Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 20 September 2011

MASIH RELEVAN KAH SEKAKI BODEK?


Ketelusan penentu nasib BN
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KETIKA berucap pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pemimpin dan ahli-ahli parti itu supaya tidak melaksanakan 'program syok sendiri' dan tidak memberikan laporan yang tidak tepat berhubung situasi politik di kawasan mereka.

Peringatan Najib yang juga Pengerusi BN itu tepat pada masanya kerana sebarang amalan politik kepura-puraan semata-mata untuk menyedapkan hati 'bos' sudah berakhir.

Pemimpin-pemimpin BN terutamanya di negeri-negeri yang ditawan oleh pembangkang seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan perlulah telus dalam berpolitik.

Mereka tidak boleh lagi mahu menggambarkan seolah-olah di bahagian atau negeri mereka baik-baik belaka dan seolah-olah kalau pilihan raya diadakan esok BN akan menang dengan cemerlang.

'Penyakit' kepura-puraan dan syok sendiri inilah yang membawa bencana kepada BN dalam Pilihan Raya Umum 2008. BN masih bernasib baik kerana Tuhan masih memberi peluang kepada parti itu memerintah Malaysia biar pun tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan empat negeri termasuk di Perak selama 11 bulan.

Tetapi pengajaran yang boleh dipelajari daripada situasi tersebut ialah pemimpin BN di semua peringkat terutamanya UMNO perlu jujur, telus dan ikhlas untuk melihat parti mencapai kejayaan.

Apa yang paling penting ialah kejayaan parti dan bukannya individu. Justeru sikap hipokrit dalam berpolitik dengan menggambarkan segala-galanya baik belaka dan rakyat sudah kembali kepada BN perlu dihapuskan. Kita tidak menafikan sokongan kepada BN kini semakin pulih tetapi ia belum mencapai sasaran yang diinginkan.

Sama ada pemimpin BN dan UMNO hendak mengakui atau tidak, selama ini parti itu sukar menawan atau mempertahankan sesuatu kawasan bukan kerana pembangkang kuat tetapi kerana kesilapan strategi dalam menghadapi pilihan raya. Ini termasuklah sikap hipokrit dengan mengatakan sesuatu bahagian itu tidak ada masalah dengan ungkapan ''kami bersatu padu dan bersedia menghadapi pilihan raya bila-bila masa.''

Hakikat di sesetengah bahagian - pemimpinnya di hadapan bersalaman, di belakang bertikaman sesama sendiri. Turut perlu difahami situasi politik sekarang bukan macam dahulu apabila jumlah sokongan diukur berasaskan kepada kehadiran pada majlis-majlis diadakan. Sekarang situasi beza, yang ada hadir belum tentu menyokong dan yang tidak datang bukannya tidak mengundi BN.

Mungkin bagi sesetengah ahli politik mereka berbangga apabila majlis-majlis anjuran mereka mendapat sambutan ramai, ribuan yang hadir tetapi apakah jumlah kehadiran itu akan mencerminkan keputusan pilihan raya nanti. Sudah pasti tidak!

Atas sebab itulah, ketelusan, kejujuran dan keikhlasan dalam membuat bacaan politik seperti mana kata Najib amat penting. Pemimpin-pemimpin BN dan UMNO tidak boleh lagi mengamalkan politik berpura-pura dan merasakan semuanya 'OK' belaka sedangkan sejarah sudah membuktikan 'yang OK itu,' akhirnya KO.''

Dalam soal ini sekali lagi, keikhlasan amat dituntut daripada ketua-ketua bahagian dan pengerusi perhubungan parti di setiap negeri agar mereka tidak berselindung dalam membuat laporan kepada pihak atasan. Jika sesuatu bahagian atau negeri itu ada masalah, mereka perlu berterus-terang dan bukannya menyatakan segala-galanya elok belaka.

Selain itu, salah satu perkara yang berkaitan dengan ketelusan juga ialah kejujuran untuk menyatakan kepada pucuk pimpinan parti berhubung masalah dalaman. Pemimpin-pemimpin di semua peringkat tidak boleh bersikap hipokrit dengan menyembunyikan masalah dalaman kerana ia ibarat membiarkan api terus membawa di dalam serkam.

Faktor kelemahan dalaman inilah sebenarnya turut menjadi salah satu punca kekalahan BN di Selangor, Kedah, Perak dan Kelantan dalam pilihan raya umum lalu.

Segala-galanya berlaku kerana banyak ketua-ketua bahagian khususnya UMNO berbalah sesama sendiri sehingga jentera pilihan raya parti tidak mampu bergerak dengan lancar. Akibatnya apabila pilihan raya berlangsung, maka BN tewas dan selepas itu barulah hendak menyesal tiga hari tiga malam.

Justeru dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang politik kepura-puraan, sikap hipokrit dan menyembunyikan fakta sebenar harus disingkirkan daripada sanubari semua pemimpin-pemimpin BN.

Jika benar pemimpin-pemimpin BN dan UMNO di peringkat bahagian dan negeri tidak mahu dimalu dan dipersendakan oleh pembangkang, maka mereka perlu bertekad untuk memberi laporan yang tepat kepada pucuk pimpinan parti.

Ia kerana jika mereka masih lagi belum mahu insaf dengan apa yang berlaku ketika pilihan raya umum lalu, maka tidak mustahil BN dan UMNO akan tewas lebih teruk lagi. Sebab itulah pemimpin-pemimpin BN perlu memandang serius peringatan Najib dan Muhyiddin. Jangan biarkan pembangkang yang tidak kuat menjadi bertenaga hanya disebabkan kelemahan dalaman BN sendiri.

Jika pemimpin-pemimpin BN mendengar nasihat Najib dan mematuhi panduan Muhyiddin sudah pasti BN akan mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang.

Apa yang penting jangan biarkan ketidaktelusan dalam memberikan laporan kepada pucuk pimpinan parti menyebabkan rakyat merasa muak dan kesempatan itu diambil oleh pembangkang untuk meraih kemenangan.

KOMEN : DS NAJIB KENA BERHATI-HATI DENGAN KETUA2 YANG BERMUKA-MUKA DAN KAKI BODEK... JANGAN DILAYAN MEREKA YANG MEMBERIKAN MAKLUMAT PALSU FEEL GOOD MACAM ZAMAN PM DOLLAH TU YANG MEMBUATKAN BN KALAH TERUK DIPRU 12... PALING UTAMA TIADA LAGI CALON RECYCLE TERUTAMA YANG KALAH TERUK SEMASA PRU YANG LALU TANPA MENGIRA SIAPA MEREKA WALAUPUN PRESIDEN PARTI KOMPONEN BN...

No comments: