Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 14 September 2011

Sultan Johor lancar buku Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor


DARI UTUSAN MALAYSIA 14/9/2011




SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar (dua dari kiri) melihat buku Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor pada majlis perasmian Buku Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor dan Minyak Wangi Diraja Johor di UTM, Skudai, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 13 Sept. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan melancarkan buku Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor yang memaparkan adat istiadat Kesultanan Johor.

Bertitah pada majlis itu, Sultan Ibrahim menyifatkan penerbitan buku yang dapat memberi gambaran terperinci terhadap adat istiadat dan budaya istana Johor dari zaman Temenggong sehingga kini itu adalah sesuatu yang dinantikan dalam kalangan rakyat, pengkaji sejarah dan ahli akademik.

"Sebahagian besar rakyat Johor mungkin tidak berpeluang menyaksikan perlakuan istiadat dalam istana.

"Justeru, buku ini membolehkan rakyat Johor mengetahui adat resam yang membentuk budaya Johor yang unik tetapi moden," titah baginda di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang.

Sultan Ibrahim bertitah, evolusi sejarah dan kebudayaan ikon Johor seperti pakaian Telok Belanga, Askar Timbalan Setia Negeri, Lagu Bangsa Johor dan Mahkota Kerajaan amat perlu diketahui dan disebarkan dengan luas kepada rakyat Johor bagi membina jati diri dan tata susila.

"Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor ditulis oleh Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli yang merupakan Karyawan Tamu UTM berdasarkan kepada penyelidikan dan pengalaman beliau mengurus dan melaksanakan istiadat istana selama 40 tahun.

Buku terbitan UTM Press setebal 295 muka surat itu dijual pada harga RM180 dan mengambil masa setahun untuk disiapkan, termasuk kerja-kerja mengumpul bahan, suntingan dan cetakan.

Sultan Ibrahim dalam majlis yang sama turut berkenan melancarkan minyak wangi Sultan Ibrahim Satu (SI 1) dan Sultan Ibrahim 2 (SI 2) yang merupakan minyak wangi yang direka khas oleh penyelidik di Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) UTM serta menandatangani plak sebagai tanda merasmikan bangunan IBD.

Sementara itu, Abdul Rahim dalam ucapannya berkata, melalui buku berkenaan, beliau cuba menerangkan kepada pembaca beberapa kemusykilan dan persoalan yang sering timbul berkenaan adat diraja Johor supaya pembaca lebih mengetahui situasi sebenar.

"Misalnya, mengapa rakyat Johor tidak mengangkat sembah apabila menghadap raja, mengapa raja Johor berpakaian cara Bugis, mengapa pakaian istiadat raja Johor mirip pakaian barat dan sebagainya.

"Buku ini menghuraikan asal usul ikon Johor yang dipelopori oleh Sultan Abu Bakar seperti pakaian Telok Belanga dan peranan sumber asli yang menjadikan Johor negeri terkaya dalam zaman Temenggong iaitu getah taban, lada hitam dan gambir.

"Saya juga cuba mengingatkan jasa Sultan Abu Bakar dalam mengharumkan nama Johor yang sentiasa mendahului negeri lain dengan mengilhamkan sebuah mahkota sebagai tindakan berani mengubah pakaian tradisi raja-raja Melayu dan mencipta Undang-Undang Tubuh kerajaan tahun 1895," katanya.

Beliau menegaskan menerusi pengetahuan sejarah itu, semua pihak diharap dapat menambah kesedaran terhadap perjuangan tokoh-tokoh yang telah membangunkan Johor dan mengukuhkan kesetiaan kepada raja dan negeri bagi mengekalkan kedaulatan Johor. — BERNAMA

KOMEN : JANGAN JADI MACAM MAT SABU, BACA SEJARAH KOMUNIS PUN TAK HABIS....

No comments: