pengarang@utusan.com.my
MODERATOR Dr. Amran Muhammad (kanan) bersama pembentang kertas kerja Prof. Datuk Paduka Zakaria Stapa (tiga, kanan); Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti (kiri) dan Dr. Wan Adli Wan Ramli pada Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-6 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/HALIM KHALID
KUALA LUMPUR 21 Mei - Kerajaan disaran bersungguh-sungguh memastikan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) difahami secara menyeluruh dari aspek pegangan akidah, amalan fiqah serta penghayatan akhlak dalam segenap lapisan umat Islam di negara ini.
Saranan itu merupakan antara resolusi Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-6 bertemakan Pencerahan Tasawwur ASWJ anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) yang berakhir hari ini.
Selain itu, wacana dua hari yang melibatkan pembentangan sembilan kertas kerja oleh pakar-pakar agama tersebut turut mendesak kerajaan supaya terus bertegas dalam usaha membanteras segala unsur dan anasir yang mampu memberi kecelaruan kepada fahaman ASWJ sebenar.
Untuk mencapai matlamat murni tersebut, wacana itu meminta Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan menyediakan modul pembelajaran menyeluruh tentang pegangan ASWJ untuk diaplikasikan pada semua peringkat pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Kerajaan juga jelas wacana itu, perlu menyeragamkan dan memantau aktiviti pengajian di semua masjid serta surau supaya semuanya berdasarkan teks-teks yang telah dikenal pasti sesuai mengikut fahaman epistemologi ASWJ.
Dalam masa sama, wacana tersebut meminta kerajaan menghentikan operasi institusi-institusi pengajian bertopengkan Islam yang didapati tidak selari dengan indeks akidah ASWJ.
"Kerajaan wajar menjadikan syarat aliran akidah al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah dalam meluluskan permohonan baharu untuk memulakan institusi pengajian swasta yang berlandasan Islam," jelas wacana berkenaan.
Resolusi tersebut dibaca oleh Setiausaha Agung Muafakat, A. Karim Omar.
Sementara itu, wacana itu menegaskan kerajaan wajar mewujudkan dana khas untuk kajian akademik yang berteraskan topik ASWJ di universiti-universiti tempatan.
Menurutnya, kerajaan perlu menggembleng usaha serta menyediakan insentif menarik untuk pihak swasta bekerjasama di dalam aktiviti penyelidikan, penyampaian, penyiaran serta operasi pusat rujukan berkaliber yang diwujudkan secara khusus untuk menyuburkan aktivisme bagi memperkasakan fahaman ASWJ.
"Kerajaan wajar memperbanyak kandungan dan program yang mempromosikan tasawwur ASWJ secara kreatif dan meluas di media cetak dan elektronik arus perdana.
"Selain itu, kerajaan perlu menyediakan jaringan gandingan ulama-umara berprofil tinggi demi memacu idea pembinaan jati diri Malaysia sebagai benteng ASWJ di persada global," jelasnya.
Dengan latar keseriusan serangan ajaran Syiah dan pemikiran liberalisme serta pluralisme agama di negara itu, wacana itu menegaskan, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pergerakan kumpulan berkenaan di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Wacana tersebut juga mendesak Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa agama di semua peringkat agar mengambil tindakan tegas menyekat ajaran dan fahaman tersebut.
"Pengamal, pelopor Syiah, liberalisme dan pluralisme agama serta pertubuhan-pertubuhan yang diketahui umum memperjuangkan fahaman ini perlu dipanggil untuk diberi kaunseling dan nasihat.
"Langkah itu supaya mereka menghormati kedaulatan Islam, patuh kepada peruntukan Perlembagaan, undang-undang dan enakmen agama sedia ada dan menyantuni citra rakyat Malaysia yang majoritinya beraliran ASWJ," jelas wacana berkenaan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140522/dn_03/Fahami-ASWJ-secara-menyeluruh#ixzz32PTBZOU7 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment