mohdasron.mustapha@utusan.com.my
Zulkifli Nordin
KUALA LUMPUR 5 Mei - Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini sering melaung-laungkan tuntutan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibersihkan, dicabar meletak jawatan jika benar mereka bermaruah ekoran dakwaan wujud manipulasi undi sehingga mencetuskan kekecohan dalam pemilihan parti itu.
Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, pemimpin PKR bermula daripada Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, R. Sivarasa dan Tian Chua patut malu dengan apa yang berlaku tetapi sikap membisu membuktikan mereka cakap tidak serupa bikin.
Katanya, beliau pelik bagaimana pemimpin-pemimpin PKR yang sebelum ini lantang bersuara di Dewan Rakyat, malah sanggup turun ke jalanan bagi menuntut pilihan raya bersih telah mengunci mulut apabila melibatkan parti sendiri, sedangkan dakwaan manipulasi undi didedahkan Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin.
"Sebab itu saya tidak pelik sekiranya segala tohmahan yang dilemparkan PKR kepada SPR sebenarnya rancangan mereka sendiri bagi memburukkan institusi tersebut demi membangkitkan sentimen rakyat kerana dakwaan blackout berlaku dalam PKR ketika proses pengiraan undi di Cabang PKR Batang Sadong, Sarawak.
"Jadi saya cabar Anwar, Rafizi, Saifuddin Nasution, Sivarasa dan Tian Chua letak jawatan kerana jika membisu, bererti mereka sebenarnya merestui manipulasi undi. Saya juga cabar Datuk S. Ambiga (Pengerusi Bersih) pergi buat bantahan kepada PKR," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Proses pemilihan PKR di seluruh negara kecoh dengan beberapa cabang diisytiharkan sebagai tidak sah dan perlu diadakan pengundian semula, antaranya di Pulau Pinang, melibatkan Cabang Nibong Tebal selepas timbul dakwaan wujud pengundi hantu dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan pengerusi negeri.
Insiden di Pulau Pinang tidak hanya terhenti di situ kerana di Cabang Balik Pulau pula, proses pengundian bertukar panas apabila perbuatan kempen dan 'mencuri pengundi' di bilik mengundi menimbulkan rasa tidak puas hati para penyokong sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran yang hampir menjadi insiden tumbuk-menumbuk.
Di Sabah pula , tiada persediaan rapi menyebabkan sesi mesyuarat dan pemilihan PKR Cabang Tenom yang berlangsung di sebuah hotel bertukar kecoh sehingga menjadi tidak terkawal menyebabkan Pengarah Jawatankuasa Pemilihan PKR Cabang Tenom, Nazri Udoi memutuskan mesyuarat serta pemilihan dibatalkan.
Hal sama berlaku di Perak apabila Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B), Muhammad Imran Abdul Hamid tidak berpuas hati dengan perjalanan pengundian bagi jawatan Ketua Cabang Lumut, manakala di Kedah, calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Sungai Petani, S. Arvind Kumar mendesak pengundian semula.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari mendakwa, siri kekecohan yang berlaku dalam pemilihan PKR adalah kerana tidak wujud demokrasi tulen dalam parti tersebut kerana pemilihan pemimpin ditentukan Ketua Pembangkang menyebabkan calon bertanding tidak berpuas hati dengan perjalanan pengundian.
"Sebab itu kita lihat keadaan pemilihan PKR tetap sama. Kekecohan tetap berlaku walaupun telah banyak aduan dibuat kerana Anwar tidak serius untuk membetulkan keadaan. Apa yang mereka laung-laungkan tidak ubah seperti ayam jantan sahaja yang hanya pandai berkokok tetapi ekor sendiri bergelumang najis," katanya.
No comments:
Post a Comment