Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
kampus@utusan.com.my
Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya meyakinkan badan penilai Times Higher Education-QS World University Rankings untuk mengubah corak kriteria pemilihan kedudukan ranking universiti di seluruh dunia yang mana UiTM salah satunya tidak diadili secara saksama.
Naib Canselornya, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, ini kerana dua badan penilai tersebut iaitu Times Higher Education menggunakan 13 kriteria manakala QS Ranking menggunakan penilaian berdasarkan 'perseption' yang mana melihat kepada populariti sesuatu universiti.
Menurutnya, badan penilai tersebut yang terdiri daripada pakar-pakar akademik dunia mengakui telah membuat penilaian yang tidak adil ke atas UiTM dalam menentukan ranking universiti tersebut dengan meletakkan UiTM di bawah kategori sebaris dengan universiti tertua dunia.
Pada forum di Miami di mana saya satu-satunya wakil Asia telah dijemput oleh badan penilai terbabit untuk membuat penjelasan mengapa perlu ada kategori universiti muda memandangkan UiTM sendiri tidak sepatutnya diletakkan pada kategori yang berlumba dengan universiti Oxford memandangkan UiTM baharu 15 tahun penubuhannya.
Mereka menerima pandangan saya ini dengan baik yang mana saya telah mempersoalkan bahawa penilaian yang dibuat tidak adil untuk universiti baharu seperti UiTM dan kemungkinan tahun depan akan diperkenalkan kategori universiti muda dalam penilaian tempat universiti dunia," katanya ketika ditemui Helo Kampus di pejabatnya baru-baru ini.
Selain itu, katanya, badan tersebut juga mengakui terdapat kesilapan lain yang dibuat semasa penilaian ranking antaranya universiti hanya memulakan pengambilan peringkat ijazah pada tahun 2000 yang mana masih baharu berbanding universiti dunia lain selain membuat penilaian tidak menyeluruh berdasarkan maklumat laman web universiti tersebut.
Pihak mereka menjemput UiTM untuk menerangkan mengenai perkara-perkara ini boleh dianggap satu pengiktirafan malah mereka menerima segala ketidakadilan yang dikemukakan terhadap UiTM. Saya terangkan kepada mereka bahawa penubuhan UiTM adalah untuk kepentingan orang-orang miskin, orang kurang upaya dan pelajar luar bandar, tidak semua universiti menawarkan perkara ini, sebaliknya lebih mementingkan pelajar terbaik daripada keluarga mewah sahaja.
Apabila saya terangkan perkara ini kepada mereka, mereka mengakui modul UiTM adalah yang terbaik dan mereka mahu berkongsi pengalaman dan mempelajari sistem akademik yang kita amalkan ini. Dari aspek penilaian lain iaitu 25 markah bagi pengambilan pelajar asing, kita kekurangan dalam aspek itu namun jika mahu dibandingkan dengan nilai, mutu dan kualiti, UiTM ada kriteria tersebut.
Satu perkara lagi yang menarik perhatian mereka apabila saya jelaskan bahawa lepasan pelajar UiTM tidak hanya mengharapkan kerja daripada kerajaan atau swasta kerana kita latih pelajar menjadi usahawan dan bidang keusahawanan ini satu keunikan UiTM berbanding universiti lain. Mereka bersetuju dengan pendirian kita bahawa untuk memastikan masa depan negara maju, kemenjadian pelajar menjadi usahawan adalah penting," jelasnya.
Kejayaan UiTM itu, kata Sahol Hamid, telah berjaya mencuri perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu berkongsi pengalaman dan 'senjata' yang digunakan oleh UiTM sehingga berjaya menarik minat badan penilai antarabangsa terbabit mempelawa beliau menyertai forum perbincangan mengenai perkara itu.
Pada masa yang sama, Sahol Hamid menyelar mana-mana pihak yang mempersoalkan kedudukan ranking universiti itu tanpa mengetahui dengan lebih jelas mengenai kriteria dan maklumat berkaitan dengannya malah mengeluarkan tohmahan yang tidak berasas terhadap keupayaan universiti tersebut.
Jangan salah faham ranking dan mahu menjatuhkan kewibawaan sesebuah universiti itu kerana hanya orang yang cetek pemikiran dan tidak faham ilmu sahaja boleh membuat tohmahan sedemikian, saya cadangkan eloklah individu berkenaan mendiamkan diri daripada membuat tuduhan melulu.
Jika tiga universiti dunia mengiktiraf UiTM dan mengaku sendiri silap dalam meletakkan UiTM dalam kategori penilaian ranking, apa lagi yang perlu dibuktikan oleh pihak ini," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20140526/ka_02/UiTM-bantu-sistem-rangking-dunia#ixzz32yA54DBB © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment