Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 30 May 2014

MH370: Hubungan tidak terjejas

Rozaman Ismail


Najib Tun Razak bersama delegasi Malaysia (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Li Keqiang dan delegasi China di The Great Hall of People, Beijing, China, semalam.

BEIJING 29 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa insiden kehilangan pesawat MH370 tidak akan menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-China, sebaliknya memberi peluang kepada kedua-dua negara mengukuhkan hubungan sedia ada.

Najib berkata, rakan sejawatannya, Li Keqiang telah menyatakan komitmen berterusan untuk membantu Malaysia dalam operasi mencari pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu.

"Dalam pertemuan dengan Li Keqiang hari ini, beliau melihat isu ini tidak akan menghalang hubungan sedia ada, malah boleh dijadikan peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan itu," katanya dalam sidang akhbar bersama-sama dengan wartawan Malaysia, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Li Keqiang dalam ucapan alu-aluannya berharap Malaysia akan meneruskan operasi tersebut bagi menentukan apa yang sebenarnya berlaku terhadap pesawat itu.

"China berharap Malaysia terus menerajui usaha mencari serta menjalankan siasatan serius terhadap insiden itu bagi memberikan kelegaan kepada keluarga dan waris," katanya.

Perdana Menteri bersama-sama dengan delegasi seramai 15 orang adalah dalam lawatan enam hari ke negara ini, bermula Selasa lalu.

Menurut Najib, beliau melahirkan rasa dukacita bagi pihak Malaysia kepada kerajaan China khususnya keluarga mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada China atas segala bantuan dan kerjasama bagi menangani isu tersebut.

"China mengakui isu ini amat berat untuk Malaysia dan negaranya sendiri, justeru mereka memberi komitmen untuk terus membantu kita," kata beliau lagi.

Kepada satu soalan, Perdana Menteri berkata, kedudukan kawasan bagi operasi mencari pesawat berkenaan tidak berubah.

Mengenai pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya itu Najib berkata, majlis itu berlangsung dalam suasana yang sangat positif dan mesra dengan kedua-dua buah negara mengulangi komitmen untuk meningkatkan hubungan yang sudah sekian lama terjalin dalam pelbagai bidang.

Mengenai kerjasama dalam bidang automotif, Perdana Menteri berkata, Proton Holding Berhad dan Geely International Corporation sedang berunding bagi memeterai perjanjian untuk pengeluaran kereta bagi pasaran China dan ASEAN.

Sebelum itu, Perdana Menteri yang mengetuai delegasi diberi sambutan penuh istiadat oleh kerajaan China sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Majlis tersebut berlangsung di dataran The Great Hall of People, tempat yang sama ayahandanya, Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein diraikan ketika merintis hubungan diplomatik dengan negara itu empat dekad lalu.

Sejurus selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, Najib diberi penghormatan memeriksa pembarisan kehormat tiga sayap angkatan tentera republik itu sambil diiringi 19 das tembakan meriam.

Antara menteri yang menyertai rombongan tersebut ialah Menteri Pertahanan yang juga pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Utusan Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin.

Sementara itu, Hishammuddin ketika ditemui pemberita mengesahkan Malaysia akan menggunakan ProSas Deep Towed Synthetic Sonar dan Remora Remotely Operated Vehicle (ROV) dalam operasi mencari pesawat MH370 di dasar laut.

Menurut beliau, sistem terkini dan mempunyai keupayaan yang tinggi itu akan dibiayai oleh Petronas dan Deftec.

"Sistem ini dipercayai mampu membantu kerja-kerja mencari yang sudah memasuki fasa baharu itu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140530/dn_06/MH370-Hubungan-tidak-terjejas#ixzz339p4SP00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: