Ramkarpal dibidas kerana sentuh isu hudud
Ramkarpal
PULAU PINANG 18 Mei - Calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh Deo ditempelak sebagai tidak layak dan tidak berhak mewakili DAP untuk membuat sebarang kenyataan berhubung pelaksanaan hukum hudud Pas.
Menurut calon Bebas PRK berkenaan, Mohamed Nabi Bux Mohd. Nabi Abd. Sathar, Ramkarpal tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam DAP seperti mendiang bapanya, Karpal Singh untuk menyatakan pendirian mengenai hudud.
Malah menurut beliau, jangka masa keanggotaan Ramkarpal dalam DAP juga dipersoal oleh ahli-ahli parti itu sendiri.
"Pendirian beliau berkenaan hudud tidak penting sebab dia hanya ahli DAP biasa, tiada sebarang jawatan pun, jadi tidak perlu diambil kira," katanya kepada pemberita selepas bertemu pengundi di Pasar Awam Taman Tun Sardon, Bukit Gelugor di sini hari ini.
Mohamed Nabi Bux membidas kenyataan Ramkarpal baru-baru ini bahawa beliau mempunyai pendirian yang sama dengan mendiang bapanya, Karpal dan DAP yang menolak pelaksanaan hukum hudud di negara ini.
Dalam pada itu Mohamed Nabi Bux mendakwa, Setiausaha Agung DAP yang jawatannya belum disahkan, Lim Guan Eng secara sulit menyokong penuh pelaksanaan hukum hudud di Kelantan demi kepentingan politiknya di negeri ini.
Beliau turut mendakwa, Guan Eng menyokong pelaksanaan hukum hudud itu secara sulit demi mengambil hati pemimpin Pas dan menjaga hubungan dalam pembangkang meskipun sebelum ini mengakui menentang hukum Islam tersebut.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui tidak pernah mendengar sendiri Guan Eng menyatakan perkara tersebut dalam mana-mana perjumpaan dengan ahli-ahli Pas.
"Dia tidak akan beritahu saya atau rakyat, beliau akan beritahu pemimpin Pas. Ini semua untuk kepentingan politik dia. Saya tahu dia memang setuju, 100 peratus setuju, tetapi secara sulit, kerana politik dia mesti setuju," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Nabi Bux berkata, beliau bersedia dihadapkan ke Lembaga Disiplin Pas sekiranya Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar berhasrat mengambil tindakan terhadapnya.
Menurutnya, beliau tidak gentar berdepan tindakan daripada parti memandangkan mendapat sokongan ramai ahli Pas lain berhubung keputusannya bertanding dalam PRK berkenaan.
"Ramai ahli Pas berada di belakang saya kerana saya memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud di negeri ini yang mana ini adalah dasar dalam Pas sendiri," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140519/po_01/Ramkarpal-dibidas-kerana-sentuh-isu-hudud#ixzz32DMYTimK © Utusan Melayu (M) Bhd
KOMEN : WALAU APA PUN PUTAR BELIT MEREKA NI...AKKHIRNYA HUDUD PAS TERGOLEK KE LONGKANG JUE...
No comments:
Post a Comment