MENARA UMNO meriah dengan gambaran grafik digital Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-68 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini. - utusan/ NOORADZRENE MOHD NOOR
PADA Ahad lalu, semua ahli UMNO menyambut ulang tahun penubuhan parti itu yang ke-68.
Sebagai sebuah parti politik keramat di Malaysia, UMNO dikenali sejak dahulu sebagai satu-satunya parti yang gigih memperjuangkan cita-cita, nasib dan masa depan orang Melayu di negara ini sejak sebelum dan selepas merdeka.
Hasil perjuangan gigih UMNO, dengan kerjasama dua parti politik utama lain iaitu MCA dan MIC, negara ini berjaya mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957.
Bermula dari saat itu, maka terbentuklah apa yang dinamakan sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia pada hari ini.
Perkembangan negara ini sejak merdeka hingga sekarang, sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial, secara umumnya sangat membanggakan. Ini juga adalah hasil usaha UMNO dengan kerjasamanya bersama parti-parti politik utama di Malaysia sama ada dalam gabungan Parti Perikatan ataupun Barisan Nasional.
Hari ini, setelah 56 tahun mencapai kemerdekaan, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara kuasa tengah (middle power) yang mempunyai masa depan cerah untuk terus maju.
Semua ini tidak boleh dicapai dengan mudah sekiranya pemimpin, ahli dan penyokong UMNO tidak berani berubah sama ada secara mental, fizikal atau spiritual. UMNO akan terus menjadi sebuah parti politik yang bersifat kampungan dan lokal sahaja sekiranya ia tidak berani berubah.
Malah suara UMNO tidak mungkin akan didengari oleh sesiapa termasuk British. Malah kaum-kaum lain di Tanah Melayu dahulu mungkin akan memandang rendah terhadap UMNO sekiranya ia mengambil sikap penakut kepada perubahan. Tetapi UMNO sebaliknya berjaya membuktikan bahawa ia berani berubah demi masa depan agama, bangsa Melayu dan tanah air.
Kejayaan UMNO sejak 68 tahun dahulu membahagiakan ramai pemimpin, ahli, penyokong, malah ramai lagi rakyat Malaysia yang bukan pun menjadi sebahagian daripada ahi parti tersebut. Berkat usaha UMNO, suasana kehidupan di Malaysia bukan lagi seperti dahulu.
Di kebanyakan kawasan di negara ini, hutan belukar telah bertukar menjadi hutan batu. Bangunan tinggi pencakar lagi dibina di merata-rata tempat. Bandar-bandar baru dibina bagi memenuhi keperluan negara dan rakyat yang semakin bertambah.
Setiap kali sesi Perhimpunan Agung UMNO diadakan di Putra World Trade Center (PWTC) di Kuala Lumpur, deretan kereta mewah milik pimpinan tertinggi UMNO membarisi ruangan hadapan di bangunan yang kini menjadi ibu pejabat parti keramat tersebut.
Inilah hasil nikmat perjuangan dan usaha UMNO yang telah dinikmati oleh semua rakyat di Malaysia.
Ironisnya, semua kejayaan dan kemewahan ini telah mengubah pemikiran sebahagian pemimpin, ahli dan penyokong UMNO menjadi sangat individualistik dan materialistik.
Kepentingan peribadi telah mengatasi kepentingan parti.
Matlamat perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air juga kelihatan semakin kabur. Memiliki jawatan tinggi dalam parti dilihat sangat penting daripada bentuk sumbangan yang boleh diberikan.
Tanpa jawatan dalam parti, seseorang itu boleh disifatkan sebagai 'pariah' yang mana jasa dan pengorbanannya tidak langsung dihargai. Keadaan ini sangat berbeza dengan apa yang kita pernah lihat di negara-negara yang kita tahu sangat mendokong prinsip politik secara demokrasi.
Ahli-ahli politik di Barat sanggup meletakkan jawatan Kabinet semata-mata ingin lebih masa berkhidmat untuk parti, rakyat dan negara. Tidak ada sebarang tindakan seperti merajuk atau memberontak; apatah lagi tindakan tunjuk perasaan ataupun demonstrasi jalanan hanya kerana hilang kuasa dan jawatan.
Tetapi ada dalam kalangan pemimpin, ahli dan penyokong UMNO pada hari ini sanggup berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Nampaknya nawaitu mereka sewaktu menyertai UMNO dahulu telah berubah. Konflik politik sebegini sememangnya menjadi lumrah kepada mana-mana parti politik.
Tetapi pimpinan tertinggi parti mesti menanganinya dengan penuh hikmah dan bijaksana ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung pula tidak berselerak.
Pemimpin bawahan, ahli dan penyokong pula mesti menerima setiap keputusan tersebut dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.
Semua orang mesti faham bahawa pemimpin boleh datang dan pergi.
Sesiapa sahaja boleh menjadi pemimpin sekiranya dia berkelayakan untuk memimpin dan diterima oleh ahli dan penyokong partinya. Jawatan kepimpinan dalam parti politik juga bukanlah sesuatu yang bersifat feudal atau warisan.
Dalam menangani semua permasalahan ini, slogan 'berani berubah' mesti dihayati dan diamalkan oleh ahli UMNO di semua peringkat sama ada di peringkat atasan mahupun bawahan. UMNO mesti berani berubahuntuk terus kekal relevan di negara ini, bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga di kalangan orang bukan Melayu.
UMNO mesti terus menjadi pendokong dan penerajui kerajaan di Malaysia untuk selama-lamanya. Pada masa sama juga, kita sangat mengalu-alukan proses transformasi politik yang sedang diperkenalkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Justeru, slogan berani berubah ini mesti difahami maksudnya oleh semua pemimpin, ahli dan penyokong UMNO untuk ia benar-benar berkesan. Berani berubah bermaksud berani menggunakan cara atau mekanisme baru yang boleh mengukuhkan parti.
Berani berubah juga bermaksud berhijrah daripada perkara atau nilai yang tidak elok kepada perkara atau nilai yang elok dan baik untuk parti.
Dalam konteks UMNO sejak dahulu hingga kini, faktor budaya dilihat banyak mempengaruhi perkembangan UMNO. Faktor budaya turut memberi kesan dari segi perspektif pemimpin, ahli dan penyokong UMNO terhadap parti tersebut.
Budaya feudalisme dan korporatisme sebagai contoh, ialah antara budaya yang mesti diubah dalam UMNO. Tanpa kita sedari, sedikit demi sedikit budaya ini mencemari peranan UMNO sebagai sebuah parti keramat orang Melayu.
Walaupun sangat malu untuk menyebut mengenai hal ini, inilah sebenar hakikatnya.
Sebagai ahli parti, tak kira apa kedudukan kita sama ada pemimpin atasan, bawahan mahupun ahli biasa, kita mesti sedar bahawa parti politik bukannya alat untuk feudalisme atau korporatisme.
Parti politik juga bukannya tempat yang paling aula untuk kita mencari makan tetapi ia adalah tempat untuk kita berbakti kepada agama, bangsa dan negara yang kita cintai.
Parti politik adalah satu wadah penyatuan di mana semua aspirasi dan cita-cita rakyat dan sesebuah bangsa tersebut disatukan di bawah satu payung keramat yang akan menyatukan pemikiran dan tindakan semua ahlinya. Inilah yang sepatutnya difahami oleh semua ahli UMNO.
Apa yang sedang berlaku mutakhir ini, termasuk krisis di Terengganu dan mungkin bakal di negeri lain ialah signal kepada UMNO bahawa satu tindakan penting mesti diambil oleh parti tersebut untuk terus kekal relevan di negara ini.
UMNO mesti menerima hakikat bahawa selepas 2004, sokongan rakyat malah ahli terhadap parti ini kelihatan semakin merosot. Pemimpin UMNO pada hari ini mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menstabilkan parti ini serta meletakkannya kembali ke landasan yang sepatutnya.
Semua ini boleh dilakukan sekiranya slogan berani berubah ini dihayati dan diamalkan oleh ahli UMNO di semua peringkat.
Justeru, lupakan feudalisme, lupakan korporatisme, lupakan habuan politik; UMNO mesti berani berubah untuk terus kekal relevan di Malaysia, bukan sahaja untuk orang Melayu, malah untuk bukan Melayu dan dunia sejagat.
PENULIS ialah Pensyarah Politik dan Hubungan Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140514/re_01/Berani-berubah-bukan-sekadar-slogan#ixzz31f92GEQk © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment