Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 28 September 2011

Sejauh mana keberanian Pas?


Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my



KELMARIN Utusan Malaysia menyiarkan gambar Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat tapak pameran sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Kota Bharu.

Gambar itu memaparkan Nik Abdul Aziz diberi penerangan mengenai buah-buahan yang dipamerkan antara yang kelihatan ialah nangka, limau bali, tembikai dan durian.

Jika buah-buahan itu mahu dilihat dari senario politik sekarang, begitulah juga perjalanan hubungan politik Pas dengan DAP terutamanya apabila tercetus isu hukum hudud.

Pas mula merasai 'getah buah nangka' akibat hubungan dengan DAP yang sebelum ini dianggap oleh mereka ibarat 'tembikai' yang manis dan 'limau bali' yang masam-masam manis,

Tetapi kini ia ibarat 'buah durian' penuh duri apabila DAP menentang keras rancangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Malahan DAP melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menegaskan, pemimpin-pemimpin kanan parti itu akan meletakkan jawatan beramai-ramai jika terdapat usaha meletakkan matlamat menjadi negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Mungkin DAP begitu berani mengeluarkan peringatan kerana percaya bahawa Pas sekali lagi akan mengalah, apatah lagi DAP amat memahami sikap tidak konsisten Pas.

Ia memandangkan dalam tempoh beberapa hari ini sejak tercetus isu berkenaan, Pas seolah-olah ingin kembali semula mahu memperjuangkan hukum hudud.

Situasi ini menimbulkan persoalan ke mana sebenarnya hala tuju perjuangan Pas? Suatu ketika mereka bermati-matian mempertahankan perjuangan negara Islam tetapi kemudiannya bersedia menggugurkannya demi menjaga hubungan dengan DAP.

Lanjutan itu lahirlah kembali idea negara berkebajikan yang pernah dicetuskan pertama kali ketika Pas 'menghidangkan' manifesto pilihan raya umum 2008.

Malahan pada 10 September lalu, Pas mengadakan majlis khas di Taman Melewar, Gombak bagi memperjelaskan konsep negara berkebajikan dan langkah itu selari dengan resolusi yang dicapai dalam muktamar parti tersebut.

Tetapi secara tiba-tiba, ketika Pas diasak bertubi-tubi akibat isu tragedi Bukit Kepong yang dicetuskan oleh Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu, pelaksanaan hukum hudud dibangkitkan oleh Nik Abdul Aziz.

Berikutan kenyataan Menteri Besar Kelantan tersebut maka seperti diduga Pengerusi DAP, Karpal Singh membidas Mursyidul Am Pas itu.

Dalam soal ini, Nik Abdul Aziz atau mana-mana pemimpin Pas tidak harus marah kepada Karpal kerana Karpal sejak dulu lagi menentang penubuhan negara Islam dan hukum hudud yang cuba dilaksanakan oleh Pas.

Justeru sudah pastilah orang Melayu tidak akan mempersoalkan pendirian Karpal sebaliknya bertanya ke manakah sebenarnya hala tuju perjuangan Pas.

Apakah mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud atau ia sekadar halwa telinga menjelang pilihan raya dan sekali gus menarik kembali sokongan sebahagian orang Melayu yang semakin luntur kepada Pas kerana isu tragedi Bukit Kepong?.

Kalau Pas benar-benar konsisten hendak memperjuangkan hukum hudud, maka pemimpin-pemimpin parti tidak sewajarnya berubah-ubah fikirkan, sekejap mahu negara Islam dan sekejap mahu negara berkebajikan.

Takkanlah dalam satu perjalanan politik Pas hendak membawa dua haluan yang berbeza iaitu di kaki kanan menuju negara Islam manakala kaki kiri menuju negara berkebajikan.

Jika situasi ini berlaku sudah pastilah Pas menjadi sebuah parti yang dilihat bercelaru dalam usaha untuk meraih kekuasaan.

Hukum hudud adalah hukum Allah dan semua orang Islam pasti menyokongnya jika ia mahu dilaksanakan secara serius dan diperjuangkan secara konsisten.

Tetapi masalah yang berlaku ialah Pas tidak bersikap demikian, Pas hanya melaung-laungkan pelaksanaan hukum hudud tersebut menjelang pilihan raya atau bagi mengalih isu.

Kalau Pas benar-benar ikhlas dan mempunyai keazaman yang tinggi dalam soal berkenaan sudah pasti mereka akan bermati-matian memperjuangkan ia dilaksanakan biarpun menempuh pelbagai halangan dan tentangan.

Namun anehnya, Pas mudah mengalah dan lebih memikirkan soal hubungan politik dengan rakan pembangkang yang lain.

Pas sepatutnya bersungguh-sungguh pada setiap masa mendesak supaya hasrat mereka melaksanakan hukum hudud tercapai, tetapi ia tidak berlaku.

Parti itu bimbang jika perkara diuar-uarkan ia akan menyebabkan mereka kehilangan sokongan masyarakat bukan Melayu.

Sebab itulah sejak sekian lama, Pas tidak lagi bercakap soal tersebut kecuali baru-baru ini apabila Pas semakin rimas dengan isu tragedi Bukit Kepong.

Oleh itu sebelum Nik Abdul Aziz dan Pas menuding jari mendakwa pihak itu dan pihak ini menghalang hasrat mereka melaksanakan hukum hudud, Pas sendiri patut bertanya apakah mereka benar-benar ikhlas dalam mencapai matlamat berkenaan atau ia sekadar laungan untuk meraih undi sahaja.

Jika mereka ikhlas, kita mahu melihat apa yang bakal mereka lakukan berikutan penentangan keras DAP ke atas hasrat Pas itu.

Apa yang mahu kita lihat ialah pemimpin dan ahli-ahli Pas menunjukkan ketegasan seperti mana mereka pernah menentang usaha untuk mewujudkan kerjasama dengan UMNO.

Semua orang masih ingat bagaimana kerasnya penentangan yang ditunjukkan oleh Nik Abdul Aziz dalam soal tersebut sehingga desakan dibuat supaya satu muktamar khas diadakan bagi membuat keputusan.

Ia kesudahannya menyaksikan Pas menolak kerjasama dengan UMNO dan berikrar setia dengan pakatan pembangkang.

Sekarang kita mahu melihat apakah pemimpin dan ahli Pas mempunyai keberanian dan ketegasan bagi mempertahankan usaha Nik Abdul Aziz melaksanakan hukum hudud.

Bukankah dulu kerjasama dengan UMNO ditolak kerana ketegasan Nik Abdul Aziz dan sekarang Menteri Besar Kelantan juga yang berkeras mahu melaksanakan hukum hudud sehingga mengeluarkan kenyataan, DAP boleh keluar pakatan jika tidak bersetuju dengan hasrat Pas tersebut.

Sudah pasti ramai yang mahu melihat adakah benar Pas hanya berani bertentangan politik dengan UMNO tetapi hanya 'pak turut' dalam pakatan pembangkang.

Percayalah Pas tidak seberani mana sebaliknya pada mesyuarat hari ini, rumusan yang akan dibuat, media dan Barisan Nasional (BN) akan dipersalahkan kerana didakwa cuba memecah-belahkan Pas.

Apatah lagi Pas pula sudah tentu tidak mahu 'disingkirkan' ketika mereka semakin dibuai dengan mimpi indah ke Putrajaya bersama PKR dan DAP.

KOMEN : TAK PERCAYA TUNGGU... UMNO/BN JUGA YANG DISALAHKAN... PAS TIDAK AKAN BERJAYA KEPUTRAJAYA KALAU KELUAR DARI PAKATAN HARAM DAN SUPAYA MIMPI INDAH TIDAK TERGANGGU TERPAKSA BERKORBAN APA SAJA DEMI KEGILAAN KEPADA KUASA... KITA TUNGGU APA PENDIRIAN PAS SELEPAS MESYUARAT PAKATAN NANTI?

No comments: