TERESA Kok (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR 6 Mei - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut membabitkan penerbitan satu klip video bertajuk Teresa Kok Onederful" Malaysia CNY 2014, Februari lalu.
Teresa, 50, yang hadir ke mahkamah memakai baju kurung moden berwarna merah membuat pengakuan tidak bersalah dengan hanya menjawab tidak selepas jurubahasa membaca pertuduhan berkenaan kepadanya di hadapan Hakim Norsharidah Awang.
Berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, Teresa bakal hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen sekiranya disabitkan atas pertuduhan itu dan dihukum penjara tidak kurang dari satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 serta gagal merayu sehingga ke peringkat tertinggi.
Naib Pengerusi DAP itu didakwa melakukan perbuatan itu melalui laman web http://www.youtube.com/watch?v=JtsRcld70bk di alamat 90-02-07 Apartmen Putra Ria, Jalan Bangsar di sini kira-kira pukul 9 pagi, 1 Februari lalu.
Bersama pertuduhan tersebut, disertakan Lampiran A iaitu transkrip terjemahan dalam bahasa Melayu klip video itu yang terkandung ayat-ayat yang didakwa menghasut.
Teresa Kok atau nama sebenarnya Teresa Kok Suh Sim didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan berikutnya, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan penerbitan berbaur hasutan pada milikan seseorang atau digunakan sebagai keterangan dalam perbicaraan tersebut hendaklah dilucutkan hak dan boleh dimusnahkan atau dilupuskan seperti arahan dari mahkamah.
Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan P. Viknesvaran mengendalikan pendakwaan manakala Teresa diwakili peguam Datuk Param Cumaraswamy, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, Sankara Nair dan Gobind Singh Deo.
Muhamad Iskandar mencadangkan Teresa diikat jamin RM4,000 dan menegaskan jumlah itu adalah munasabah untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, Param memohon mahkamah memberi jaminan bon peribadi kepada anak guamnya.
Sankara pula menyatakan, bon peribadi memadai kerana anak guamnya tidak mungkin melarikan diri malah telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.
Mahkamah kemudian membenarkan Teresa diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun ini bagi pengurusan kes manakala perbicaraan kes itu akan berlangsung selama empat hari bermula 2 September ini.
Muhammad Iskandar turut memaklumkan, pihak pendakwaan dijangka mengemukakan kira-kira 15 saksi untuk memberi keterangan di mahkamah.
Berdasarkan laporan akhbar, klip video berdurasi 11 minit 39 saat itu telah disiarkan dalam Youtube sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang memaparkan Teresa selaku moderator bersama tiga tetamu undangan, mengeluarkan kenyataan menyindir pemimpin negara dalam beberapa perkara termasuk pendidikan dan keganasan di Sabah.
Berikutan penyiaran video itu banyak pihak termasuk masyarakat Cina yang tidak berpuas hati dan menyifatkan ia memaparkan keganasan halus yang secara tidak langsung boleh mempengaruhi masyarakat.
Pada 11 Februari lalu, ahli Parlimen Seputeh itu mengakui skrip video tersebut adalah hasil cetusan ideanya sendiri bersama beberapa orang rakan.
Tanpa rasa bersalah, Teresa menganggap video itu adalah salah satu sesi kelakarnya dan bertujuan menggembirakan penonton.
Meskipun dikecam Teresa enggan memohon maaf dan menganggap tindakannya itu hanya sebagai satu lawak jenaka yang menyindir isu semasa di negara ini.
Ekoran tindakannya itu, pada 20 Februari lalu, pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen Seputeh dekat Kuchai Entreprenuers berhampiran Jalan Kuchai Lama di sini telah disimbah cat merah dipercayai ada kaitan dengan penghasilan video.
Selain cat merah, bangkai seekor ayam jantan juga ditemui di pusat khidmat tersebut.
Lebih 300 laporan polis berhubung klip video itu telah dibuat oleh pelbagai pihak sehingga 7 Februari lalu.
Sementara itu pada 12 Februari lalu, tiga pelakon klip video berkenaan iaitu pelakon wanita, Lim Ching Miau dan dua pelakon lelaki yang hanya dikenali sebagai Ah Kok dan Lim telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi kenyataan.
Menurut peguam Aaron Lee yang mewakili ketiga-tiga pelakon itu, anak guamnya hanya dipanggil sebagai saksi untuk membantu siasatan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140507/ma_01/Klip-video-Teresa-didakwa-menghasut#ixzz30zW2gPpJ © Utusan Melayu (M) Bhd
KOMEN : TAKAN SATU PUN TAK SANGKUTKAN
No comments:
Post a Comment