Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 15 September 2011

Proton serah 8 kereta elektrik


Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my





NAJIB Tun Razak dan Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad menunjukkan tanda bagus pada majlis penyerahan kereta elektrik Proton di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh (kanan)

PUTRAJAYA 14 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima tiga unit kereta elektrik (EV) model Proton Saga dan lima unit ‘Range Extender Electric Vehicle’ (REEV) model Proton Exora untuk digunakan dalam urusan rasmi kerajaan daripada Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton).

Penyerahan kereta-kereta elektrik yang akan digunakan oleh Pejabat Perdana Menteri dan empat buah kementerian terpilih itu dilakukan dalam satu majlis ringkas di pekarangan Bangunan Perdana Putra di sini.

Empat kementerian itu ialah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Turut hadir pada majlis penyerahan itu ialah Penasihat Proton yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Penyerahan yang memenuhi fasa pertama Program Kenderaan ‘Fleet Test’ itu bertujuan mendapatkan maklum balas serta data mengenai penggunaan kenderaan elektrik Proton tersebut yang merangkumi sistem, teknologi dan reka bentuk kereta serta tingkah laku pengguna.

Serentak dengan penyerahan itu, Proton menyediakan kemudahan stesen pengecas kenderaan tersebut di premis Pejabat Perdana Menteri serta empat kementerian terbabit.

Sistem pengecas untuk kegunaan rumah juga akan dibekalkan kepada pemandu kenderaan terbabit.

Proton Saga EV merupakan sebuah kenderaan elektrik sepenuhnya manakala Proton Exora REEV pula adalah sebuah kenderaan elektrik penambah jarak.

Kenderaan elektrik ini berbeza dengan kereta jenis hibrid yang terdapat di pasaran negara ini kerana ia menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya untuk mengecaj bateri, berbanding kereta hibrid yang menggabungkan enjin petrol dan bateri berkuasa elektrik.

Menurut Proton, projek ini merupakan satu usaha mengeluarkan kenderaan mesra alam dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api petrol yang tahap pengeluarannya ketika ini semakin berkurangan serta berharga tinggi.


Pengeluaran kenderaan elektrik besar-besaran 2013

PUTRAJAYA 14 Sept. - Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) akan mengeluarkan kenderaan elektrik yang dibangunkannya secara besar-besaran untuk pasaran tempatan bermula 2013.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, tempoh itu sesuai dengan langkah pihak beliau mengadakan kerjasama dengan kerajaan bagi menguji sistem kenderaan elektrik terbabit selama dua tahun bermula tahun ini.

''Ini fasa pertama, insya-Allah dalam masa setahun ini kita akan keluarkan kira-kira 200 unit kereta elektrik model Saga dan Exora untuk digunakan oleh kerajaan.

''Selepas dapat maklum balas dan mungkin ada penambahbaikan kepada sistem, maka pada tahun 2013 kita harap kereta ini akan boleh dipasarkan kepada rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan tiga unit model Saga dan lima Exora berkuasa elektrik oleh Proton kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd Salleh.

Syed Zainal berkata, pihak beliau telah menyarankan kepada kerajaan agar menyediakan pelbagai insentif bagi menarik minat rakyat negara ini untuk membeli kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Ini kerana Proton tidak menafikan bahawa harga kenderaan terbabit adalah lebih mahal berbanding model kereta biasa.

''Biasanya harga kenderaan itu sekitar 30 atau 40 peratus lebih tinggi berbanding kereta biasa.

''Jadi, untuk dapat pulangan daripada pihak pembeli, insentif itu mungkin mengurangkan bayaran insurans dan cukai jalan bagi kenderaan itu," katanya.

KOMEN : PERMULAAN YANG BAIK...

No comments: