Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 9 May 2011

Berubah supaya relevan


Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my





USIA Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) genap 65 tahun pada 11 Mei ini. Seperti yang termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaannya, parti itu berjuang untuk mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Sebenarnya terdapat enam asas utama dalam perjuangan UMNO yang ditubuhkan pada 1946, antaranya untuk mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial menerusi sistem pemerintahan demokrasi berparlimen serta memajukan ekonomi orang Melayu, bumiputera dan rakyat Malaysia amnya.

Ia juga berjuang bagi melahirkan bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak asasi manusia dan hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera.

UMNO sudah pasti akan kekal dengan segala asas perjuangannya. Bagaimanapun berikutan perubahan zaman yang menyaksikan menurunnya sokongan orang Melayu terutama generasi muda selepas Pilihan Raya Umum 2008, maka mahu tidak mahu ia perlu mengubah pendekatannya.

Seperti yang sering disebut kepimpinan parti itu, cerita-cerita kejayaan UMNO membangunkan Malaysia dan perjuangannya untuk memerdekakan negara sudah tidak lagi berkesan untuk menambat hati orang Melayu terutama generasi muda.

Parti itu tidak boleh terlalu mengharapkan perjuangannya sebelum ini akan dihayati oleh generasi muda yang sudah pasti tidak lagi melihat UMNO dari segi jasa yang telah dicurahkan sebaliknya sama ada ia relevan pada masa kini dan akan datang.

Keperluan supaya parti itu, berubah dibangkitkan sendiri oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-64 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), tahun lalu.

Dalam ucapannya, Najib menyeru seluruh lapisan kepimpinan dan ahli UMNO supaya menjadikan parti itu sebagai sebuah entiti politik yang berpaksikan kepentingan rakyat.

Presiden UMNO itu turut mengingatkan pemimpin dan ahli parti supaya tidak leka dalam perjuangan sehingga ia dianggap oleh rakyat jelata hanya memperjuangkan kelompok kecil kumpulan yang berkepentingan sahaja.

''Demi menjadikan UMNO dekat di hati rakyat, para pemimpinnya mesti mengatur program untuk rakyat pada setiap masa dan bukannya secara bermusim menjelang pilihan raya sahaja," katanya.

Najib juga mengingatkan bahawa UMNO sebagai sebuah parti politik yang telah mengetuai Barisan Nasional (BN) memenangi sebanyak 12 pilihan raya umum, perlu mengambil iktibar daripada nasib parti pemerintah di luar negara seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun yang hampir sama usianya yang kini menjadi parti pembangkang.

''Parti terbabit kehilangan kuasa kerana berleluasanya politik berpuak sehingga perkara itu lebih diutamakan daripada berkhidmat kepada rakyat. Parti ini mengutamakan kelompok tertentu yang berkepentingan sehingga kehendak dan tuntutan rakyat tidak diberi perhatian.

''Parti berkenaan juga tidak mempunyai iltizam politik untuk meneruskan perubahan dalaman sehingga pengundi melihatnya jauh daripada hati rakyat, tidak memahami kehendak mereka selain tidak segar mahupun dinamik," katanya.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sabbaruddin Chik yang diminta mengulas perkembangan parti itu sekarang melahirkan kegembiraan kerana ia telah melalui proses overhaul selepas Tsunami 2008.

''Saya nampak parti telah mula melakukan perubahan dan ini sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti ini.

''Saya juga tertarik dengan gaya kepimpinan Najib yang terbuka dan berterus terang seperti baru-baru ini apabila mengajak Pas bergabung dengan UMNO.

''Ini bagus dan sesuai dengan zaman sekarang apabila rakyat lebih selesa dengan pemimpin yang mengamalkan ketelusan,'' ujarnya.

Sabbaruddin juga melahirkan keyakinan bahawa segala perubahan yang dirancang oleh Najib akan dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan beliau mempunyai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan Sabbaruddin sebagai seorang timbalan yang bagus.

''Ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) juga tiada yang bermasalah dan saya tidak nampak lagi berlaku pertelingkahan di peringkat kepimpinan negeri dan bahagian seperti sebelum ini. Saya harap ia berterusan sampai pilihan raya akan datang," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Aishah Ghani menyambut baik nasihat Najib supaya kepimpinan parti itu di semua peringkat mendampingi rakyat.

''Saya harap pemimpin dan ahli parti di semua peringkat mengikut nasihat Presiden supaya mereka memainkan peranan untuk menjuarai isu-isu rakyat supaya UMNO disegani dan dilihat masih lagi relevan.

''Saya mendapati program mendekati rakyat yang diadakan sekarang tidak menyeluruh dan agresif seperti yang sepatutnya dan tumpuan juga harus dibuat bagi mendampingi orang Melayu bandar yang kini dihimpit dengan pelbagai masalah kehidupan," katanya.

Beliau juga berharap tiada mana-mana pihak yang menyokong UMNO semata-mata kerana mahukan habuan kewangan.

Sebenarnya, perubahan UMNO tidak harus dijadikan slogan semata-mata sebaliknya ia perlu diterapkan dari segi amalannya. Jangan lagi ada pihak yang masih mengatakan orang-orang UMNO sombong, angkuh dan tidak mesra rakyat.

Usaha UMNO untuk berubah adalah selaras dengan hakikat bahawa parti itu sahaja yang boleh diharapkan untuk membela nasib orang Melayu dan Islam di negara ini.

Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau parti-parti kecil lain yang didominasi oleh orang Melayu tidak boleh menjadi alternatif kepada UMNO kerana ia lebih mementingkan kuasa sehingga sanggup melihat kedudukan orang Melayu dalam aspek ekonomi, politik dan lain-lain bidang terus dipinggirkan.

Dengan cogan kata Bersatu - Bersetia - Berkhidmat, UMNO perlu membuktikan kepada rakyat bahawa parti itu masih dinamik, segar dan bernafas baru.

KOMEN : BERUBAHLAH DEMI MEMARTABATKAN PERJUANGAN ORANG MELAYU/ISLAM DARI SERANGAN MUSUH YANG TERUS-TERUSAN MEMECAHBELAHKAN PERPADUAN ORANG MELAYU/ISLAM. UMNO MASIH DIPERLUKAN UNTUK TERUS MEMBELA NASIB ORANG MELAYU DAN ISLAM DI MALAYSIA.

No comments: