Mah Siew Keong (kanan) bersalam dengan Dyana Sofya Mohd. Daud sambil diperhatikan oleh Lim Kit Siang di Pasar Pagi Pasir Bedamar dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, Perak, semalam. - UTUSANZulkarnain Mohd. Saidin
KEMPEN pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan kini semakin rancak dan baru dua hari berjalan, sudahpun memasuki sisi gelap.
Semalam, tersebar nama-nama seperti Hairan binti Ajaib, Ko*** bin Abu Seman, UMNO bin Tinggal, Betik bin Kobis dan Taliberguna Berkebolehan Kawad.
Ia nama yang tertera dalam kad pengenalan yang dilayangkan oleh pihak tertentu dalam blog-blog dan WhatsApp. Ini disertakan dengan dakwaan mereka itu bakal pengundi-pengundi hantu di Teluk Intan Perak pada 31 Mei ini.
Namun tidak tertera pula nombor kad pengenalan mereka. Barangkali kerana nama yang begitu ganjil, pihak terbabit ragu-ragu. Lantas terus menyebar dakyah mereka ini akan didatangkan ke Teluk Intan bagi membantu kemenangan parti yang disukai.
Penulis sempat bertanyakan hal ini kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof semalam. Beliau tidak pula hairan dengan senarai nama terbabit.
Identiti mereka itu mungkin benar, kata Abdul Aziz. Bagi SPR sendiri, nama-nama seperti Jamban, Kelambu, Arnab, Rimau dan Semut biasa diterima untuk disenaraikan dalam Daftar Pemilih Induk. Kebanyakan nama ganjil ini daripada Sabah dan Sarawak. Mereka termasuk Hairan Binti Ajaib tadi, kata Abdul Aziz, mungkin telah lama bekerja di Teluk Intan dan menjadi pengundi di situ tetapi mengekalkan alamat Kampung Tongkollah, Semporna seperti tertera dalam kad pengenalan. Ia sah di sisi undang-undang untuknya mengundi.
Suatu ketika di masa lalu, seorang Orang Asli membuat laporan kelahiran anaknya yang mahu dinamakan Masian. Tapi malangnya apabila diambil laporan oleh seorang polis Benggali, nama anaknya ditulis dalam kad pengenalan sebagai Machine Gun. Sebab itu, nombor-nombor kad pengenalan lima nama ganjil tadi perlu dihantar segera ke SPR untuk disemak kesahihannya.
Walau apa pun bentuk kempen pilihan raya kecil di Teluk Intan ini, suatu yang perlu diakui, momentum atau trend pengundi atau pengundiannya memang unik.
Suatu ketika, Barisan Nasional (BN) pernah menang di situ dengan majoriti 7,000 undi (sama jumlah undi yang dimenangi DAP tahun lalu). BN juga pernah kalah di Teluk Intan dengan cuma 1,000 undi.
Kata orang Sabak Bernam yang berjiran dengan Teluk Intan, kerusi Parlimen itu sungguh kelakar. Pengundinya boleh swing bila-bila masa sahaja. Dan apabila DAP mengambil keputusan meletakkan Dyana Sofya Mohd. Daud sebagai calonnya, dalam kepala mereka tentunya begitu angkuh - bahawa meskipun Dyana Sofya bukan Cina - pengundi Cina pasti akan tetap 100 peratus mengundi parti itu. Dan Dyana Sofya itu nanti diharapkan berupaya memancing pengundi Melayu.
Namun, berdasarkan maklum balas yang hinggap di telinga penulis, kemungkinan besar trend pengundi Cina di Teluk Intan kali ini akan berubah. Pengundi Cina termasuk pemimpin DAP tempatan dikatakan ramai yang kecil hati apabila DAP Pusat mencalonkan Dyana Sofya. Macam tidak ada calon tempatan. Dengan kedudukan sebagai Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, tiba-tiba sahaja menjadi calon payung terjun di Teluk Intan. Ramai lagi calon-calon berkaliber dari DAP yang boleh diketengahkan, kata mereka.
Malahan, Dyana Sofya sendiri tidak ketahuan sama ada dia pengundi berdaftar di kerusi Teluk Intan, bahkan tidak mahir akan selok-belok Teluk Intan kerana asalnya dari Ipoh dan banyak menghabiskan kehidupan di Lembah Klang.
Di sebalik itu, calon BN, Datuk Mah Siew Keong merupakan anak tempatan. Pernah menjadi wakil rakyat di situ dan Timbalan Menteri. Perjumpaan dengan masyarakat Cina tempatan serta kenduri-kendara perkahwinan dan kematian melibatkan orang Melayu tidak lekang dengan kelibatnya.
Ketika ini penentuan kemenangan kerusi Parlimen Teluk Intan dalam kedudukan 50:50. BN sendiri berpeluang andai kata jentera pilihan rayanya tidak leka atau lebih tepat lagi usah anda sesekali tidur.
Carilah - kalau benar-benar wujud - nama Hairan binti Ajaib, Ko*** bin Abu Seman, UMNO bin Tinggal, Betik bin Kobis dan Taliberguna Berkebolehan Kawad. Pastikan apabila mereka melangkah masuk ke saluran mengundi, Siew Keonglah pilihan hati.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140521/re_06/Hairan-Bin-Ajaib-Betik-bin-Kobis-semarakkan-kempen#ixzz32JRuNPx9 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment