sukan@utusan.com.my
Mohd. Amri Yahyah (kanan) cuba melepasi halangan pemain Pahang, R. Gopinathan pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
JOHOR BAHRU - Kelebihan beraksi di depan ribuan penyokong sendiri gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh Johor Darul Tazim (JDT) apabila membenarkan Pahang memperoleh kelebihan gol di tempat lawan dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA yang berkesudahan 1-1, semalam.
Beraksi dengan sokongan 30,000 penonton di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, pasukan Harimau Selatan yang mengasak hebat sebaik sepak mula menguji benteng Tok Gajah yang kelihatan sedikit longlai dan kurang tersusun.
Kealpaan pertahanan Tok Gajah akhirnya dihukum tuan rumah dengan gol pembukaan penyerang, Luciano Figueroa pada minit ke-12 yang merembat dari jarak dekat umpanan cantik sepakan percuma Safiq Rahim.
Tersentak dengan gol tersebut, Pahang kembali bangkit mengatur permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 melalui penyerang Matias Conti.
Gol penyamaan Pahang hadir menerusi sepakan Azidan Sarudin yang menemui Damion Stewart di bahagian kiri pintu gol JDT, sebelum pemain Jamaica itu melakukan tandukan yang disudahkan Conti untuk menewaskan Izham Tarmizi Roslan.
Aksi separuh akhir pertama sedikit tegang di penghujung babak pertama setelah Damion melakukan terjahan keras ke atas Figueroa yang menyaksikan pemain kedua-dua pasukan bercakaran sesama sendiri sebelum pengadil melayangkan kad kuning kepada Norshahrul Idlan Talaha dan Saiful Nizam Miswan.
Sebaik babak kedua bermula, JDT terus menggandakan asakan bagi menambah jaringan menerusi jentera serangan yang diketuai Figueroa, namun beberapa peluang yang diperolehi penyerang antarabangsa Argentina itu disia-siakan terutama seawal minit ke-47.
Pahang mempamer corak bertahan di sepanjang babak kedua bagi menyekat kemaraan Harimau Selatan mendapatkan gol kedua.
Gerakan terbaik Pahang untuk berada di depan hadir pada minit ke-63 melalui rembatan R. Gopinathan, namun sedikit tersasar ke arah sebelah kiri gawang JDT.
No comments:
Post a Comment