Azhad Sulaiman ceria menunjukkan diplomanya kepada Dr. Hayati Md. Salleh dan Sulaiman Sidie selepas diumumkan Anugerah Naib Canselor dalam majlis Konvokesyen UiTM Ke-80 di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 14 Mei - Minat mendalam dalam bidang muzik serta latihan berterusan merupakan resipi kejayaan pelajar Diploma Fakulti Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azhad Sulaiman yang memperoleh Anugerah Naib Canselor dalam Istiadat Konvokesyen Ke-80 universiti berkenaan.
Dia yang memperoleh purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.73 amat meminati alat muzik biola dan berhasrat untuk menjadi pendidik muzik pada masa depan dalam memartabatkan industri seni tanah air.
Muzik adalah salah satu cabang ilmu dan masyarakat perlu buka mata kerana masih lagi terdapat stigma masyarakat yang memandang serong terhadap bidang ini.
Inilah cabaran bagi mereka yang terlibat dalam komuniti seni dan saya bertuah kerana mendapat sokongan daripada keluarga serta rakan-rakan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azhad, 21, pernah menyertai Okestra RTM dan membuat persembahan di Melbourne, Australia pada Januari lalu.
Selain itu, dia juga pernah membuat persembahan di beberapa buah universiti tempatan seperti Universiti Malaya dan UiTM.
Azhad menambah, dia juga berhasrat meneruskan pengajiannya sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang muzik dan menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi untuk terus cemerlang.
Sementara itu, ibunya, Dr. Hayati Md. Salleh, 60, memberitahu, dia bersyukur dan berbangga dengan pencapaian anak bongsunya itu.
Ibu bapa perlu memberi galakan kepada minat anak-anak dan apa jua bidang yang mereka ceburi namun kita perlu mengingatkan mereka untuk membuat yang terbaik dan cemerlang.
Sebagai ibu bapa kita perlu memberi dorongan, sokongan yang tidak berbelah bahagi dan doa yang dititipkan setiap hari kepada anak-anak," katanya.
Ayahnya, Sulaiman Sidie, 64, pula berkata, dia menyokong minat Azhad terhadap muzik sejak dari kecil lagi.
Bidang muzik adalah bidang yang luas dan masih tidak ramai yang mempelajarinya secara formal justeru, saya memberi sokongan penuh kepada anak saya untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang ini," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20140515/ka_01/Pelajar-muzik-terima-anugerah-Naib-Canselor-UiTM#ixzz31kwq0hBt © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment