Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 4 May 2011

Hanya DAP dapat untung


Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my




APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru Pas keluar daripada pakatan pembangkang, ia bukanlah bermaksud mahu parti itu bergabung dengan Barisan Nasional (BN) atau UMNO.

Tetapi Najib sebenarnya ingin memberi isyarat atau menyedarkan Pas daripada mimpi bahawa kerjasama mereka dengan pakatan itu hanya sia-sia. Ia kerana DAP walaupun mengaku rakan sekutu tetapi pastinya tidak akan memberi laluan mudah kepada Pas meneruskan perjuangan Islamnya. Namun seperti mana dijangkakan pemimpin-pemimpin Pas bukan sahaja tidak mahu memikirkannya malah menolak gesaan Perdana Menteri mentah-mentah.

Semua orang tahu bagaimana corak politik yang diamalkan oleh DAP yang boleh dikatakan mempunyai hubungan lebih rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbanding Pas. Sejak awal lagi, kerjasama pembangkang hanya melibatkan PKR dan DAP, Pas hanya diterima selepas tidak lagi bernada lantang untuk meneruskan perjuangan menegakkan negara Islam. Sebab itulah dalam apa soal sekali pun, DAP tidak begitu mengambil berat apa perasaan dan pandangan Pas, sebaliknya merujuk kepada PKR.

Tambahan pula, corak perjuangan antara DAP dan PKR tidak ada bezanya. Kedua-dua parti itu mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya umum lalu terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang adalah kerana memainkan isu perkauman.

Di Pulau Pinang semua masih ingat bagaimana DAP dikatakan berkempen dengan 'menjaja' kononnya mengundi parti Gerakan sama dengan mengundi UMNO. Ini sekali gus mempengaruhi pengundi-pengundi Cina untuk menyebelahi mereka. Di Selangor, PKR turut menggunakan pendekatan yang sama apabila memainkan isu hak kaum India melalui perjuangan perkauman pertubuhan haram Hindraf. Tetapi Pas bukan sahaja bersedia mengorbankan perjuangan Islam malahan untuk bercakap soal kepentingan orang Melayu pun takut demi menjaga hati DAP dan PKR.

Mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof.Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Pas mesti sedar matlamat politik DAP ialah Malaysian Malaysia. Katanya, sesiapa sahaja yang faham konsep berkenaan akan mengetahui betapa bahayanya ideologi dan matlamat DAP itu dalam konteks Perlembagaan negara, orang Melayu dan agama Islam.

''Tetapi Pas kelihatannya lebih utamakan jumlah kerusi. Mungkin Pas sudah letih berjuang, begitu juga para pemimpinnya yang mahukan kerjasama dengan DAP,'' katanya ketika dihubungi.

Selain itu pemimpin-pemimpin DAP lebih melihat pemimpin PKR jauh berwibawa berbanding pemimpin Pas sebab itulah, apabila kerusi PKR semakin mengurang di dalam Dewan Rakyat, DAP tetap memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang. Sedangkan kalau hendak dibandingkan dengan Anwar yang berhadapan dengan pelbagai dakwaan berkaitan moral, pemimpin Pas sepatutnya diberi penghormatan kalau benar DAP menyerahkan jawatan itu atas dasar setiakawan biarpun mereka mempunyai kerusi yang lebih, tetapi DAP langsung tidak mempelawa Pas.

Semua ini membuktikan bahawa DAP hanya memperalatkan Pas demi keuntungan politik mereka terutamanya bagi meraih sokongan orang Melayu. Dalam soal ini DAP amat memahami berbanding PKR yang sedang bergelut dengan pelbagai masalah, Pas lebih berwibawa untuk tujuan itu. Apatah lagi melalui peranan ulama-ulama di dalam Pas yang bercakap soal Islam, maka ia memberikan kelebihan kepada Pas untuk menarik sokongan orang Melayu.

Pas perlu faham bahawa corak politik yang diamalkan oleh DAP sekarang lambat-laun akan memusnahkan Pas. Ia kerana orang Melayu semakin mampu melihat dengan jelas bagaimana tindak-tanduk DAP di Pulau Pinang dan Selangor yang jelas tidak menghormati Pas. DAP memahami kononnya atas kesepakatan bersama, Pas akan berusaha keras memastikan undi orang Melayu di kawasan yang ditandingi oleh DAP memihak kepada parti itu. Ia sudah berlaku di Pulau Pinang, apabila DAP menang di sesetengah kerusi atas sokongan pengundi Melayu.

Ketika ditanya mengenai fakta ini, Mohamed Mustafa berkata, hakikatnya DAP yang akan mendapat lebih banyak kerusi dan akhirnya menjayakan agenda mereka sebagai parti utama dalam pakatan pembangkang dan seterusnya menjayakan perjuangan Malaysian Malaysia.

''Pas hanya akan dibekalkan kawasan-kawasan Melayu yang mereka telah biasa bertanding dan tidak lebih daripada itu, sedangkan DAP akan bolot semua kawasan bandar dan mungkin menang semuanya jika trend pengundi bandar tidak berubah sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, akhirnya siapa yang untuk? Islam? Melayu? Pas? atau DAP,'' tanya beliau.

Berdasarkan hujah itu, Pas akan dilihat selama-lamanya hanya akan diperalatkan oleh DAP bagi mencapai cita-cita politik mereka. Mudah kata, dalam apa keadaan pun selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang - yang untung tetap DAP.

Justeru masih belum terlambat untuk Pas mengkaji dengan mendalam corak politik DAP kerana jika Pas masih leka dan terlalu yakin bahawa mereka boleh mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya nanti, percayalah ia kesudahannya boleh meletakkan Pas bagaikan menang sorak kampung tergadai.

Jika Pas benar-benar hendak mempertahankan Islam seperti mana nasihat Najib maka keluarlah daripada pakatan pembangkang. Ia selaras dengan pesanan pejuang Pas, Zulkifli Mohamad iaitu:

''Pangkal pokok perjuangan Islam di dalam negeri ini datangnya daripada hati orang-orang Islam. Bukan alat yang dipentingkan, bukan kemuliaan yang dipentingkan, bukan bilangan yang dipentingkan, tetapi yang lebih dahulu yang mesti dipentingkan ialah iman dan semangat Islam, iman kepada Allah dan Rasul-Nya dan semangat untuk berjuang kepada jalan Allah dan jalan Rasul-Nya.''

Semoga Pas akan memahami pesanan ini dan tidak terus hanya menjadi 'tangga' kepada DAP untuk mencapai tampuk kekuasaan negara sedangkan perjuangan Islam entah ke mana.

KOMEN : IBARAT SEEKOR KELDAI - DAP JADI KEPALANYA, PKR MENJADI BADAN DAN PAS MENJADI EKORNYA. SENANG CERITA PAS JADI PAK TURUT UNTUK KESINAMBONGAN PERJUANGAN POLITIK MEREKA YANG MAKIN TENAT. UMPAMA TANGGA KAYU REPUT RUMAH BATU... TAK LAMA LAGI ROBOH DIMAKAN ANAI-ANAI... APA PERJUANGAN POLITIK PAS SEKARANG? TAK TAHU NAK KATA DAH...

No comments: