal, adakah ia terus-menerus akan dituntut sebegitu rupa?
Begitu juga Malaysia, sekiranya Malaysia masih seperti Laos atau Cambodia, adakah pembangkang begitu pulun mahu menguasai negara ini?
Mereka bisingkan UiTM mahupun Malaysia kerana kedua-duanya sudah berjaya.
UiTM pada hakikatnya berjaya melalui perkembangan amat pesat dan mengembang sayap ke seluruh negara; 15 buah kampus cawangan, sembilan kampus kota, tiga kampus satelit, 21 kolej bersekutu dan sebuah kampus pintar yang bakal didirikan.
Tenaga kerja seramai 17,000 orang, menawarkan 300 program akademik serta rumah kedua bagi 172,000 pelajar.
UiTM selama ini mengeluarkan para pelajar yang versatil, termasuklah calon Teluk Intan itu!
No comments:
Post a Comment