khairul.nuar@utusan.com.my
TUANKU Bainun menyiram air mawar di pusara Almarhum Sultan Azlan Shah yang selamat dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar, semalam. - BERNAMA
KUALA KANGSAR 29 Mei - Jenazah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar di sini petang ini selepas solat Asar dalam suasana mendung dan gerimis.
Jenazah Almarhum dimakamkan di antara makam Sultan Idris Shah II dan makam anak ketiga baginda, Raja Datuk Seri Ashman Shah yang mangkat pada 30 Mac 2012.
Kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata mula membanjiri pekarangan masjid seawal pukul 4 petang selepas jenazah baginda disemayam di Balairong Seri Istana Iskandariah di sini untuk penghormatan terakhir.
Jenazah baginda tiba di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan di sini dengan peterana 'Seraja Diraja' berwarna kuning pada pukul 4.30 petang untuk disembahyangkan.
Selepas disembahyangkan, jenazah dibawa ke Makam Diraja yang terletak bersebelahan dengan masjid tersebut untuk istiadat pemakaman.
Talkin dan doa kemudian dibacakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria selepas jenazah selesai dikebumikan kira-kira pukul 6 petang.
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun mendahului keluarga diraja menabur bunga rampai dan menyiram air mawar di makam Almarhum diikuti oleh Raja Dr. Nazrin Shah yang diisytiharkan sebagai Sultan Perak baharu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan kerabat-kerabat diraja lain turut menyiram air mawar.
Hujan mulai renyai-renyai sebaik sahaja majlis tersebut berakhir pada pukul 6.40 petang.
Sultan Azlan Shah, 86, yang merupakan Sultan Perak kedua berada paling lama di takhta pemerintahan, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari di Institut Jantung Negara (IJN) semalam.
Baginda meninggalkan Tuanku Bainun, Raja Dr. Nazrin Shah dan tiga puteri, Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.
No comments:
Post a Comment