Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 28 May 2014

Tengku Abdullah tepati ramalan, menang Presiden FAM

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan FADHILUL IZMEL ISHAK
sukan@utusan.com.my



Sultan Ahmad Shah menyampaikan watikah penyerahan tugas kepada anakandanya, Tengku Abdullah yang terpilih sebagai Presiden FAM yang baharu menggantikan baginda dalam pemilihan sempena Kongres FAM ke-50 di Shah Alam semalam. - Utusan/Nasirruddin Yazid

SHAH ALAM - Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memenangi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2014-2018 dalam pemilihan sempena Kongres FAM ke-50 semalam, yang berlangsung sengit dan mendebarkan apabila dibuat dua pusingan.

Seperti diduga, penyandang, Sultan Ahmad Shah mengambil keputusan menarik diri pada pemilihan kali ini semasa menyampaikan ucapan perasmian kongres dan menjadikan pemilihan presiden hanya melibatkan dua calon iaitu Tengku Abdullah dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada pusingan pertama, Tengku Abdullah meraih 24 undi sementara Tunku Ismail mendapat 15. Pengundian terpaksa dilakukan sekali lagi kerana berdasarkan Artikel 39.2 bagi pemilihan jawatan presiden, majoriti dua pertiga diperlukan jika terdapat tiga calon memandangkan nama Sultan Ahmad Shah masih terdapat dalam kertas pengundian kerana lewat menarik diri.

Apabila keputusan pengundian pusingan kedua diumumkan Tengku Abdullah berjaya mendapat tambahan tiga undi daripada perwakilan, menjadikan 27 undi manakala Tunku Ismail terpaksa berpuas hati dengan 12 undi.

Sementara itu, kejutan berlaku dalam pemilihan timbalan presiden apabila calon popular, Datuk Seri Subahan Kamal tewas kepada Datuk Seri Afandi Hamzah dan muka baharu, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Afandi mendapat 27 undi dengan Mokhtar yang sebelum ini dilabelkan calon underdog, meraih 26 undi untuk menduduki tempat kedua - meninggalkan Subahan yang merupakan Naib Presiden FAM sebelum ini dengan 25 undi.

Bagi empat jawatan Naib Presiden pula menyaksikan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin meraih perhatian apabila mendapat undi paling tinggi dengan 28 undi diikuti Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Rozabil Abdul Rahman, 27 undi, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman, 26 undi dan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM),Datuk Takiyuddin Hassan, 21 undi.

Dalam sidang akhbar pertamanya selaku presiden FAM, Tengku Abdullah berkata, beliau tetap memerlukan sokongan daripada semua pihak terutama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail sambil mengingatkan peminat bola sepak agar jangan terlalu cepat membuat penilaian terhadapnya apabila mengambil alih jawatan itu.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya dan pada yang gagal, jangan patah semangat dan patut berbangga ke­rana dicalonkan.

“Sebagai Presiden, saya bersedia mendengar pendapat semua pihak dan menghulurkan tangan kepada sesiapa sahaja, saya memerlukan bantuan daripada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung, termasuk TMJ juga.

“Banyak perkara perlu diperbetulkan terutamanya dalam melakukan audit, kewangan, pentadbiran dan hal-hal lain, tambahan pula 10 daripada 15 exco terdiri daripada muka-muka baharu.

“Nilailah saya dalam tempoh empat tahun, janganlah tunggu hingga 30 tahun dan bersabarlah menunggu perubahan daripada saya. Tidak guna juga pelbagai perubahan dilakukan tetapi para pemain tidak ada sikap mahukan kejayaan," katanya.

Jawatan exco pula menjadi milik Datuk Yusof Mahadi, Abdul Aziz Yeop Jamaludin, Datuk S. Sivasundram(penyandang), Alijus@Mohd Ali Sipil, Datuk Osman Salleh(penyandang), Goh Ah Chai, Datuk Mohd. Junid Noor dan Datuk Othman Aziz sementara Exco Wanita yang kali pertama diperkenalkan dimenangi Brig. Jen. Datuk Norhuda Ahmad dan Normala Md. Yusof.

Sebanyak 20 badan gabungan terdiri daripada 39 perwakilan layak mengundi dengan setiap persatuan diberikan hak dua undi manakala Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia mempunyai kelayakan satu undi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140526/su_02/Tengku-Abdullah-tepati-ramalan-menang-Presiden-FAM#ixzz32yiLZ6Xg  © Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments: