MONACO - Nico Rosberg menukar keputusan kontroversi petak pertama yang dilakarnya kelmarin kepada kemenangan buat Mercedes, sekali gus kembali merampas kedudukan pendahulu dalam senarai pemandu kejuaraan dunia pada Grand Prix Monaco, semalam.
Pemandu Jerman berusia 28 tahun itu menamatkan perlumbaan 9.2 saat di depan pencabarnya yang juga rakan sepasukan, Lewis Hamilton yang mengadu sebelah matanya kabur, namun masih mampu berada di kedudukan kedua.
Pelumba Australia, Daniel Ricciardo berada di anak tangga ketiga selepas mengekori rapat Hamilton hingga ke garisan penamat, sementara juara dunia empat kali, Sebastian Vettel yang berlumba buat kali ke-100 untuk pasukan Red Bull, gagal meneruskan perlumbaan selepas lapan pusingan kerana masalah pada unit kuasa jentera.
Kemenangan tersebut merupakan kali kedua berturut-turut buat Rosberg di Monaco, yang juga kejayaan kedua bagi musim 2014, dan kelima dalam kariernya.
Pemandu Ferrari, Fernando Alonso pula menamatkan perlumbaan di tempat keempat sementara Nico Hulkenberg dari Force India di tempat kelima, dan pemandu McLaren, Jenson Button di kedudukan keenam.
Felipe Massa menamatkan saingan di tangga ketujuh buat Williams, Jules Bianchi dari Marussia di kedudukan kelapan, manakala rakan senegaranya dari Perancis, Romain Grosjean yang memandu untuk Lotus serta pemandu dari Denmark, Kevin Magnussen yang memandu McLaren berada di tempat kesembilan dan ke-10.
Wahooooo! Terima kasih semua. Jentera ini hebat sekali," jerit Rosberg sebaik melengkapkan 78 pusingan pada perlumbaan tersebut.
Kejayaan Rosberg itu membolehkan dia mengumpul 122 mata dalam persaingan memburu gelaran untuk berada di depan Hamilton yang mengutip 118 mata.
Kemenangan ini amat istimewa, saya dapat rasakan tekanan sepanjang perlumbaan, tetapi saya berjaya mengekalkan ketenangan dalam diri saya," tambahnya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140526/sl_06/Rosberg-muncul-juara-Grand-Prix-Monaco#ixzz32yfkM1jE © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment