DARI UTUSAN MALAYSIA
26/4/2012
Orang Biasa aje, "Tell me and I'll forget; show me and I may remember; involve me and I'll understand." Pentingnya ILMU untuk di pelajari dan di kongsi bersama....Yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan....

![]() |
| Norayini Ali (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Shahazudin Abu Ruddin selepas merasmikan program Jom Masuk Program UiTM, UPM di Bangunan UMNO Mentakab, Temerloh, baru-baru ini. |
TEMERLOH 17 April - Kolej Teknologi Timur (KTT) yang menjalankan program bersekutu dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Jom Masuk UiTM dan UPM di Bangunan UMNO Mentakab di sini baru-baru ini.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Norayini Ali berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mencari peluang melanjutkan pengajian di kolej berkenaan.
Menurutnya, kolej tersebut merupakan kolej bersekutu yang diiktiraf institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti UPM, UiTM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan menawarkan program di peringkat sijil, pradiploma dan diploma.
''Lebih membanggakan KTT turut diberi kepercayaan menjalankan program Cambridge 'A' Level selama dua tahun yang membuktikan kolej itu diiktiraf di seluruh dunia.
''Program yang dijalankan di sini merupakan pendedahan kepada pelajar lepasan SPM supaya mereka memilih kursus yang diminati berdasarkan keputusan peperiksaan masing-masing,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Shahazudin Abu Ruddin dan dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah KTT, Azril Rizal Yusof Sarit dan Ketua Unit Sektor Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pelajaran Daerah Temerloh, Mohd. Affendey Mohd. Saad.
Menurut beliau, pelajar cemerlang yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke mana-mana IPTA tetapi terhalang akibat persaingan hebat berpeluang menuntut di kolej tersebut.
''Ini kerana, semua kursus yang ditawarkan di KTT adalah diiktiraf di universiti terbabit, malah diploma yang diterima kelak dikeluarkan oleh universiti itu.
''Oleh itu, lepasan SPM mempunyai peluang meneruskan cita-cita mereka kerana kolej ini menyediakan program pendidikan berkualiti, terjamin dan berintegriti,'' katanya.
Menurutnya, antara program usahasama dengan UiTM ialah Diploma Seni Reka dan Media Digital, Diploma Seni Reka Fesyen, Diploma Komunikasi dan Media, Diploma Sains, Diploma Pengurusan Teknologi Pejabat, dan Pradiploma Sains.
Bagi program usahasama dengan UPM pula jelasnya, mereka menawarkan program Diploma Pembangunan Manusia, Diploma Sains Komputer di samping program dalaman KTT seperti Diploma Kejururawatan, Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Pengurusan Perniagaan, Sijil Sains Komputer dan lain-lain.
MASYARAKAT hari ini semakin selektif kesan daripada globalisasi yang membawa pelbagai bentuk saluran maklumat dengan kadar yang cepat.
Menyedari hakikat itulah, pentingnya para pemimpin hari ini menggunakan fakta semasa berdepan dengan khalayak masyarakat.
Penekanan kepada budaya politik matang adalah antara intipati wawancara bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dimuatkan dalam Mingguan Malaysia pada 15 April lalu.
Beliau juga memberikan beberapa contoh pendekatan yang digunakannya sendiri dalam usaha menangani dan menguruskan persepsi.
Apa yang ditekankan oleh Menteri Pertahanan itu sebenarnya juga dapat kita telusuri dalam khazanah manuskrip dan peribahasa Melayu kita.
Pemimpin yang konsisten berhujah menggunakan fakta tidak mustahil akan mempengaruhi tanggapan rakyatnya walaupun sebelum itu mungkin mereka begitu tegar untuk tidak berpihak dengannya ibarat "batu yang keras air pelekuknya, hati yang keras lidah pelembutnya".
Sebaliknya, keadaan "umpama kita membawa jarum, dia menyambut dengan gunting" akan timbul kerana kegagalan pemimpin berhujah dengan fakta walaupun mungkin pemimpin itu ikhlas mahu membantu kepada pencerahan masa depan rakyatnya.
Pemimpin yang berhujah tanpa fakta juga "umpama hendak menepung tiada berberas". Akibatnya, mesej yang mahu disampaikan kepada rakyat gagal difahami kerana mudah benar dimanipulasi. Tidak dapat disangkal lagi, fakta yang jelas adalah syarat utama dalam proses menangani persepsi rakyat.
Usahlah seseorang pemimpin itu bersikap "tak tahu menganyam, pandan disalahkan" atau "tidak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket". Menganggap rakyat sebagai lupa diri atau tidak kenang budi atas jasa bakti yang sebelum ini diberi pasti tidak akan timbul jika pemimpin bijak mengatur fakta dalam berhujah.
Namun, dalam masa fakta dalam hujah diberi keutamaan ada ketikanya sesuatu perkara itu menjadi lebih baik untuk tidak dihebahkan. Biarlah hal itu "ditelan menjadi manikam" kerana jika "dimuntahkan menjadi sekam".
Hujah yang mengandungi fakta juga dapat mengelak daripada berlakunya persengketaan kerana "setajam-tajam pedang tumpul dijilat lidah" manakala pelaksanaan sebarang tindakan eloklah menurut resmi sirih.
Orang tua-tua dahulu telah berpesan "umpama sirih, menjulur dahulu kemudian melilit, sudah melilit barulah memanjat ke pucuk junjung". Jelas, para pemimpin pun tidak terkecuali daripada mematuhi ketertiban dan peraturan apabila tampil berkomunikasi dengan rakyat.
Pemimpin yang bercakap tanpa fakta sebaliknya hanya cakap besar tetapi kosong akan dilihat oleh rakyat "bagai gelegar buluh" serta tidak dipercayai lagi seperti "gaharu dibakar kemenyam berbau".
Demikianlah beberapa ungkapan daripada lebih 2,000 peribahasa asli Melayu yang terkandung dalam Tikaman Bahasa yang telah disusun oleh Muhammad Adnan Muhammad Ariffin pada 79 tahun lalu.
Banyak lagi ungkapan peribahasa Melayu yang wajar diambil iktibar oleh para pemimpin kita supaya pemikiran mereka tampil lebih bijaksana dan boleh dipercayai di mata rakyat.
KOMEN : AGAKNYA-AGAKNYA PEMIMPIN PUAK PEMBANGKANG YANG ADA KAT MALAYSIA KEBANYAKANNYA MESTI DARI JENIS TIN KOSONG, MEMEKAK TAK TENTU HALA TUJU, JANGANKAN DIKETUK, KALAU TERJATUH PUN DAH KELUARKAN BUNYI YANG BISING NAMUN SEMUANYA KOSONG....
Bila 'main wayang' tak bertempat... 
Suara sumbang itu kian kuat, semakin hiruk pikuknya pula kelmarin. Kata mereka, siapa yang menjadi kerajaan, sudah tentu bisa (pasti) menjamin soal keselamatan.
Tetapi kalau direnungkan balik, betulkah rumusannya begitu?
Tidak payah kita pergi jauh. Mengapakah di selatan Thailand, Indonesia dan selatan Filipina masih bergelut dengan keganasan. Dilaporkan dalam media tempatan dan antarabangsa angka korban akibat keganasan setiap hari. Berpuluh ribu orang mati sejak bertahun-tahun. Mereka pun ada kerajaan demokrasi juga. Tetapi kenapa masih menyaksikan pembunuhan di Yala, Narathiwat, Sokhla dan Patani, Mindanao dan sesekali Aceh.
Wilayah di selatan Thailand hanya 100 kilometer dari sempadan Malaysia - Arau, Rantau Panjang, Padang Terap, Sik, Kuala Ketil namun terdapat banyak tragedi berdarah di wilayah-wilayah bergolak Siam itu.
Tetapi apabila turun masuk sempadan Malaysia, tidak ada pula sebarang kegiatan keganasan. Tidak ada langsung. Cuma sesekali kita dikejutkan dengan kes rompakan. Nak jumpa sebutir peluru di tempat awam pun susah, inikan pula sepucuk pistol. Jika ini terjadi, alamat riuhlah semua orang. Dan puluhan anggota polis akan dikejarkan ke tempat kejadian. Kemudian mendapat laporan meluas akhbar-akhbar tempatan walaupun ditemui cuma sebutir peluru.
Hakikatnya, keamanan dan kestabilan negara ini bukanlah diperoleh dari teori berdasarkan bacaan buku-buku yang berkaitan kebebasan individu. Kebebasan individu hakikatnya tidak wujud tanpa keamanan.
Kerana itu, isu keselamatan bukanlah tanggungjawab pembangkang tetapi dipikul oleh kerajaan yang memerintah. Tidak pernah pun kalau pembangkang DAP, Pas dan PKR ini fikirkan keamanan, mereka akan puji Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. Kerajaan Barisan Nasional tentulah jauh 'panggang dari api' mereka.
Atas sebab inilah ramai yang hadir untuk mengikut perjalanan sidang Dewan Rakyat Isnin lalu tidak ambil peduli sangat gelagat yang dipertontonkan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang. Hadirin yang memenuhi galeri awam dewan lebih senang mendengar dan memahami isi pembentangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. Sesekali audien senyum 'mencuka' mendengar rumusan dangkal Ahli Parlimen PKR Balik Pulau, Yusmadi Mohd. Yusoff . Kata wakil rakyat muda ini: "Isu keganasan itu milik Amerika Syarikat, di sini (Malaysia) tidak wujud".
Sedangkan kalau dilihat dalam skop pemikiran yang rasional, tidak ternampakkah kita anggota polis yang bertugas siang malam. Berapa banyakkah kes-kes rompakan diselesaikan dalam tempoh singkat. Ada ketikanya tidak sampai sejam pun kumpulan penjenayah terbabit ditumpaskan - ditembak mati. Demikian juga dengan Malaysia turut memiliki unit perisikan terbaik di dunia yang diiktiraf sendiri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Cubalah kita fikir-fikirkan kenapa dalam 100 kilometer melepasi sempadan utara tanah air, keganasan memuncak tetapi jarak yang sama memasuki sempadan negara, aman damailah pula.
Atas faktor-faktor inilah maka sudah tiba masanya pembangkang mengiktiraf apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan ketika ini - menggubal dan memperkenalkan akta baru berikutan pemansuhan ISA. Meskipun Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kelmarin membantah keras penggubalan Akta Kesalahan Keselamatan, yang didakwa telah 'melacurkan' demokrasi serta kononnya berbentuk salah guna kuasa, namun kalau diteliti secara ikhlas tanpa 'sentimen' politik, pembangkang sebenarnya 'sengaja buat-buat gusar.' Ini kerana meskipun selepas 28 hari seseorang itu ditahan, peguam seseorang itu masih boleh akses keadaan yang ditahan. Dan kalaupun bimbangkan 'anak buah' dipukul, pembangkang kan ada peguam yang cerdik pandai untuk 'aksesnya'. Malahan, keluarga pun masih boleh tahu kedudukan anggota mereka yang ditahan tersebut.
Cuma, yang tidak sedapnya dalam keinginan membuak-buak pembangkang untuk menghapuskan ISA dan 'mengimbangi keamanan dan keganasan', rakyat tidak terdengar pula mereka atau setidak-tidaknya 'buku jingga' mengutarakan satu undang-undang keselamatan.
Itu yang peliknya. Takkan dalam dunia yang sibuk mengekang keganasan global, kita di Malaysia duduk diam sahaja. Takkanlah ketika banyak negara tetangga rantau ini dihambat pengeboman militan, pemberontak dan gerila, Kuala Lumpur boleh duduk 'tercanguk' sebagai pemerhati sahaja. Sudah tentulah Malaysia memerlukan undang-undang anti keganasan yang boleh mengekang mana-mana individu, kumpulan atau parti politik pun yang cuba menghancur atau menggulingkan pemerintahan demokrasi.
Akta Kesalahan Keselamatan adalah bukti keberanian kerajaan sedia ada untuk menghadapi cabaran dengan memberi banyak udara kebebasan kepada rakyat dalam era digital.
Apabila ISA dimansuhkan, kerajaan sebenarnya tidak ada senjata yang ampuh untuk menangani keganasan. Kerana itu, akta baru ini diperkenalkan.
Cuma apabila pembangkang terus 'main wayang' menolak terus akta keganasan terbaharu di Dewan Rakyat kelmarin, kita mula rasa curiga.
Sebenarnya - kita sudah semakin muak dengan kerenah sebegini.
KOMEN : BILA KITA MEMILIH WAKIL RAKYAT YANG PENTINGKAN DIRI... TIMBULLAH PERBUATAN BODOH ORANG TAK BERSEKOLAH SEPERTI KELAKUAN KELUAR DARI DEWAN PARLIMEN KERANA MEMBOIKOT SESUATU PERBENTANGAN AKTA DEMI KEPENTINGAN RAKYAT DAN NEGARA... TERUTAMA AKTA KESELAMATAN... JADI APAKAH SUMBANGAN WAKIL RAKYAT PUAK PEMBANGKANG INI PADA NEGARA??????


Di dalamnya, sebuah model kereta yang diperbuat daripada tanah liat tetapi ‘lengkap’ sifat luarannya, dipertontonkan. Kumpulan wartawan tersebut diberi masa membelek dan meneliti reka bentuk kereta. Kemudian, seorang demi seorang bangun memberi pendapat, yang butirannya dicatat oleh jurutera-jurutera Proton.
Berdasarkan pendapat yang dikeluarkan oleh rakan-rakan wartawan yang juga terdiri daripada beberapa penganalisis industri automotif veteran, reka bentuk model Proton baru ini menerima ulasan positif.
Model tanah liat tersebut menggambarkan ciri-ciri yang ke hadapan dan paling penting, memiliki semua aksesori badan seperti lampu isyarat pada cermin sisi, ruang but yang besar dan lampu LED siang hari. Ketika itu, kereta jenama Korea belum memasuki pasaran atau dilahirkan pun di kilangnya. Reka bentuk Preve lahir daripada kreativiti tulen jurutera Proton yang merupakan anak Malaysia.
Ketika itu, Proton sedang sibuk memperkenalkan model yang ditukar jenama iaitu Proton Inspira dari Mitsubishi Lancer dan masih hangat dengan pengenalan model kenderaan pelbagai guna Proton Exora.
‘‘Pembangunan model diberi nama kod P3-21A memerlukan masa. Kita memutuskan untuk melancarkan Proton Inspira bagi mengisi jurang yang ada dan bila P3-21A ini dilancarkan kelak, kita akan susun semula model-model Proton supaya tidak bertindih,” jelas Pengarah Urusan Proton Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir kepada Utusan Malaysia ketika itu.
Pada 4 April lalu, Syed Zainal Abidin mengumumkan secara rasmi nama model P3-21A ini iaitu Proton Preve (disebut prey-vey) dan kemudian, satu sesi pandu-uji dilakukan dari Putrajaya menuju ke Mantin menggunakan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas). Ia juga menandakan bermulanya penyiaran gambar Preve di dalam internet, hasil rakaman gambar orang ramai di sepanjang jalan tersebut.
Dengan enjin berkapasiti 1.6 liter, Preve bersaing secara langsung dalam Segmen C dengan model-model Toyota Vios, Ford Focus, Honda City dan Kia Forte. Perbandingan tidak akan dapat dielakkan antara Preve dengan jenama-jenama kereta ini.
Bagi penyusunan semula model-model Proton, kehadiran Preve menyaksikan Proton Gen.2 dikhususkan untuk pasaran eksport manakala Proton Persona hanya ditawarkan B- Line (transmisi manual) RM46,713 dan (automatik) RM49,713 seunit. Dua lagi varian Persona iaitu M-Line dan H-Line ditamatkan. Ini bermakna Persona B-Line akan diletakkan di bawah Preve, sementara Proton Inspira (enjin 1.8 liter dan 2.0 liter) berharga antara RM78,565 dan RM91,565 seunit sebagai model teratas.
Preve didatangkan dalam tiga varian iaitu model Executive mengguna transmisi manual lima kelajuan berharga RM59,990 seunit, model Executive CVT atau Continuous Variable Transmission dengan enam kelajuan (RM62,990 seunit). Kedua-duanya menggunakan enjin Campro IAFM+ manakala model tertingginya iaitu Premium CVT menggunakan enjin Campro CFE dengan transmisi tujuh kelajuan ProTronic ialah RM72,990 seunit.
Bagi enjin Campro IAFM+, ia memiliki kuasa maksimum 80 kW pada 5750 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 150 Newton meter (Nm) pada 4000 rpm. Kelajuan maksimumnya ialah antara 170-180 km sejam (km/j).
Model Premium CVT pula menawarkan kuasa enjin maksimum 103 kW pada 5000 rpm dan kuasa kilas 205 pada 2000-4000 rpm. Ia boleh dipacu sehingga 190 kmj walaupun semasa sesi pandu uji tempoh hari, kami mencatat kelajuan 210 kmj.
Daripada segi keselamatan, varian Premium CVT adalah lengkap. Beg udara bagi pemandu dan penumpang beserta beg udara sisi, selain dengan ABS dan EBD, BA dan Traction Control adalah dipasang standard.
Satu ciri keselamatan penting pada Preve ialah ESP (Kawalan Kestabilan Elektronik). Difahamkan, ia adalah sebagai persediaan Proton untuk memperkenalkan Preve ke pasaran Australia, yang mewajibkan setiap kenderaan dipasang ESP. Teknologi ini tidak dipasang pada banyak kereta Jepun atau Korea pada harga bawah RM100,000.
Ciri mewah pada Premium CVT ialah butang menghidupkan enjin, sistem pengesan hujan dan cuaca iaitu dengan menyalakan lampu apabila gelap; pengelap cermin automatik, auto cruise, lampu LED dan bagi yang mahu ‘bermain’ dengan kereta, ia memiliki penukar gear pada kemudi stering (paddle shifters).
Mengekalkan ciri-ciri mesra-keluarga, ruang kabinnya memiliki banyak tempat meletak barang termasuk empat cangkuk untuk menggantung plastik makanan iaitu dua cangkuk hanger baju, satu cangkuk di tepi kotak glove dan satu pada tengkuk kerusi penumpang depan.
Preve tidak menggunakan sistem gantungan (suspension) torsion beam seperti Exora sebaliknya sistem gantungan multilink ciptaan Proton sendiri yang lengkap dengan trailing arm dan coilovers. Pemanduan di lebuh raya berombak tidak menjadi gangguan kepada keselesaan dan fokus pemandu.
Menggunakan mod S pada transmisi CVT ProTonic dan beralih pada paddle shifters, tidak mengurangkan kejituan pengendalian dan dibantu oleh kemudi stereng yang lebih bertindak balas, kita jadi terlupa sebentar bahawa Preve hanyalah berkapasiti 1.6 liter kerana ia berfungsi seperti model 2.0 liter.
Rumusannya? Tanpa rasa berat sebelah atau patriotik melulu, Proton Preve adalah hasil teknologi terbaik pernah dikeluarkan oleh Proton sehingga kini. Bermula dari reka bentuknya yang kontemporari, ciri-ciri aksesori dan keselamatan pada badan sehinggalah kepada keupayaan enjin dan prestasi pemanduan, Proton Preve pasti jadi pilihan ramai dan boleh dieksport ke luar negara dalam erti kata sebenar. Pakej pada Preve adalah lengkap dan memenuhi cita rasa serta kehendak pembeli hari ini.
KOMEN : BILA DAH MEMILIKI DAN MEMANDU PROTON PERSONA H-LINE... RASANYA PEMANDUAN PROTON PREVEE ADALAH LEBIH BAIK... SYABAS PROTON...