Oleh WANDA IDRIS
Ini kerana, selama menjadi pemerintah negara, beliau sering dianggap sebagai penghalang kepada pelaksanaan hukum tersebut di negeri itu.
“Saya bukan Perdana Menteri dah, pasal apa tak laksanakan (hudud).
“Pergilah tanya Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) kalau dia nak bagi... Ini dia (Nik Aziz) asyik salahkan saya kononnya kerana saya, (Pas) tak dapat laksana hukum hudud,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan perdana Za’ba bertajuk Mampukah Malaysia Menghadapi Cabaran Imperialisme Bentuk Baru anjuran Institut Peradaban Melayu dan Pejabat Kursi Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Pas untuk melaksanakan hudud di negeri itu biarpun ditentang hebat oleh sekutunya dalam pembangkang.
Sebelum ini Nik Abdul Aziz pernah dilaporkan berkata bahawa Dr. Mahathir merupakan individu pertama yang menghalang kerajaan negeri Kelantan daripada melaksanakan hukum hudud dan bukan Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut membidas pemimpin negeri itu yang lebih banyak bercakap tentang politik daripada memberi didikan agama secukupnya kepada rakyat khususnya golongan muda.
Ini kerana, jelas beliau, sekiranya pemimpin negeri berkenaan menerapkan nilai dan hukum agama maka sudah pasti kes-kes HIV/Aids yang mencatat angka tertinggi di negeri itu berbanding negeri lain tidak akan berlaku.
“Negeri lain tidak ada hukum hudud pun, macam mana kita kawal (rakyat). Ini dia tidak kawal, dia tidak ajar agama betul.
“Kalau kawal betul orang akan tolak perbuatan yang membawa kepada penyakit Aids... Ini dia tidak ajar agama, dia ajar politik, tapi dia (nak) salahkan saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir mengingatkan rakyat supaya terus menjaga keselamatan negara dan tidak mengambil kesempatan terhadap pemansuhan Akta Dalam Negeri (ISA).
Beliau berkata, biarpun tiada lagi undang-undang yang digubal bagi menggantikan akta tersebut namun rakyat patut mendisiplinkan diri dan tidak berbuat sesuka hati.
“Saya harap rakyat matang dan tidak bertindak sesuatu yang boleh merosakkan negara,” katanya.
Malah Dr. Mahathir berpendapat Malaysia sudah cukup matang dan cekap untuk menjaga dan memastikan keselamatan negaranya sendiri apabila ditanya mengenai kesediaan Amerika Syarikat (AS) untuk membantu merangka undang-undang baru menggantikan ISA.
“Saya fikir kita tidak perlu ikut (cara mereka). Kita pun cekap juga menjaga keselamatan kita. Tak payahlah nak ikut stail Amerika Syarikat,” katanya.
Mengulas mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang mahu menukar Jalur Gemilang, beliau berkata: “Ini satu pendapat yang tidak bertanggungjawab. Itu lambang negara kita.”
No comments:
Post a Comment